collections khutbah Mengakhiri Tahun Dengan As-Salam
Mengakhiri Tahun Dengan As-Salam

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

31 Disember 2021 / 26 Jamadilawal 1443H

Mengakhiri Tahun Dengan As-Salam

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan tinggalkan segala tegahan-Nya. Semoga dengan iman dan takwa di dalam diri, kita dikurniakan keamanan dan kesejahteraan.

Saudaraku,

Sebagai penutup bagi khutbah jumaat pada tahun 2021, marilah kita menghayati satu lagi nama Allah (s.w.t.) yang mulia, iaitu as-Salam. Yang Maha Sejahtera.

Saudaraku,

Antara doa yang sering dibaca Nabi Muhammad (s.a.w.) adalah doa berikut:

اللهم أَنتَ السَّلاَم وَمِنكَ السَّلام تَبَارَكتَ يَاذَا الجَلاَلِ وَالإِكرَام

Yang bermaksud: “Ya Allah, Engkau yang Maha Sejahtera dan daripada Engkaulah kesejahteraan. Engkaulah yang berkuasa memberi keberkatan wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Nabi Muhammad (s.a.w.) mendorong umatnya agar sering membaca doa ini. Dengan membaca doa ini, kita sedang memuji Tuhan yang Maha Sempurna dan selamat daripada segala keaiban dan kekurangan. Kerana Allah lah yang memberi keselamatan kepada setiap insan. Dan Dialah yang menjadi sumber segala keberkatan dan kebaikan dalam kehidupan.

Saudaraku,

Allah (s.w.t.) menyebut nama-Nya as-Salam di dalam surah al-Hasyr pada ayat 23 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat; Yang Melengkapi segala Kebesaran-Nya. Maha Suci Allah daripada segala yang mereka sekutukan dengan-Nya.”

Ibnu Qutaibah dalam kitabnya Gharibul Quran mengatakan bahawa sifat as-Salam bermaksud: Tuhan yang selamat dan bebas daripada sebarang keaiban, kekurangan, kehancuran, dan kematian.

Maka sifat as-Salam membawa maksud bahawa Tuhan sentiasa menginginkan kesejahteraan dan kebaikan buat kita. Segala ketetapan-Nya, adalah demi kebaikan insan. Demi kesejahteraan kehidupannya di dunia, serta kejayaan di akhirat. Tiada kemudaratan serta bahaya pada segala yang Tuhan tetapkan. Walaupun mungkin hikmahnya tidak kelihatan sekarang ini, seorang Mukmin sentiasa berdoa kepada as-Salam agar dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan.

Saudaraku,

Sebagaimana al-Izz ibn Abdul Salam menyatakan, bahawa antara hikmah kita pelajari Asmaul Husna, adalah untuk berusaha menterjemahkan nilai-nilai mulia ini dalam kehidupan kita. Sekadar kemampuan dan keterbatasan insan yang ada.

Maka dalam kita menghayati nama Allah as-Salam, Yang Maha Sejahtera, ia juga perlu diterjemahkan dalam kehidupan kita seharian. Lebih-lebih lagi ketika kita berinteraksi bersama insan lain. Iaitu dengan menyebarkan kesejahteraan dan salam. Ini kerana dalam mengharapkan keamanan dalam kehidupan kita, ia tidak hanya tertakluk kepada pelaksanaan ibadah zikir dan solat sahaja. Ketenangan juga boleh didapati apabila kita menjalinkan hubungan yang baik sesama manusia. Membina silaturrahim yang kukuh dan harmoni bersama ahli keluarga, jiran tetangga serta masyarakat, tidak kira bangsa dan agama.

Seorang Muslim yang beriman kepada Tuhan yang Maha Sejahtera, serta sentiasa mengharapkan kesejahteraan dan keselamatan dalam kehidupannya, beliau pastinya akan berusaha untuk memastikan insan di sekelilingnya juga merasa aman dengan kehadirannya.

Mana mungkin mereka yang mengharapkan kesejahteraan daripada Tuhan, tetapi meremehkan hak orang lain, menganggap ringan perasaannya, mudah menyakitinya dan menjatuhkan maruahnya. Insan yang sedemikian rupa, hanya ikutkan hawa nafsu, keinginan dan kepentingan diri masing-masing. Lisannya bebas berbicara, tanpa mengendah langsung akan keburukan akibatnya. Dunia sedemikian tidak akan tenang lagi aman. Ia penuh dengan porak-peranda, kebingungan dan perpecahan.

Mudah-mudahan segala usaha yang kita kerjakan untuk menghadirkan keamanan serta kasih sayang sesama insan, kita akan dikurniakan tempat di syurga-Nya. Sepertimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Kamu tidak akan memasuki syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak beriman sehingga kamu berkasih sayang. Adakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu perkara yang mana apabila kamu mengerjakannya nescaya kamu saling menyayangi sesama kamu? Sebarkanlah salam di antara kamu” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Semoga Allah memberikan kita pengampunan di atas segala kekurangan dan menghiasi hati kita dengan kesejahteraan. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.