Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
6 Januari 2023 / 13 Jamadilakhir 1444H
Peranan Iman Dalam Mengharungi Cabaran Hidup
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita mengukuhkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t) dengan melakukan segala yang diperintah-Nya dan menjauhi segala yang dilarang-Nya. Semoga dengan nilai ketakwaan yang teguh ini, kita dapat terus menghadapi onak duri kehidupan dengan keimanan yang utuh terhadap-Nya. Amin.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Lumrah kehidupan itu sememangnya penuh dengan cabaran. Kita akan sentiasa diuji dan terus diuji pada setiap waktu dan ketika. Kerana setiap ujian itu adalah ketentuan Allah (s.w.t) yang sudah tertulis sejak azali lagi. Allah (s.w.t) berfirman:
Yang bermaksud, “Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Al-Hadid: 22)
Saudara dan saudari,
Firman Allah (s.w.t) yang dibaca tadi itu bukanlah sebagai alasan untuk kita berputus asa. Sebaliknya, ia merupakan pengajaran dan pegangan bagi kita untuk terus tabah dalam menghadapi ujian yang menimpa. Tidak juga terleka dan lalai dalam meraikan kebaikan dan nikmat yang kita terima. Bahkan, kita sentiasa bersyukur di dalam apa jua keadaan. Itulah di antara makna rukun iman yang keenam, iaitu, beriman kepada takdir Allah, baiknya dan juga buruknya.
Diriwayatkan dalam sebuah hadis, bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah ditanya tentang iman. Lalu Baginda pun menjawab, “Iman adalah, engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan kitab-kitab-Nya; dan para Rasul-Nya, dan Hari Akhir, dan beriman kepada takdir Allah yang baik dan yang buruk,” Lelaki itu pun berkata, “Engkau benar.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Keimanan terhadap takdir Allah (s.w.t.) ini mengajar kita untuk tidak sesekali sangsi akan rahmat dan kasih sayang Allah (s.w.t) kepada kita. Yakinlah, dan teguhkanlah iman kita, percaya bahawa pada setiap ujian itu ada hikmah yang tersirat, dan pengajaran untuk diri kita.
Apabila kita diuji dengan kesusahan, ia mengajar erti kesabaran. Dan apabila kita diuji dengan kesenangan, ia mengajar kita erti kesyukuran. Di setiap kesusahan dan setiap kesenangan yang dihadapi adalah ujian buat kita. Rasulullah (s.a.w) bersabda:
عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَه
Yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Saudara dan saudari,
Pada tahun-tahun yang lalu, kita diuji dengan pelbagai ujian. Ada sebahagian daripada kita yang diuji hebat dengan kesihatan dan Covid-19, ada pula dengan pekerjaan dan sebagainya. Tetapi Alhamdulillah segala puji bagi Allah (s.w.t). Kerana dengan kita menyedari kelemahan kita dan meletakkan sandaran kita hanya kepada Allah, secara perlahan-lahan Allah (s.w.t) membuka ruang yang sempit. Allah (s.w.t) meringankan yang berat dan Dia membuka hati-hati kita semua untuk terus tabah mengharungi ujian yang tidak diketahui bila kesudahannya.
Di samping itu usaha tetap perlu diteruskan. Seandainya kita diuji dengan kesukaran mencari pekerjaan misalnya, maka tingkatkan kemahiran, timbalah ilmu dan ambil setiap peluang yang ada. Dan seandainya ujian kita pula adalah dari segi kesihatan, ikhtiarkanlah rawatan yang sesuai, carilah pakar yang mampu membantu. Itulah usaha kita, dan kita susulinya dengan berserah kepada Allah (s.w.t).
Ingatlah pesan Nabi (s.a.w) yang bermaksud, “Jika Allah mencintai suatu kaum, Dia akan menguji mereka.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Mari kita terapkan kesabaran dalam menempuhi ujian, tetapkan rasa bersyukur dalam apa jua keadaan. Dan pautkanlah usaha dan kegigihan bersama keimanan. Semoga dapat meraih keredaan Ar-Rahman.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
Khutbah Kedua
الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.