collections khutbah Akhlak dan Rahmah dalam Perhubungan
Akhlak dan Rahmah dalam Perhubungan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

11 Oktober 2019 / 12 Safar 1441H

Akhlak dan Rahmah dalam Perhubungan

 

Ma’asyiral Muslimin yang dirahmati Allah s.w.t., 

Pada hari Jumaat yang penuh dengan keberkatan ini, saya mengajak kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala yang telah diperintahkanNya dan jauhi segala yang dilaranganNya. Semoga kita sentiasa dikurniakan rahmatNya sentiasa. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

 

Saudaraku,

Ketahuilah bahawa akhlak yang baik merupakan salah satu komponen yang paling utama untuk membina tamadun yang diredhai Allah s.w.t. Apakah itu tamadun yang diredhai Allah s.w.t.? 

Ia adalah sebuah masyarakat yang mampu untuk hidup di muka bumi Allah s.w.t. seiringan dengan keseluruhan makhluk ciptaan Tuhan yang lain. Ia mampu dicapai, apabila seseorang itu berjaya mempamerkan akhlak bimbingan Nabi Muhammad s.a.w. Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107 menerangkan perihal yang berkaitan dengan firmanNya:

 

Yang bermaksud:“Dan tidaklah kami mengutus kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” 

Sesungguhnya kemakmuran sesebuah masyarakat dikaitkan dengan nilai-nilai peradaban yang diresam oleh ahli-ahlinya.Salah satu sifat terpuji yang amat perlu diterapkan di dalam masyarakat kita, adalah sifat berbaik sangka sesama manusia. Islam mendidik umatnya agar sentiasa berbaik sangka, dalam usaha mengekalkan kebahagiaan bersilaturrahim dan menjaga keutuhan masyarakat. 

 

Saudaraku,

Pertimbangan akhlak dewasa kini menjadi lebih kritikal lagi. Lebih-lebih lagi dalam kitaberkomunikasi dan berinteraksi sama ada secara siber atau maya (virtual). Malah teknologi terkini membolehkan kita berinteraksi secara bergerak melalui alat mobile tanpa bergantung kepada komputer peribadi seperti dahulu. 

Namun saudaraku, janganlah kita terpedaya, lalai dan menyalah gunakan kemakmuran teknologi yang kita saksikan. Seringkali kita menerima berita di media sosial dan khidmat pesanan mengenai banyak perkara. 

Ketika itu, kita perlu mengamalkan sifat berhati-hati apabila menerima khabar berita. Ini tidak kiralah sama ada ia informasi berkaitan agama, berita tentang status halalnya sesuatu produk, mahupun berita tentang individu-individu tertentu. Malah, andai kata berita tersebut adalah benar sekalipun, kita dilarang dari menyebarkannya, jika ia menjejaskan nama baik atau aib seseorang yang tidak diketahui umum.  Apatah lagi jika ia tidak benar? Kerana pastinya ia termasuk dalam kategori fitnah.  Allah s.w.t. berfirman:

 

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah Al-Hujurat, ayat 6).

 

Saudaraku,

Nilai rahmah mengajarkan kepada kita maksud dan tujuan kehidupan. Iaitu kita diciptakan bukan semata-mata untuk memenuhi kewajipan peribadi, akan tetapi kita juga berperanan untuk menjadi sumber pengharapan dan rahmah kepada manusia. Dalam erti kata lain, untuk memberi dan membawa kesan kepada kehidupan ini.

Dari itu, jangan kita menjadi seperti sebahagian individu, yang bukan sahaja tidak membawa kemanfaatan kepada kehidupan lain. Bahkan dia menjadi punca kerosakan, perpecahan, persengketaan, permusuhan dan pertengkaran.

Imam Al-Bukhari di dalam kitab Al-Adab Al-Mufrad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Mahukah ku beritahukan kepada kalian tentang orang-orang yang paling buruk akhlaknya di antara kalian? Yaitu orang-orang yang suka berjalan kesana kemari untuk menyebar fitnah (hasut), yang suka memisahkan orang-orang yang saling mencintai, dan yang suka mencari kekurangan pada orang-orang yang tidak berdosa.” [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari].

 

Saudaraku,

Golongan seperti ini tidak membawa kemanfaatan bagi masyarakat. Kerana menciptakan kerenggangan di antara masyarakat. Kerana melalui penyebaran fitnah, ia akan mencetus bibit-bibit permusuhan di antara golongan masyarakat. 

Hal ini menjadi lebih ketara lagi dalam konteks alam siber, di mana apa yang dicoretkan akan kekal terakam. Mudah merebak dan tersebar luas serta sukar pula untuk dipadam atau ditarik kembali. Jika ia ternyata fitnah, maka dosanya menjadi berlipat ganda.

Oleh kerana itu, Islam menganggap perbuatan menyebarkan fitnah dan berita palsu termasuk di antara bahaya dan dosa lidah. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Orang Islam itu adalah orang yang memelihara orang-orang Islam yang lain daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (meninggalkan) daripada apa yang dilarang oleh Allah”.[Hadith riwayat Imam Al-Bukhari].

 

 

Saudaraku,

Maka sebagai kesimpulan, ingin saya menegaskan kepentingan untuk kita menjadi seorang pengguna yang bertanggungjawab dan berhemah. Seperti mana Islam mengajar kita untuk menjadi individu Muslim yang berakhlak mulia dalam berinteraksi sesama insan dalam kehidupan fizikal kita seharian, begitu jugalah keadaanya ketika kita berinteraksi di alam maya. 

Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. tidakkah kita ingin menjadi seorang yang dicintai oleh Rasulullah s.a.w. dan dekat kepadanya di akhirat kelak, ingatlah akan pesanan Rasulullah s.a.w. buat kita semua:

 

Yang bermaksud: Sesungguhnya yang paling aku cintai dan yang paling dekat tempatnya dengan diriku esok di hari Qiyamat adalah yang paling baik akhlaknya di antara kamu.” [Hadith riwayat Imam At-Tirmizi]

Ayuh! Kita terapkan pengajaran di sebalik hadith ini dalam diri kita, dan juga isteri-isteri kita, anak-anak kita dan seterusnya kepada manusia sejagat. Sinarilah akhlak anda agar ia menjadi daya tarikkan. Kedepankan perasaan rahmah, perasaan kasih dan sayang ketika kita berurusan sesama insan. 

Semoga Allah s.w.t. sentiasa menyematkan Rahmah dan kasih sayang di dalam setiap langkah kita semua.Ya Allah, hiasilah pendengaran, penglihatan dan kekuatan kami selama kami hidup ini Ya Allah dengan rahmatMu Ya Allah. Berikanlah kurnia tersebut kepada kami selama hayat kami di kandung badan. Janganlah Engkau timpakan kepada kami musibah pada agama kami dan janganlah jadikan dunia ini menjadi keinginan kami yang terbesar dan menjadi kesudahan ilmu kami serta janganlah Engkau kuasakan ke atas kami orang yang tidak menyayangi kami.  Amin Ya Rabbal ‘Alamin.