collections khutbah Allah Bersama Meraka yang Bersabar
Allah Bersama Meraka yang Bersabar

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

14 Ogos 2020 / 24 Zulhijjah 1441H

Allah Bersama Meraka yang Bersabar

Saudaraku yang dikasihi,

Sama-samalah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Semoga kita dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menjalani kehidupan ini. Amin.

Khutbah minggu lalu telah mengingatkan kepada kita untuk memupuk nilai ihsan dalam diri kita. Khutbah kali ini ingin mengajak kita untuk memupuk satu lagi nilai yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. Nilai yang dimaksudkan di sini adalah sifat kesabaran. Sama-samalah kita hayati akan firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah ayat ke-153 yang berbunyi:

 Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat, kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar”.

Ayat ini mengingatkan kepada kita akan nilai kesabaran yang perlu ada dalam diri orang yang beriman. Dengan kesabarannya itu, beliau akan sentiasa memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah s.w.t. serta beribadah kepada-Nya. Malahan, beliau tidak akan mudah merungut atau berputus asa dengan keadaan yang sedang dihadapinya. Maka saudaraku, apa yang dimaksudkan dengan bersabar?

Kesabaran adalah apabila seseorang itu berusaha untuk menahan dirinya dari mengeluarkan kata-kata, atau perbuatan yang tidak sewajarnya ketika menghadapi sesuatu keadaan. Hatinya kekal beriman kepada Tuhan dan beliau yakini bahawa setiap sesuatu itu pasti ada hikmahnya. Beliau turut sedari bahawa segala sesuatu itu merupakan sebahagian dari tanda kasih sayang Allah s.w.t. buat hamba-Nya.

Lihat sahaja sifat kesabaran yang telah ditonjolkan oleh para Nabi dan Rasul. Kesabaran mereka dalam menjalankan perintah Allah s.w.t. menunjukkan kepada kita bahawa seorang yang bersabar itu tidak akan hanya berpeluk tubuh dan berserah nasib semata-mata. Mereka tidak mudah menyerah kalah, mereka bangkit dan berusaha untuk lakukan yang terbaik bagi mengatasi cabaran yang dilaluinya.

Saudaraku,

Kita sedang menghadapi suatu ujian yang begitu panjang. Ia telah mengubah cara kehidupan dan pelaksanaan ibadah kita. Sebahagian dari kalangan masyarakat kita menghadapi cabaran yang lebih berat daripada sebahagian yang lain.

Ketika kita sedang diuji, di sinilah kita perlu ingat dan sering berusaha untuk mempraktikkan kesabaran dalam segala tindak-tanduk kita. Kita terus cekal berusaha untuk mencari huraian. Pada waktu yang sama, meminta pendapat serta bantuan yang lain. Apabila anda meminta bantuan orang lain, ia tidak bererti anda itu kurang kesabarannya. Bahkan ia antara usaha serta tawakkal anda untuk memperbaiki keadaan diri, serta keadaan keluarga.

Saudaraku,

Krisis ini membuktikan bahawa kita saling memerlukan antara satu sama lain. Kita perlu bersatu padu untuk membantu sesama kita. Ingatlah saudaraku bahawa barangsiapa yang memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesusahan, nescaya Allah akan membantu memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. (Hadis riwayat Imam Muslim).

Mudah-mudahan Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita kesabaran dalam mencari keredhaan-Nya. Semoga dengan usaha ini, Allah s.w.t. merahmati kita semua dan mengangkat ujian ini dengan segera. Amin Ya Rabbal ‘alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

Saudaraku,

Yayasan Rahmatan Lil Alamin dengan kerjasama Palang Merah Singapura sedang mengadakan kutipan derma untuk bantuan kecemasan bagi mereka-mereka yang terjejas dengan tragedi letupan di Beirut. Hulurkanlah sumbangan ikhlas kita dengan mengirimkan cek ke RLAF, atau kaedah PayNow, atau melalui aplikasi bijak MuslimSG.

Semoga sumbangan ikhlas kita dapat memberikan sinar harapan dan kekuatan agar mereka yang terjejas dapat meneruskan kehidupan. Mudah-mudahan Allah meringankan beban yang sedang ditanggung mereka dan memberikan ketabahan kepada mereka yang menghadapi ujian ini. Amin.

 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.