collections khutbah Rasulullah s.a.w. Sumber Inspirasiku
Rasulullah s.a.w. Sumber Inspirasiku

 

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

5 Julai 2024 / 28 Zulhijjah 1445H

Rasulullah s.a.w. Sumber Inspirasiku

Wahai orang-orang yang beriman,

Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. Marilah kita meletakkan keazaman mencontohi Rasulullah s.a.w. semampunya. Semoga Allah mempermudahkan usaha kita mencontohinya. Amin.

Saudaraku,

Hari ini adalah Jumaat terakhir bagi tahun hijrah 1445. Malam esok, kita akan memasuki tahun hijrah yang baru, 1446. Sehubungan dengan itu, khutbah di sepanjang Julai ini akan memberikan tumpuan pada panduan kenabian daripada peristiwa hijrah.

Hari ini, khutbah akan berkongsi salah satu kisah dakwah Rasulullah s.a.w., sebelum penghijrahan baginda dan umat Islam ke kota Madinah. Semoga ia boleh dijadikan panduan kehidupan.

Saudaraku,

Rasulullah s.a.w. sentiasa menunjukkan keteguhan dan ketabahan, dalam setiap langkah dan usahanya menyampaikan risalah Allah. Baginda tidak berputus asa atau menyalahkan keadaan apabila berhadapan dengan rintangan dan cabaran. Sebaliknya, baginda mengambil langkah proaktif dalam mencari huraian, berfikiran jauh ke hadapan dan menonjolkan sifat kesabarannya yang mendalam.

Bangkit daripada kesedihan kerana kematian bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Sayyidatina Khadijah r.a., Rasulullah s.a.w. meluaskan jalur dakwah ke kota Taif. Sekali lagi, baginda dibelenggu kesedihan. Usahanya disambut dengan respon yang cukup negatif, diejek, dibaling batu malah diusir. Sekiranya kita di kedudukan baginda, apa agaknya respon kita? Mampukah kita bangkit sekali lagi dan meneruskan perjuangan? Sila ambil perhatian, inilah nokta penting yang ingin disampaikan menerusi mimbar hari ini.

Malaikat bersedia untuk menurunkan azab ke atas penduduk Taif sekiranya Rasulullah s.a.w. mengizinkannya. Namun, baginda s.a.w. tetap tenang dan mendoakan agar generasi pelapis penduduk Taif menjadi orang yang beriman suatu hari nanti. Hal ini terakam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:

"Malaikat gunung memanggilku, memberi salam kepadaku, lalu berkata, 'Wahai Muhammad, jika kamu mahu, aku timpakan ke atas mereka dua gunung ini (yakni menghancurkan mereka).' Tetapi Nabi s.a.w. menjawab, 'Tidak, bahkan aku berharap Allah akan melahirkan daripada keturunan mereka orang-orang yang akan menyembah Allah sahaja, tanpa menyekutukan-Nya dengan apa pun.'"

Sidang Jumaat sekalian,

Terdapat dua pengajaran untuk kita hayati bersama:

Pertama, ketabahan berhadapan dengan kesukaran. Setiap rintangan dan cabaran yang dihadapi memerlukan ketabahan dan keazaman untuk mengatasinya. Sebagai seorang mukmin, kita tidak boleh mudah berputus asa atau menyalahkan situasi yang berlaku. Ingatlah akan peringatan Allah s.w.t.:

Yang bermaksud: “(Nabi Ibrahim) berkata: ‘Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat’.” (Surah al-Hijr, ayat 56).

Kedua, berusaha dan berdoa memohon huraian yang baik. Rintangan dan cabaran mengajar kita untuk tidak berhenti berusaha dan berdoa. Kadangkala, doa adalah pilihan terbaik ketika berhadapan dengan sesuatu cabaran yang hebat. Jangan biarkan emosi mengaburi hati sehingga kita meremehkan kehebatan berdoa. Mungkin kita pernah terdengar ada orang berkata “Asyik berdoa saja, masalah tak habis dengan berdoa!”. Saudaraku, tidakkah Allah memerintahkan kita sentiasa berdoa memohon kepada-Nya selepas berusaha? Ingatlah, memilih untuk berdoa bukan tanda kelemahan. Sebaliknya, berdoa itu kadangkala adalah pilihan yang lebih baik dan mungkin juga yang lebih strategik seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam kisah tadi. Ketahuilah, berdoa itu menunjukkan usaha dan harapan kita kepada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat sekalian,

Berdoalah dengan sesuatu permintaan yang baik. Elakkan daripada menyertakan tenaga negatif atau negative energy ketika berdoa seperti memohon diturunkan musibah atau keburukan, semata-mata kerana kemarahan dan kebencian di dalam hati. Contohilah sifat Nabi s.a.w., yang selalu membalas kejahatan dengan kebaikan. Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Imam Ahmad, Abu Abdullah Al-Jadali berkata: "Saya bertanya kepada Aisyah r.a. tentang akhlak nabi s.a.w., Aisyah menjawab: 'Baginda tidaklah berakhlak buruk, tidak juga bercakap dengan kata-kata yang buruk, tidak meninggikan suara di pasar (kawasan awam). Baginda tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi akan memaafkan dan melupakan.'"

Ya Allah, Ya Syakur, kami mensyukuri anugerah iman dan usia yang Kau kurniakan kepada kami sepanjang tahun ini.  Ya Rahim, peliharalah kami dengan rahmat-Mu dan kasih sayang-Mu. Ya Hafiz, Ya Muqit, bantulah kami dalam memenuhi amanah-Mu. Jadikanlah kami hamba yang Kau redai. Ya Salam, Ya Mu’min, bantulah hamba-hamba-Mu yang sedang dibelenggu kezaliman manusia yang ingkar akan nikmat-Mu. Ya Ghafir wa ya Ghafur, sesungguhnya kami adalah hamba-hamba-Mu yang banyak melakukan dosa, tetapi kami tidak berputus asa memohon pengampunan-Mu, dan janganlah Kau jadikan dosa kami penyebab terhijab munajat ini, Ya Akramal Akramin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَم وَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْف. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.