collections khutbah Pengharapan Seorang Mukmin Kepada Tuhan
Pengharapan Seorang Mukmin Kepada Tuhan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

17 Jul 2020 / 25 Zulkaedah 1441H

Pengharapan Seorang Mukmin Kepada Tuhan

 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Taati segala perintahNya dan jauhi segala laranganNya. Semoga kita menjadi insan yang tidak pernah putus mengharapkan kebaikan daripada Allah s.w.t.

Setiap dari kita pastinya mempunyai harapan agar dikurniakan kesenangan dan kemudahan dalam kehidupan. Kita mengharapkan agar kehidupan kita pada hari ini lebih baik dari semalam dan kita turut mengharapkan kebahagiaan dan kasih sayang dalam rumahtangga kita. Segala pengharapan ini, kita panjatkan kepada Allah s.w.t. kerana Dialah sebaik-baik penentu bagi setiap sesuatu.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya menjelaskan bahawa pengharapan merupakan suatu bentuk pergantungan kepada Allah s.w.t. agar dikurniakan kebaikan dan berusaha sedaya upaya untuk memperolehinya. Pengharapan yang sebenar adalah apabila kita berusaha untuk memberikan yang terbaik serta mengekalkan keimanan. Malah, kita juga bersikap positif pada setiap masa dan keadaan.

Dengan kita bergantung harap kepada Allah s.w.t., kita sebenarnya meyakini bahawa Allah s.w.t. sentiasa mendengar doa dan pengharapan kita padaNya. Kita akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dengan mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. Inilah merupakan kesungguhan dan keikhlasan kita kepada Allah s.w.t. Kita mengharapkan setiap langkah dan usaha kita di dunia ini akan diterima sehingga kita berjaya meraih rahmat dan kasih sayang dariNya. Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam surah Faatir ayat ke-29 yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian."

Ayat ini menggambarkan kepada kita bahawa mereka yang bergantung harap kepada Allah s.w.t. adalah mereka yang berusaha dengan penuh kesungguhan tanpa berputus asa dengan ketentuan Allah s.w.t. Perhatikan sabda nabi s.a.w. dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: Allah s.w.t. berfirman: “Wahai anak Adam! Sesungguhnya selagimana engkau masih berdoa dan berharap kepadaKu nescaya Aku akan mengampuni dosa-dosa yang telah engkau lakukan dan Aku tidak peduli” (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Saudaraku,

Situasi yang kita berhadapan dengannya hari ini mendorong kita untuk sentiasa bergantung harap dan memohon pertolongan dari Allah s.w.t. Disebalik pengharapan kita itu, amalan kita juga perlu sentiasa dipertingkatkan. Tambahan dari itu, kita perlu terus memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Ketiga-tiga ciri yang saya nyatakan di sini (1. bergantung harap kepada Tuhan, 2. peningkatan amalan serta 3. memberi kesan kepada individu lain) ia semuanya merupakan ciri-ciri hamba Allah yang beriman serta memiliki daya tahan berhadapan dengan cabaran kehidupan.

Kerana kehidupan ini sentiasa berubah-ubah saudara. Dan kadangkala ia memerlukan kepada beberapa penyesuaian bahkan mungkin juga perubahan. Maka mereka yang kekal beriman dan meletakkan harapannya kepada Allah s.w.t., pastinya dapat menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan tanpa terabainya peranan dan tanggungjawabnya.

Mudah-mudahan Allah s.w.t. mengekalkan kita dalam kebaikan dan mengurniakan rahmatNya buat kita semua. Semoga Allah s.w.t. menerima segala amalan kita dan mengabulkan harapan dan permintaan kita. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم