

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
6 Mac 2026 / 16 Ramadan 1447H
Al-Quran Sumber Ketenangan Di Kala Keresahan

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Bertakwalah kita kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Marilah kita terus kekal berada di atas landasan ketakwaan dan kebenaran, menjadikan Al-Quran sebagai panduan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadan amat sinonim dengan Al-Quran. Allah s.w.t. telah menjelaskan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185 bahawa Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan.
Ramai juga di kalangan kita yang mengambil peluang ini untuk memperbanyakkan bacaan dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran. Namun, hubungan kita dengannya tidak seharusnya terbatas kepada bacaan semata-mata.
Terutama sekali dalam suasana hari ini, di mana kita terus dikelilingi fitnah dan kebingungan. Dunia terus bergolak, menimbulkan ketakutan dan keresahan. Sedang kita masih tertanya-tanya, mencari penjelasan dan jawapan: Apakah hikmah di sebalik kekalutan yang disaksikan?
Dalam suasana yang tidak menentu ini, Al-Quran terus setia membawa pedoman dan bimbingan. Dalam Surah An-Nisa, Allah menyifatkan Al-Quran sebagai “nuran mubina” – cahaya yang jelas, manakala dalam Surah Yunus, ia disifatkan sebagai “syifa” – penawar bagi apa sahaja yang terpendam di dalam hati.
Saudara yang dirahmati Allah,
Mimbar pada hari ini ingin berkongsi 3 peranan Al-Quran dalam menyuntik ketenangan bagi setiap hati yang dihinggap walau secebis keresahan:
Pertama: Pedoman Al-Quran melepasi batas masa
Apa sahaja situasi yang kita hadapi, pasti terdapat panduan daripada Al-Quran. Seseorang yang memikirkan rezeki dan masa depan keluarga, atau seseorang yang diselubungi rasa bersalah akibat kesilapan dan dosa. Atau, apabila melihat kerosakan dan kezaliman terus bermaharajalela. Sifat tamak kuasa yang mengakibatkan banyak korban nyawa.
Kita sendiri membaca kisah Firaun, kaum ‘Ad dan Thamud – mereka pernah memiliki banyak kelebihan, namun kerana sikap angkuh, menolak kebenaran dan keadilan, akhirnya semuanya punah bertemu kebinasaan. Hanya kisah mereka yang kekal terakam di dalam Al-Quran, menjadi iktibar buat insan sepanjang zaman.
Kedua: Al-Quran menekankan pertanggungjawaban
Apabila melihat kerosakan yang tersebar luas, mungkin ada yang persoalkan: Bilakah keadilan akan ditegakkan? Bagaimanakah kezaliman dapat dihentikan? Di manakah rahmat dan bantuan Tuhan?
Sedangkan Al-Quran telah lama menjelaskan bahawa tidak ada perbuatan yang terlepas daripada pengetahuan dan pengadilan Allah s.w.t. Firman-Nya dalam Surah Ibrahim ayat 42 yang bermaksud: “Dan janganlah engkau menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka.”
Ketiga: Al-Quran menjelaskan apa yang harus kita lakukan
Walau apapun situasi yang kita sedang hadapi, di celah kebingungan, keresahan dan ketakutan, Allah s.w.t. telah berjanji bahawa kesudahan yang baik akan sentiasa memihak kepada mereka yang menegakkan ketakwaan. Firman-Nya dalam Surah Al-Qasas, ayat 83:

Yang bermaksud: “Akhirat itu Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan menyombongkan diri atau membuat kerosakan di muka bumi; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Rasulullah s.a.w. pernah mengajarkan kita dalam sepotong hadis riwayat Imam Ahmad, bahawa apabila seseorang ditimpa kegelisahan dan kesedihan, lalu dia berdoa agar Al-Quran dijadikan penyejuk bagi hati, cahaya buat jiwa, penghapus kesedihan dan penghilang kegelisahan, maka Allah akan mengabulkan doanya itu dan mengurniakan kelapangan dan ketenangan.
Oleh itu, di kala kita memperkuatkan lagi hubungan kita dengan Al-Quran pada bulan Ramadan ini, marilah kita terus perpegang teguh kepada ajarannya, mengambil pedomannya, agar ia melahirkan takwa yang menjadi matlamat daripada ibadah puasa kita. Semoga kita menjadi insan yang sentiasa tenang hatinya dari keresahan dunia dan jernih nuraninya dengan cahaya Al-Quran.

Khutbah Kedua

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dunia terus bergolak dengan keganasan, peperangan dan persengketaan. Ada antara kita yang masih cuba memahami dan mencari erti – apakah hikmah di sebalik semua ini? Hamba-hamba Allah, Muslim atau selainnya, terkesan secara langsung dengan pergolakan yang berlaku sekarang ini.
Ramai anak-anak kita yang melanjutkan pengajian di sana dibelenggu kekhuatiran. Tidak lupa golongan pekerja dan petugas yang dihimpit kegusaran. Begitu juga jemaah umrah dan musafir yang terkandas di persimpangan. Ramai lagi insan tidak berdosa yang menjadi mangsa pergolakan.
Marilah, dalam keadaan kita berpuasa di bulan mulia ini, sebagai hamba Allah yang yakin dengan hikmah di sebalik setiap ketentuan-Nya, kita berdoa agar Allah s.w.t. terus melindungi mereka, membela yang teraniaya, menghentikan peperangan dan pertumpahan darah, dan mengembalikan ketenangan.
Bagi mereka yang bercadang untuk menuju ke rantau itu, mimbar menyeru agar ditangguhkan rancangan tersebut, sesuai dengan maqasid shariah dalam memelihara kebajikan dan kemaslahatan.

