collections khutbah Ukhwah Teras Masyarakat
Ukhwah Teras Masyarakat

 


Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

26 Julai 2024 / 20 Muharram 1446H

Ukhwah Teras Masyarakat

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَنَا مِن أُمَّةِ خَيرِ النَّاسِ خَلْقًا وَخُلُقًا، وَاصْطَفَاهُ عَلَى سَائِرِ الأَنبِيَاءِ وَالرُّسُلِ بِأَحْسَنِ الشَّرِيعَةِ مَنْهَجًا وَطَرِيقًا، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَـٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبدُهُ وَرَسُولُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّم عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحبِهِ أَجمَعِينَ. أَمَّا بَعدُ، فَيَا أَيُّهَا الـمُسْلِمُونَ، أُوصِيكُم وَنَفْسِي بِتَقوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَقَد فَازَ الـمُتَّقُونَ.

Wahai orang-orang yang beriman,

Tingkatkanlah ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya. Tinggalkan segala larangan-Nya. Bersikap ihsanlah terhadap saudara seinsan kita. Zahirkanlah peribadi mulia seorang yang beriman. Dan tegurlah mereka yang melakukan kesilapan, dengan hikmah dan teladan. Semoga yang demikian menjadi penyebab kita mendapat perlindungan dan pengampunan tuhan. Amin.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Masih ingatkah kaitan hijrah dengan nilai-nilai ketabahan, keyakinan, dan menegakkan keadilan? Sejak di Makkah lagi, Rasulullah s.a.w. bersabar terhadap provokasi dan ancaman, tetap yakin saat menjadi buruan, dan sentiasa berusaha mencari huraian untuk mengatasi kezaliman.

Pada kesempatan hari ini, saya akan mengongsikan satu lagi nilai utama daripada peristiwa hijrah, iaitu nilai ukhwah atau persaudaraan.

Sidang jemaah sekalian,

Kaum Muhajirin (Muslimin Makkah) menuju Kota Madinah sehelai sepinggang. Ada yang meninggalkan keluarga, tak kurang juga yang meninggalkan harta benda. Hadir ke bumi asing dengan keadaan yang daif seperti ini boleh mengundang cabaran besar buat kaum Ansar (Muslimin Madinah). Kenapa saya katakan demikian?

Fikirkan, saudara. Tidakkah kehadiran Muhajirin boleh menggugat kehidupan sosial kaum Ansar? Tidakkah perselisihan dan perbalahan itu sering berlaku antara dua kaum yang tidak pernah bersua muka?

Saudaraku, kehebatan kepimpinan Rasulullah s.a.w. telah berjaya mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka dididik berkongsi keperluan asas tanpa mengira status, warna kulit, atau latar belakang. Abdullah bin Rawahah, seorang penyair tersohor dipadankan dengan Bilal bin Rabah, seorang hamba berkulit hitam. Ukhwah atau persaudaraan yang berteraskan keihsanan dan keikhlasan di antara mereka menjadi identiti masyarakat Islam ketika itu.

Malahan, kaum Ansar menunjukkan keikhlasan dan keihsanan yang cukup luar biasa, sehinggakan ramai yang menawarkan tanah untuk dibahagikan kepada Muhajirin. Kemurahan hati mereka digambarkan di dalam Surah al-Hasyr, ayat 9:

Yang bermaksud: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka. Dan tidak ada dalam hati mereka perasaan mahu terhadap apa yang diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu. Dan mereka juga mengutamakan orang-orang itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga berkeperluan. Dan sesiapa yang menjaga dirinya daripada sikap bakhil, maka itulah orang-orang yang berjaya.”

Kaum Muhajirin pula, menunjukkan sikap bertanggungjawab mereka dalam menyambut tawaran, dan menghargai setiap tawaran dan pemberian saudaranya.

Di samping mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar, Rasulullah s.a.w. juga menjadikan institusi masjid sebagai pusat kehidupan beragama dan bermasyarakat. Institusi masjid menjadi tempat peribadatan, wadah perkongsian ilmu, pusat menjalin silaturahim, dan saluran bagi membincangkan isu-isu masyarakat.

Wahai umat Nabi Muhammad s.a.w.,

Saya akan sebutkan dua iktibar penting dari khutbah hari ini. Semoga ia dapat dijadikan santapan minda minggu ini.

Pertama, pentingnya memupuk ukhwah atau persaudaraan dalam membina masyarakat yang kukuh. Persaudaraan yang ikhlas mendidik kita untuk sentiasa saling membantu dan menjaga kebajikan antara satu sama lain. Hijrah juga mengajar kita untuk mengutamakan keperluan saudara kita melebihi keinginan peribadi secara bertanggungjawab. Ini sesuai dengan firman Allah dalam Surah Al-Hasyr, ayat 9 yang dibacakan tadi. Kita muhasabah, adakah kita bersedia mengorbankan secebis keselesaan dan kelebihan kita, demi membantu mereka yang lebih memerlukan dalam masyarakat?

Kedua, pentingnya menjadikan institusi agama seperti masjid sebagai pusat utama dalam memperkasakan sebuah masyarakat. Institusi agama tidak harus terbatas kepada peranan kerohanian sahaja. Malah, ia juga menguruskan dan menjana kebaikan buat masyarakat secara umumnya.

Dengan menyokong institusi agama seperti masjid dan madrasah, kita sebenarnya mengusahakan pembangunan sosial dan pendidikan masyarakat. Institusi ini juga seharusnya menjadi pusat perpaduan antara kita, memupuk semangat kesatuan sepertimana yang dicapai dengan pembinaan masjid di Madinah. Mudah-mudahan kita dapat membina sebuah masyarakat Islam yang cemerlang, berkeyakinan, dan perkasa.

Ya Allah, Ya Latiff, satukanlah hati-hati kami dalam iman, dan perkukuhkan ukhwah kami dalam kebaikan dan ketakwaan. Ya Karim, Ya Wadud, kurniakanlah kasih sayang dan rahmah dalam hati-hati kami. Ya Aziz, Ya Wahhab, jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yang sentiasa menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan penuh kebijaksanaan. Terimalah amal ibadah kami dan ampunilah dosa-dosa kami. Golongkanlah kami dalam kalangan hamba-hamba yang Engkau redai.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَم وَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْف. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.