Puasa 6 Hari Selepas Ramadhan: 3 Perkara Yang Harus Anda Ketahui

Kelebihan Puasa Enam dan tiga perkara yang harus anda tahu, termasuk perbezaan pendapat ulama dalam perkara ini.
by Ustaz Irwan Hadi Mohd Suhaimy 2021-05-14 • 5 min read
Member of the Asatizah Youth Network (AYN)
2021-05-14 • 5 min read

Puasa 6 Hari Selepas Ramadan: 3 Perkara Yang Harus Anda Ketahui

kelebihan, puasa enam, niat, puasa enam, syawal, puasa, ganti, serentak

Segala puji bagi Allah s.w.t.

Dalam kita menyambut dan meraikan Hari Raya Aidilfitri, terdapat satu puasa sunat yang ada hanya pada bulan Syawal ini. Maka tentutnya kita tidak boleh melepaskannya - ia adalah puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

 مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diiringinya dengan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa yang berterusan.”

(Sahih Muslim)

1. Puasa 6 hari di bulan Syawal kadarnya seperti berpuasa lengkap setahun

Para ulama' kita telah menjelaskan bahawa ganjaran sesuatu amalan akan digandakan dengan sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda. Berdasarkan ini, puasa di bulan Ramadan selama tiga puluh hari boleh diambil kira seperti berpuasa selama tiga ratus hari, dan kemudian enam hari di bulan Syawal pula setara dengan puasa selama enam puluh hari. Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.  sendiri menjelaskannya dalam sebuah hadis:

صيامُ شَهرِ رَمَضانَ بِعَشرةِ أشهُرٍ، وسِتَّةُ أيَّامٍ بَعْدهُنَّ بِشَهرينِ، فذلك تمامُ سَنَةٍ

“Puasa Ramadan adalah seperti puasa selama sepuluh bulan, dan puasa enam hari kmudian (di bulan Syawal) adalah seperti puasa selama dua bulan. Makanya itu adalah seperti puasa selam setahun penuh.”

(Musnad Ahmad)

2. Anjuran berpuasa berturut-turut di bulan Syawal

Umat Islam digalakkan untuk berpuasa enam hari dalam bulan Syawal secara berturut-turut kerana padanya ganjaran pahala dan kebaikan yang lebih. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tabarani dan lain-lain lagi, baginda Nabi s.a.w. bersabda:

مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ

"Sesiapa berpuasa enam hari (berturut-turut) selepas Aidilfitri adalah seperti berpuasa lengkap setahun."

Namun, jika tidak dapat melakukannya secara berturut, ia masih dibenarkan untuk berpuasa enam hari secara beransur selagi mana ia dijalankan dalam bulan Syawal.

3. Boleh untuk menggabungkan puasa qada yang ditinggalkan di bulan Ramadan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal

Menggabungkan niat untuk mengqada puasa yang ditinggalkan di bulan Ramadan dengan puasa sunat enam hari Syawal adalah sah. Walaubagaipun, berpuasa kedua-duanya secara berasingan mendatangkan ganjaran pahala yang lebih besar. Ini seperti yang disebutkan oleh Al-Hafidz As-Suyuthi dalam Al-Asybah wa al-Nadhair, di mana beliau menyebutkan pandangan Al-Bariziy. Namun, anda harus berniat untuk membayar puasa yang ditinggalkan di bulan Ramadan sebagai tujuan utama puasa anda dan puasa sunat enam hari di bulan Syawal hanyalah satu amalan dan tujuan tambahan . 

Dengan sebab inilah Imam Ar-Ramli dalam bukunya Nihayatul Minhaj ila Syarh al-Minhaj menjelaskan; walaupun dibolehkan untuk menggabungkan kedua-dua puasa, misalnya, qada puasa yang ditinggalkan di bulan Ramadan dan puasa enam hari di bulan Syawal, pahala bagi menjalankan kedua-dua puasa secara berasingan lebih banyak.

Para ulama' seperti Syeikh Ali Gom'ah pula berpendapat bahawa hadis tentang puasa enam hari di bulan Syawal itu adalah bersifat umum dan selama mana anda puasa 6 hari di bulan Syawal, sama ada tujuan utamanya adalah untuk membayar puasa yang ditinggalkan atau puasa sunat yang lain, anda telah memperolehi pahala puasa enam hari Syawal.

Apa pun pendapat yang kita ikuti, kita harus menghormati mereka yang mengambil pendapat lain tentang perkara ini. Apa saja pendapat yang berdasarkan Ijtihad ilmiah mempunyai kebaikan, Insya Allah.

Allahu A'lam

Read: Fasting On The White Days

Subscribe to our newsletter

* indicates required
Topics
All Asnaf Inspiring Muslims Dua Faith Ramadan Halal Wakaf Lifestyle Misconceptions
Join our mailing list
SUBSCRIBE