collections / khutbah / Peribadatan yang Istiqamah /
Peribadatan yang Istiqamah

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

28 Mac 2025 / 27 Ramadan 1446H

Peribadatan yang Istiqamah

Zumratal Mukminin Rahimakumullah,

Bersama, kita memperteguh ketakwaan dan ketaatan kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Semoga cahaya petunjuk Allah s.w.t.

sentiasa membimbing kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saat Ramadan melabuhkan tirainya, khutbah hari ini mengingatkan kita agar meneruskan amalan soleh dan kesedaran rohani yang telah kita pupuk di sepanjang Shahrul Quran – Bulan Al-Quran ini.

 

Saudara yang dikasihi sekalian,

Istiqamah atau keberterusan dalam beribadah adalah ciri penting yang membawa kepada kejayaan di dunia dan akhirat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan, walaupun sedikit." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Amal ibadah kita seharusnya terus subur meskipun Ramadan bakal berlalu. Walaupun hati berasa hiba kerana Ramadan hampir meninggalkan kita, bulan Syawal pula menanti dengan peluang untuk meneruskan amalan yang baik. Meneruskan ibadah dan kebaikan bermakna, kita juga berusaha untuk tidak kembali kepada tabiat negatif lampau, setelah meraih kemanisan iman dan kerohanian dalam bulan Ramadan. Sesungguhnya, Allah mencintai mereka yang istiqamah dalam ibadah dan pengabdian kepada-Nya.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Ahqaf, ayat 13:

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya, orang-orang yang berkata,

‘Tuhan kami ialah Allah,’ kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak ada ketakutan pada mereka dan mereka tidak akan bersedih hati.”

 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Terdapat tiga langkah yang boleh kita lakukan untuk mengekalkan amalan baik dan mengelakkan diri daripada kembali kepada tabiat negatif:

Pertama: Menjaga Lisan

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya tentang perkara yang paling baginda khuatiri terhadap umatnya, lalu baginda memegang lidahnya dan bersabda: "Ini." (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Di era digital ini, penjagaan lisan tidak terbatas kepada pertuturan sahaja, tetapi juga komunikasi dalam talian. Setiap kata yang kita ucapkan mahupun tulis mempunyai akibat dan kesan. Kita harus mengelakkan pertuturan yang kesat, merendahkan orang lain, ucapan yang menyakitkan, dan beringat bahawa ia akan dipertanggungjawabkan di Hari Akhirat.

Marilah kita terus beristiqamah menangkis godaan ini.

 

Kedua: Berteman dengan Orang Soleh

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Seseorang itu berada di atas agama sahabatnya, maka perhatikanlah dengan siapa dia berteman." (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Perjalanan rohani kita amat dipengaruhi oleh sahabat yang kita pilih. Jika kita bergaul dengan mereka yang mengingatkan kita kepada Allah s.w.t., mereka akan membimbing kita ke arah kebaikan dan menasihati kita tatkala tersasar. 

 

Ketiga: Berusaha Mencari Ilmu yang Bermanfaat

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Fatir, ayat 28:

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya, yang benar-benar takut kepada Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orangorang yang berilmu.”

Melalui pencarian ilmu yang sahih, kita memperoleh kefahaman yang mendalam untuk kekal istiqamah dalam ibadah dan ketaatan. Ilmu yang benar akan menguatkan ketakwaan kita dan menjadi panduan dalam mengekalkan amalan soleh, serta menghindari daripada kebiasaan buruk yang lalu.

 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita kekalkan hubungan kita dengan Allah s.w.t., agar hati kita sentiasa dekat dengan-Nya. Semoga kita dapat menjaga lisan dan perbuatan kita dengan penuh ketakwaan, agar ia menjadi saksi yang membela kita di akhirat kelak. Dengan menuntut ilmu yang bermanfaat, semoga akal kita diterangi kebenaran dan kebijaksanaan untuk terus berpegang teguh kepada jalan yang diredai Allah.

 

Ya Allah, Ya Mu‘ṭī, kurniakanlah kami kemuliaan meraih keberkatan Lailatul Qadr, serta tanamkan dalam hati kami azam yang berterusan untuk melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan. Ya Qayyūm, Ya Hafīẓ, bimbinglah kami dalam menjaga lisan daripada perkataan yang mungkin membawa penyesalan di akhirat. Ya Rafīq, Ya ʿAlīm, kurniakanlah di kalangan sahabat kami orang-orang yang soleh, dan tanamkan dalam diri kami rasa cinta kepada ilmu yang bermanfaat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, kurniakanlah bagi kami pada hari ini doa yang tidak tertolak. Bukakanlah bagi kami pintu syurgamu yang tidak akan tertutup. Himpunkanlah kami dalam golongan umat Nabi Muhammad s.a.w. Tanamkanlah dalam hati kami rasa cinta terhadap ciptaan-Mu yang paling sempurna. Hilangkanlah dahaga kami dari telaga Nabi-Mu, naungilah kami dalam syurgaMu, dan lindungilah kami dalam rahmat-Mu. Kurniakanlah hasrat kami, cukupkanlah kami dengan limpah kurnia-Mu, bimbinglah kami ke arah ketaatan-Mu. Peliharalah kami dari azab neraka, dan lindungilah kami dari kejahatan setiap mereka yang hasad dan dengki.

 

Ya Allah, Engkaulah tempat mengadu bagi setiap keluhan. Engkaulah yang Maha Mendengar setiap rintihan. Engkaulah pembela orang-orang yang dizalimi. Engkaulah yang bersikap penyayang terhadap orang yang lemah dan berkesempitan. Dengan rahmat-Mu bantulah saudara-saudara kami yang tertindas di setiap tempat, khususnya di Gaza dan Palestin,  wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

 

Ya Allah, sembuhkanlah yang terluka, sihatkanlah yang sakit, kenyangkanlah yang lapar, hilangkan dahaga mereka, dan hangatkan mereka yang di dalam kedinginan. Ya Allah, jika mereka tidak beralas kaki, maka Engkau dukunglah mereka. Jika mereka kehilangan pakaian, maka Engkau tutupilah tubuh mereka. Wahai Tuhan Pelindung insan yang teraniaya, dan Pendukung hamba yang memerlukan, sesungguhnya mereka dizalimi, maka Engkau berikanlah bantuan.

 

Ya Allah, selimutkanlah mereka dengan rahmat-Mu, tempatkan mereka dalam kasih sayang-Mu, kuatkan mereka dengan kekuatan-Mu, dan teguhkanlah langkah mereka dengan kemuliaan-Mu. Ya Allah, lindungilah mereka daripada setiap penguasa yang zalim dan angkuh, serta jauhkanlah mereka daripada setiap penindas hamba-hamba-Mu. Gantikan ketakutan mereka dengan keamanan. Gantikan keresahan mereka dengan ketenagan. Gantikan kesempitan mereka dengan kelapangan, dan gantikan kesedihan mereka dengan kegembiraan.

 

Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia. Kurniakanlah bagi kami juga kebaikan di akhirat, serta lindungilah kami semua dari azab api neraka.