collections khutbah Uswatun Hasanah – Akhlak Mulia
Uswatun Hasanah – Akhlak Mulia

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

1 Oktober 2021 / 24 Safar 1443H

Uswatun Hasanah – Akhlak Mulia

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi tegahan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) merahmati kehidupan kita di dunia dan akhirat.

Saudara dan Saudari,

Semua di antara kita yang berada di masjid ini sentiasa mengharapkan pengampunan Allah (s.w.t.). Kita mengharapkan keredaan Allah (s.w.t.) dan rahmat-Nya, tatkala kedua kaki ini berdiri di Padang Mahsyar, dan buku catitan amalan dibentangkan di hadapan mata. Pada saat dan detik itu, nescaya setiap individu mengharapkan rahmat dan pengampunan Allah (s.w.t.). Kita membawa segala amalan, dengan harapan mendapat penerimaan Tuhan.

Saudaraku, pada saat ini, ingin saya berkongsi satu panduan dari Nabi (s.a.w.) berkaitan amalan yang amat bernilai serta yang boleh menyelamatkan kita. Nabi (s.a.w.) bersabda yang bermaksud: Tiada satu perkara yang lebih berat pada timbangan bagi seorang Mukmin pada hari kiamat, daripada akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibn Hibban). Pada riwayat yang lain Nabi bersabda yang bermaksud: Aku menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi sesiapa yang baik akhlaknya.” (Hadis riwayat Abu Dawud).

Subhanallah! Ternyata walaupun panduannya agak ringkas, iaitu untuk setiap individu menjaga akhlak pekertinya, akan tetapi cabarannya adalah untuk mempraktik dan menerapkan akhlak yang baik dalam kehidupan seharian. Pada setiap saat dan ketika.

Saudara dan Saudari,

Sebagai panduan bagi setiap individu Mukmin, sempena bulan Rabiulawal yang bakal menjelma tidak lama lagi. Bulan di mana kita menyambut kelahiran Nabi (s.a.w.) serta menzahirkan kesyukuran ke hadrat illahi di atas kurniaan ini. Maka khutbah sepanjang bulan ini akan mengupas tentang keperibadian Nabi (s.a.w.), untuk kita jadikan teladan dan ikutan. Selari dengan perintah Allah (s.w.t.) di dalam surah al-Ahzab ayat 21 untuk menjadikan Nabi (s.a.w.) sebagai teladan. Firman-Nya yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat kepada Allah.”

Saya rasa amat sesuai untuk setiap individu menjadikan bulan Rabiulawal ini sebagai bulan di mana kita meningkatkan penghayatan kita terhadap Nabi (s.a.w.). Lebih khusus, menghayati akhlak dan pekerti Nabi (s.a.w.). Sama ada melalui kitab-kitab hadis ataupun penghayatan perjalanan sirah Nabi (s.a.w.).

Kita berusaha untuk mempelajari bagaimana Nabi bersama keluarganya. Layanan Nabi (s.a.w.) bersama isteri serta anaknya. Apakah panduan Nabi (s.a.w.) dalam kita hidup berjiran. Bahkan akhlak Nabi (s.a.w.) bersama teman mahupun lawan. Dan sebagainya.

Saudara dan Saudari,

Penghayatan aspek akhlak pada kehidupan beragama adalah penting untuk kita fahami. Kerana, akhlak yang baik tidak dapat dipisahkan daripada keimanan. Dari itu, kita menyaksikan bagaimana para ulama, seperti imam Al-Ghazali, memberi penumpuan khusus kepada kaitan antara ilmu, iman dan akhlak. Kerana melalui ilmu pengetahuan, iman dapat dipertingkatkan dan dipelihara. Dan seharusnya, semakin beriman seseorang itu, semakin baik akhlak pekertinya. Dan bukan sebaliknya.

Kerana kadangkala kita menyaksikan sebahagian individu yang walaupun secara zahirnya beragama, akan tetapi akhlaknya, tidak mencerminkan akhlak yang sepatutnya. Pada zaman yang serba canggih ini, media sosial merupakan satu saluran yang mana setiap individu dapat meluahkan kata-kata ataupun pendapat. Maka seorang Mukmin akan berusaha untuk mencontohi akhlak Baginda (s.a.w.) pada setiap saat dan ketika. Sama ada ketika kita bertutur dengan insan lain secara bersemuka, ataupun memberi komentar di alam maya. Pastikanlah kata-kata yang disampaikan itu benar dan memberi kemanfaatan. Kata-kata yang memberi dorongan serta mencetus harapan. Dan bukannya menjatuhkan, ataupun mengaibkan.

Saudara dan Saudari,

Sebagai penutup bagi khutbah ini, izinkan saya berkongsi sepotong doa yang diajarkan Nabi (s.a.w.). Doa meminta akhlak yang baik. Doanya berbunyi:

Yang bermaksud: “Ya Allah, bimbinglah aku kepada amalan yang baik dan akhlak yang baik. Tidak ada yang dapat membimbing kepada kebaikan itu kecuali Engkau.” (Hadis riwayat Imam an-Nasa’i).

Semoga Allah (s.w.t.) memberikan taufik dan hidayah kepada kita untuk menjadikan Nabi (s.a.w.) sebagai teladan, dan sunnahnya sebagai ikutan insyallah. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.