collections khutbah Zuriat: Antara Amanah dan Kesyukuran
Zuriat: Antara Amanah dan Kesyukuran

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

24 Mei 2024 / 15 Zulkaedah 1445H

Zuriat: Antara Amanah dan Kesyukuran

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar ketakwaan, dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Mari bersama menyemai benih ketakwaan di dalam jiwa raga ahli keluarga kita. Semoga dengan ketakwaan ini, kita dikurniakan kemanisan nikmat berkeluarga yang saling melestarikan SakinahMawaddah dan Rahmah, rasa cinta dan belas ihsan sesama kita. Amin Ya Rabbal ‘alamin.

Para jemaah sekalian,

Pada minggu lalu, mimbar telah berkongsi mengenai seni berkomunikasi bersama pasangan dan anak-anak di dalam rangka membina keluarga muslim yang bahagia. Mimbar pada hari ini pula ingin  mengajak para jemaah sekalian merenung kembali kewajipan kita sebagai ayah dan ibu, di dalam mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak kita, yang bakal menjadi pelapis generasi masyarakat Islam pada masa hadapan. 

Saudaraku,

Ayah dan ibu  adalah ibarat petani yang menanam benih bagi menghasilkan tanaman di hari muka. Benih itu perlu dijaga dan disemai dengan siraman air yang mencukupi mengikut jangka keperluannya. Ia bertujuan bagi menghasilkan tanaman yang subur, bermanfaat untuk manusia. Begitulah juga zuriat yang dikurniakan Allah kepada kita. Ayah dan ibu adalah pencorak kualiti keperibadian mereka. Pernahkah kita bertanya, apakah sebenarnya yang diinginkan oleh anak-anak ini? Jawapannya ialah perhatian dan kasih sayang. Selanjutnya kita juga perlu bertanya, perhatian dan kasih sayang dalam bentuk apakah yang diperlukan oleh anak-anak generasi alaf baru ini? Saudaraku, jawapannya ialah, antara lain mereka memerlukan komunikasi positif yang berkesan seperti yang dikongsikan Jumaat lalu. 

Mungkin kita pernah terdengar riwayat mengenai Baginda Nabi Muhammad s.a.w. mengucup cucunya Sayyidina Hassan r.a., lalu dilihat oleh seorang lelaki bernama al-Aqra’ Bin Habis. Al-Aqra’ berkata kepada Nabi s.a.w. bahawa dia mempunyai 10 orang anak, namun tidak pernah sekali pun dia mengucup  mereka. Mendengar ucapannya itu, Nabi s.a.w. pun bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمْ  لاَ يُرْحَمْ

Yang bermaksud: “Barangsiapa tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.” (Hadis muttafaq ‘alaih).

Lihatlah saudaraku, Rasulullah s.a.w. memberikan contoh menyantuni anak kecil menerusi kucupan, iaitu satu cara komunikasi ‘non-verbal’ yang membawa erti “aku sayang kamu”. Sekali lagi saya mengajak saudara-saudara sekalian berfikir sejenak, kasih sayang dalam bentuk apakah yang diperlukan oleh anak-anak generasi alaf baru ini? Kucupan? Dakapan? Beriadah bersama? Atau bagaimana?

Saudaraku,

Anak adalah anugerah Allah. Anugerah yang cukup istimewa ini juga merupakan suatu amanah. Antara makna amanah yang perlu kita fahami ialah menyantunidan mensyukuri kewujudan mereka di dalam kehidupan kita. Justeru, kita sebagai ayah dan ibu perlu memperlengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan, secara idealnya sebelum kita berusaha mendapatkan zuriat.

Anak-anak memerlukan suasana positif dalam sesebuah keluarga, suasana  yang disaluti dengan rasa kasih dan sayang  serta perlindungan yang sebaiknya bagi mereka. Usaha ini diharapkan dapat memberi kesan positif dalam jiwa mereka. Ingatlah saudaraku, keperibadian anak-anak sedikit sebanyak adalah cerminan budaya hidup di rumah. Ayah dan ibu berperanan menanamkan nilai-nilai murni dalam diri mereka. Allah s.w.t. mengingatkan kita dalam firman-Nya:

 

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6).

Begitulah saudaraku peranan ayah dan ibu. Anak-anak perlu diberikan panduan yang berterusan. Ia merupakan ikhtiar kita untuk memastikan agar anak-anak dijauhi daripada kefahaman dan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Oleh itu, menghidupkan budaya yang positif di dalam rumahtangga adalah suatu keutamaan. 

 

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Terdapat beberapa langkah lain yang boleh diusahakan bagi menghasilkan kesan positif dalam kehidupan anak-anak.

Pertama: Ucapan kata-kata positif dalam keluarga. Berikan kata-kata perangsang terhadap usaha baik mereka. Hargailah pencapaian anak-anak kita walau sekecil mana bentuknya. Tiada kata yang lebih baik dan berharga buat seorang anak, melainkan pujian dan penghargaan daripada ayah dan ibu.

Kedua: Kita perlu memberikan perhatian dan mendengar dengan baik perkongsian mereka. Tunjukkan minat dengan bertanyakan apa yang sedang atau telah diusahakan dalam aktiviti seharian mereka. Ia adalah isyarat perhatian kita terhadap perkongsian mereka.

 

Saudaraku,

Kesemua petua keibubapaan yang dikongsikan boleh juga dipratikkan dalam konteks keluarga titipan (foster family) dan keluarga angkat (adoption family). Mungkin kita pernah terdengar kisah anak-anak yang terabai atau ditinggalkan oleh keluarga mereka sendiri. Sedangkan, mereka memerlukan perlindungan dan kasih sayang daripada ayah dan ibu atau sebuah keluarga. Sekiranya ada di antara kita yang dapat mempertimbangkan hasrat murni ini, kita boleh memainkan peranan yang sama untuk memulihkan kehidupan anak-anak ini.

Sebagai sebuah masyarakat, kita boleh berkongsi kebahagiaan bersama mereka dengan menjadi keluarga titipan atau keluarga angkat. Terdapat sejumlah besar anak-anak Islam yang memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada sebuah keluarga.

Sungguhpun perlindungan yang diberikan mungkin bersifat sementara, namun ia dapat memberi kesan yang mendalam dan berpanjangan buat anak-anak ini. Ia merupakan sebahagian daripada amalan mulia yang dianjurkan Islam. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti kedua-dua ini (nabi s.a.w. mengisyaratkan dengan dua jarinya) di syurga nanti.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Semoga  segala usaha kita sebagai sebuah masyarakat akan menjadi sebahagian daripada amal kebajikan kita, dan dikurniakan ganjaran di akhirat nanti. Amin Ya Rabbal ‘alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَاَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَموَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْفرَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.