collections khutbah Al-Arqam Ibn Abi Al-Arqam r.a.
Al-Arqam Ibn Abi Al-Arqam r.a.

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

21 Februari 2020 / 27 Jamadilakhir 1441H

Menghayati Erti Pengorbanan:

Al-Arqam Ibn Abi Al-Arqam r.a.

 

Saudaraku,

Segala puji bagi Allah s.w.t. yang telah mengurniakan kepada kita segala kenikmatan. Segala kesyukuran ke hadrat Illahi di atas kasih sayang dan rahmatNya. Dia memilih kita untuk menjadi hambaNya yang menyemai ketakwaan kepadaNya. Dialah menunjuk jalan buat kita menambahkan amalan-amalan soleh, berkhidmat kepada ciptaanNya. Semoga Allah s.w.t. terus memberkati umur kita, sehingga dapat kita hiasinya dengan amalan kebajikan, Amin Ya Rabbal ’alamin.

 

Saudaraku,

Pada kesempatan kali ini, suka saya kongsikan satu lagi kisah mengenai seorang insan yang istimewa. Walaupun namanya mungkin disebut di dalam sirah Nabi s.a.w. sekali dua sahaja, namun, sumbangannya amat meninggalkan kesan. Sumbangannya di awal Islam menjadi inspirasi untuk kebaikan. Beliau adalah Al-Arqam ibn Abi Al-Arqam r.a.

Pada awal Islam tatkala Nabi s.a.w. masih lagi berhadapan dengan tentangan daripada kaumnya, Baginda s.a.w. ketika itu memerlukan tempat yang selamat untuk bertemu para sahabatnya. Ketika mendapat tahu keperluan Nabi s.a.w. itu, Al-Arqam ibn Abi Al-Arqam r.a. dengan sukarela telah menawarkan Nabi s.a.w. untuk menggunakan rumahnya sebagai tempat pertemuan Baginda dengan para sahabat.

Dalam lembaran sirah Nabi s.a.w kita tidak temui banyak kisah yang menonjol tentang Al-Arqam melainkan sumbangan ini. Namun, sumbangan ini tidak pernah terlepas daripada disebut oleh perawi-perawi sirah. Ini antara lain mengingatkan kepada kita bahawa amal yang nampaknya kecil itu sebenarnya boleh mendatangkan kesan yang berpanjangan dan mendalam.

 

Saudaraku,

Kisah yang baru saya nyatakan tadi merupakan manifestasi maksud pengorbanan di sisi Allah s.w.t. sepertimana dalam firmanNya:

Yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada tahap kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan apa yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”. (Surah Ali Imran, ayat 92).

Pemberian atau pengorbanan yang dianjurkan Islam membawa pengertian, kesanggupan seseorang untuk mengorbankan kemahuan diri sendiri untuk kepentingan yang lebih besar, bagi kemanfaatan yang lebih luas.

 

Saudaraku,

Ternyata pada kisah Al-Arqam ibn Abi Al-Arqam r.a. terkandung pelbagai pengajaran untuk diri kita. Antaranya bagaimana pengorbanan dan sumbangan yang kita buat, sekiranya menepati keperluan dan situasi, bukan sahaja orang yang menerimanya akan lebih lagi menghargainya, akan tetapi amalan tersebut juga bertambah nilainya di sisi Tuhan. Sebagai contoh, perhatikan hadis Nabi s.a.w. yang menceritakan tentang seorang lelaki yang mendapat kemaafan Tuhan serta berjaya memasuki syurga, hanya disebabkan amalannya yang memudahkan urusan orang ramai. Beliau telah mencabut dahan berduri yang berada di tempat laluan orang ramai. Kerana sumbangannya tersebut kena pada tempatnya, ketika itu Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Maka Allah membalas perbuatannya, dan memasukkannya ke SyurgaNya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Kedua saudara, jangan pernah kita meremehkan sumbangan atau pengorbanan seseorang. Yang kecil di mata manusia ternyata sesuatu yang agung di sisi Allah s.w.t. Nabi s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud: “….Peliharalah dirimu dari api neraka, walaupun dengan sebahagian dari sebiji kurma.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Saudaraku, perumpamaan yang diberikan Nabi s.a.w. tersebut perlu kita hayati dengan lebih mendalam. Fikirkan! Berapalah sahaja nilai sebiji kurma? Apatah lagi sekiranya ia hanyalah sekerat daripada sebiji kurma, sebagaimana yang disabdakan Nabi s.a.w. tadi. Apakah besar sumbangan seseorang sekiranya ia menyumbang sebiji kurma?

Ia merupakan perumpamaan suatu pemberian yang sedikit, akan tetapi apabila terdapat keikhlasan padanya, amalan yang sedikit tersebut bakal membawa kemanfaatan buat dirinya. Serta meninggikan darjatnya di sisi Tuhan.

Ternyata Tuhan tidak melihat kepada kadar serta banyaknya sumbangan, akan tetapi yang menjadi kayu ukur adalah keikhlasan dan kesanggupan kita memberikan sesuatu yang kita hargai tidak kiralah harta, masa mahupun tenaga.

 

Saudaraku,

Kisah Al-Arqam ibn Abi Al-Arqam r.a. juga mengajar kepada kita untuk mencari jalan huraian kepada sesuatu cabaran, dan menyumbang kepada huraian masalah, bukan merumitkan lagi cabaran itu.

Al-Arqam ibn Abi Al-Arqam r.a. -seperti Nabi s.a.w. dan para sahabatnya yang lain- juga berhadapan dengan kesukaran. Namun beliau tidak memilih untuk berpeluk tubuh, serta menyalahkan nasib ataupun takdir. Bahkan tidak pula beliau memilih untuk hanya mengadu, serta melihat kepada aspek negatif suatu keadaan.

Beliau memilih untuk menyumbang mencari huraian. Beliau memilih untuk membantu dan membawa perubahan. Beliau memilih untuk meringan sedikit bebanan dan tanggungan semampunya.

Ia merupakan suatu pengajaran yang perlu kita hayati bersama. Lebih-lebih lagi pada saat yang mencabar ini. Pada saat ini, yang kita perlukan adalah bantuan dan sokongan ramai. Yang diharapkan adalah kesatuan hati kita untuk bersama-sama menempuhi detik ini dengan penuh kecekalan hati.

Kita menyaksikan ramai individu yang telah tampil memberi pelbagai sumbangan. Ada yang mengagihkan pelitup muka secara percuma kepada umum, malahan ada yang memberi makanan buat petugas kesihatan. Ada yang menyediakan pembersih tangan (hand sanitizer) untuk kemanfaatan ramai dan sebagainya. Ini semuanya merupakan inisiatif yang baik yang perlu diteruskan lagi. Bahkan saya rasa, ia perlu ditambah dan digandakan lagi.

Carilah peluang untuk menabur bakti dalam waktu-waktu yang mencabar ini. Semoga berkat kesatuan dan keikhlasan kita ini, Allah lindungi kita daripada sebarang bahaya.

Semoga Allah mengurniakan kita semangat dan kebijaksanaan untuk terus memperkukuhkan ketakwaan kita kepadaNya. Semoga Allah menghimpunkan kita dan keluarga kita bersama orang-orang yang bertakwa pada hari kita bertemuNya kelak.