collections khutbah Memanjat Pengharapan kepada Allah (s.w.t.)
Memanjat Pengharapan kepada Allah (s.w.t.)

Majlis Ugama Islam Singapura 

Khutbah Jumaat 

15 Disember 2023 / 2 Jamadil Akhir 1445H 

Memanjat Pengharapan kepada Allah (s.w.t.)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.). Laksanakan segala perintah-Nya dan Jauhi segala larangan-Nya. Semoga kita dikurniakan kekuatan dalam mengharungi cabaran dan dugaan dalam kehidupan di dunia ini. Amin.

Para jemaah sekalian,

Khutbah pada minggu-minggu lalu telah mengongsikan beberapa doa yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Pada hari ini, saya ingin mengongsikan satu lagi doa yang diajarkan oleh Rasulullah (s.a.w.) dalam kita berhadapan dengan kegelisahan dan kesedihan. Sabda Rasulullah (s.a.w.):

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada kegelisahan dan kesedihan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung dengan-Mu daripada sifat penakut dan bakhil, dan aku berlindung dengan-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan orang.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi).

Hadis ini mengambarkan kepada kita bahawa kehidupan di dunia ini tidak sunyi daripada sebarang rintangan dan cabaran. Ia sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada emosi, jiwa dan perasaan kita. Dalam apa jua situasi yang bakal atau sedang dilalui, kita diingatkan bahawa Allah (s.w.t.) adalah sebaik-baik Penentu bagi setiap perkara. Kita diajar untuk menyerahkan segala pengharapan kita kepada Allah (s.w.t.). Kita turut dipandu oleh agama untuk memohon kepada Allah agar dijauhkan daripada segala kegusaran dan kegelisahan dalam kehidupan kita.

Malahan, para nabi dan rasul turut meninggalkan pelbagai pengajaran di sebalik perasaan sedih yang mereka lalui. Sepertimana tergambar di dalam surah Yusuf, ayat 86. Allah (s.w.t.) berfirman:

 

Yang bermaksud: “Dia (Nabi Ya’akub) berkata: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah, dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) daripada Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Ayat yang dibacakan sebentar tadi merupakan pernyataan daripada Nabi Ya’akub (a.s.). Ayat ini didahului dengan kisah yang menceritakan tentang bagaimana baginda berhadapan suatu ujian kehilangan dua anak baginda, yang mana salah satu daripada mereka adalah anaknya yang tercinta, Nabi Yusuf (a.s.). 

Imam As-Sa'di dalam kitab tafsirnya meriwayatkan bahawa kesedihan yang dialami Nabi Ya’akub mencapai ke suatu tahap yang mana matanya menjadi kabur, badannya menjadi lemah sehingga tidak dapat berkata-kata. Namun sepanjang kesedihan baginda, keimanan Nabi Ya’akub tetap utuh. Malah, baginda mengadu kesedihan yang dialaminya dan menyerahkan segalannya kepada Allah (s.w.t.). 

Saudara dan Saudari, 

Dalam melalui pancaroba kehidupan dan bencana kemanusiaan yang kita saksikan pada hari ini, ia mengingatkan kita untuk kembali meluahkan perasaan kita kepada Allah (s.w.t.). Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha mengetahui isi hati kita. Setiap sesuatu yang detik dalam hati kita, adalah peringatan kepada kita bahawa setiap sesuatu berlaku terdapat pengajaran di sebaliknya. 

Ada pelbagai cara yang boleh dilakukan ketika berhadapan dengan situasi yang mencabar kesihatan mental dan emosi. Izinkan saya berkongsi dua panduan untuk manfaat kita bersama.

Pertama: Mencari ketenangan dengan menghayati ayat-ayat suci al-Qur’an.

Saudara dan saudari sekalian, 

Setiap hari dan ketika, kita dihidangkan dengan pelbagai perkembangan dan berita tempatan dan luar negara dengan begitu mudah, lazimnya menerusi telefon bimbit. Mengambil tahu perkembangan semasa sangat bermanfaat. Namun, hati dan minda kita perlu direhatkan buat seketika daripada beban maklumat atau “information overload” apabila tiba masanya. Kita boleh mengalihkan pandangan dengan kita membaca dan menghayati, seberapa mampu, ayat-ayat suci al-Qur’an. Allah (s.w.t.) berfirman dalam Surah al-Ra’ad, ayat 28:

 

Yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Dengan melafazkan setiap huruf di dalam al-Qur’an, bukan sahaja ia membuka peluang untuk kita mendapatkan pahala, tetapi ia juga dapat memberikan ketenangan yang sangat diperlukan seorang Muslim itu. Salah satu cara yang boleh diusahakan adalah dengan kita menghayati maksud ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca.

Di samping membaca al-Qur’an, kita juga dianjurkan untuk bermunajat, berdoa, mengadu sesuatu yang terbeku dalam hati dan minda kita kepada Allah (s.w.t.). Berdoalah kepada Allah dengan menyebut nama-nama-Nya yang mulia. Luahkan rasa kebimbangan, keresahan, dan kesedihan kita kepada-Nya. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sama kerana Allah Maha Mendengar.

Saudara dan Saudari,

Panduan kedua adalah dengan mengongsikan keresahan dan kesedihan kita kepada mereka yang boleh membantu memperbaiki keadaan.

Selain daripada mengadu perasaan kita kepada Allah (s.w.t.), kita juga wajar berkongsi permasalahan bersama orang-orang yang bersedia untuk membantu atau sekurang-kurangnya mendengar keluhan hati ini. Ahli keluarga, pasangan, teman, asatizah boleh dijadikan sandaran. Pada masa yang sama, pertimbangkan juga untuk berkongsi dengan pakar penasihat atau kounselor, sekiranya diperlukan. 

Ketahuilah, Islam tidak melarang perkongsian kegelisahan dan bebanan hidup bersama mereka yang bersikap amanah. Jangan membiarkan diri kita menanggung sesuatu yang bermain dalam fikiran dan perasaan secara sendirian sehingga kita menderita dalam diam. Kita perlu memelihara kesihatan minda dan jasmani bagi memastikan kemaslahatan diri dan keluarga kita kekal terpelihara.

Sama-samalah kita berdoa kepada Allah (s.w.t.) agar memberikan kita kekuatan untuk mengawal setiap perasaan yang membelenggu dalam hati dan minda kita. Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan ketenangan dan kejayaan buat kita di dunia dan di akhirat. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ. 

 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِين. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.  

 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.