collections khutbah Akal sejahtera, kehidupan bermakna
Akal sejahtera, kehidupan bermakna

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

15 Mei 2026 / 27 Zulkaedah 1447H

Akal Sejahtera, Kehidupan Bermakna

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan insan yang memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Hadirin yang dikasihi Allah,

Antara nikmat terbesar yang Allah s.w.t. kurniakan kepada insan adalah akal kita. Dengan akal, kita mampu berfikir, membuat pertimbangan dan membezakan antara yang benar dan yang salah. Bukankah akal juga yang membezakan manusia daripada makhluk-makhluk Allah yang lain?

Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Anfal, ayat 22:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya, seburuk-buruk makhluk di sisi Allah adalah mereka yang tidak mendengar dan menuturkan (kebenaran), dan yang tidak menggunakan akal (untuk memahami kebenaran).”

Para ulama turut menegaskan kedudukan akal yang begitu penting dalam kehidupan manusia. Dalam kitab Maqasid al-Syariah al-Islamiah, Al-Imam Ibn ‘Ashur menyebutkan kata-kata para hukama:

Yang bermaksud: “Manusia itu adalah akalnya, manakala anggota badan yang lain hanya berkhidmat kepada akalnya.”

Ini bermakna akal merupakan pusat pertimbangan utama dalam kehidupan manusia, manakala anggota badan yang lain hanya bertindak berdasarkan apa yang diputuskan oleh akalnya.

Kesejahteraan hidup seseorang berkait rapat dengan kesejahteraan akalnya. Apabila akal dipelihara dengan baik, maka kehidupan juga akan menjadi lebih terpandu dan bermakna.

Atas sebab itu, Islam amat menitikberatkan kesihatan akal serta kemampuan berfikir dan menilai sesuatu menurut neraca agama. Syariat Islam bukan sekadar mengatur hubungan manusia dengan Allah, bahkan membimbing manusia untuk membina kehidupan yang sejahtera melalui pemikiran akal yang sihat dan pertimbangan yang baik dalam menjalani kehidupan.

Saudaraku,

Hari ini, cabaran menjaga kesejahteraan akal hadir dalam pelbagai bentuk. Contohnya, isu penyalahgunaan dadah, vaping dan minuman keras membawa kesan buruk yang amat jelas. Ia merosakkan pertimbangan akal serta boleh menghancurkan masa depan individu, keluarga serta masyarakat di sekeliling.

Terdapat juga kesan buruk yang menyelinap secara halus dalam kehidupan seharian sehingga ia dianggap perkara biasa. Ini boleh kita lihat dalam penggunaan telefon pintar secara berlebihan tanpa saringan iman. Ini boleh membuat seseorang merasa selesa dengan kandungan yang berbaur maksiat, sehingga menjadi kurang sensitif terhadap dosa, sekaligus menganggapnya suatu norma kehidupan. Jika gagal dikawal penggunaannya, ia juga boleh menggugat kesejahteraan akal, dengan menjejas daya tumpuan, emosi dan keseimbangan hidup seseorang.

Apa yang asalnya dianggap sebagai wadah hiburan bagi mengalih perhatian untuk seketika, boleh berubah menjadi sumber ketagihan. Jika tidak dikawal, ia berpotensi mengganggu daya tumpuan, hubungan sesama keluarga serta tanggungjawab harian kepada Tuhan atau sesama manusia.

Saudara yang dirahmati Allah,

Islam amat menitikberatkan pemeliharaan akal. Ia dengan tegas melarang segala perkara yang merosakkan kewarasan, pertimbangan dan kesejahteraan manusia.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan.” (Riwayat Ad-Daraqutni)

Ini menunjukkan Islam menolak segala perkara yang membawa kerosakan kepada diri dan masyarakat, termasuk perkara yang merosakkan akal dan daya fikiran manusia.

Bagi tujuan memelihara akal, selaras dengan objektif atau maqasid syariah, ada beberapa langkah utama yang perlu diambil:

Pertama: Menjauhi bahan dan tabiat yang boleh merosakkan akal

Saudara, apabila syariat Islam mengharamkan minuman keras, hukumnya juga merangkumi setiap perkara yang boleh memabukkan, iaitu yang menghilangkan pertimbangan justeru memudaratkan akal manusia.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Setiap yang memabukkan (yakni yang menyebabkan kehilangan pertimbangan akal) itu adalah haram.” (Riwayat Muslim)

Oleh itu, larangan ini tidak terbatas kepada arak sahaja, tetapi meliputi segala perkara yang menjejas fungsi akal untuk berfikir dengan jelas dan membuat pertimbangan yang baik. Ini merangkumi tabiat dan ketagihan yang boleh melemahkan kesejahteraan akal, seperti dadah, atau yang menggugat daya tumpuan dan pemikiran dalam kehidupan seharian, seperti penggunaan telefon pintar secara tidak terkawal.

Kedua: Membina akal dengan ilmu, nilai dan amalan yang sihat

Akal yang sihat bukan sekadar perlu dipelihara daripada kerosakan, tetapi ia juga perlu diperkukuh dengan ilmu dan pemikiran yang baik. Dalam kehidupan hari ini, kita semua mengalami ledakan maklumat (information overload) dari segenap penjuru. Kita memerlukan keupayaan untuk menilai maklumat dengan bijak dan mengenalpasti sumber ilmu yang sahih.

Oleh itu, untuk menjaga kesejahteraan akal, marilah kita membudayakan amalan yang sihat seperti membaca, menuntut dan mengkaji ilmu serta melatih daya tumpuan melalui aktiviti yang bermanfaat. Gunakan teknologi dengan bijak agar ia menjadi alat yang membina kehidupan, bukan yang melemahkan daya pemikiran dan ketenangan jiwa.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya, pemeliharaan akal bukan sekadar menjauhi kemudaratan, tetapi juga membina kehidupan yang dipenuhi ilmu, hikmah dan ketenangan. Akal yang sejahtera akan melahirkan insan yang mampu membuat keputusan dengan baik, menyumbang kepada masyarakat dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan lebih berkesan.

Semoga kita dikurniakan taufik untuk memelihara nikmat akal yang telah Allah amanahkan kepada kita, demi membina kehidupan yang lebih bermakna untuk diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua