collections khutbah Menjaga Komunikasi Antara Keluarga
Menjaga Komunikasi Antara Keluarga

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

14 Julai 2023 / 25 Zulhijjah 1444H


Menjaga Komunikasi Antara Keluarga

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,


Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t). Sebagaimana firman Allah )s.w.t(:

Yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan bersamalah kamu dengan orang-orang yang benar." [Surah At-Taubah: 119] 

Semoga dengan ketakwaan ini, kita dapat mencapai kejayaan buat diri kita serta ahli keluarga. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Menurut ulama tafsir, perintah pada ayat tersebut adalah bagi orang beriman untuk sentiasa berusaha agar dirinya bersama golongan yang benar. Terutamanya bersama Baginda Nabi (s.a.w) dan para sahabatnya yang mulia. Dengan menanamkan tekad serta menambahkan usaha serta amalan, agar esok di Akhirat, Allah (s.w.t) kumpulkan kita bersama Junjungan Tercinta, Sayyiduna Rasul (s.a.w) dan para sahabatnya.

Ia juga membawa maksud yang lebih mendalam. Kerana perintah untuk sentiasa bersama mereka yang jujur, juga merupakan satu dorongan agar kita sentiasa memerhatikan siapa yang dijadikan teman serta sahabat. Sebagaimana Nabi (s.a.w) bersabda yang bermaksud: “Agama seseorang itu bergantung kepada agama teman dekatnya. Hendaklah kamu perhatikan, siapa yang dijadikan teman dekatnya.” (Hadis riwayat Abu Daud). Kerana seseorang itu pasti akan terkesan dengan lingkungannya.

Saudaraku,

Dorongan Al-Quran ini lebih penting lagi untuk kita perhatikan, dalam aspek kehidupan berkeluarga. Sama ada, ia merupakan nasihat bagi diri kita sebagai pemimpin keluarga, juga bagi anak-anak serta ahli keluarga kita yang lain. Kerana bagaimana sekalipun tahap umur seseorang, setiap individu pasti akan terkesan dengan siapa yang berada di sekelilingnya. Sekiranya sahabatnya baik dari segi agama serta akhlaknya, maka insyaAllah ia bakal terkesan dengan kebaikan tersebut. Begitu juga sebaliknya. 

Maka sebagai ibu dan bapa, kita perlu meneliti pergaulan anak kita. Siapakah yang dijadikan teman karibnya. 

Perkara ini menjadi lebih rumit lagi dengan perkembangan teknologi maklumat di zaman ini. Dengan perhubungan dan interaksi yang tidak lagi terbatas secara fizikal sahaja. Kerana ia juga merangkumi interaksi di alam maya. Tidak kurang yang terkesan dengan pengaruh yang kurang sihat di alam maya.

Kepelbagaian wadah media sosial dan sistem komunikasi memberi kita banyak manfaat. Akan tetapi, ia juga memberi peluang kepada sebahagian individu untuk menyalahgunakan wadah-wadah ini untuk menyebarkan gejala-gejala yang tidak sihat. Di antaranya, seperti penyalahgunaan dadah. 

Kerana penyalahgunaan segala jenis dadah adalah dilarang agama. Ia menyalahi prinsip pemeliharaan nyawa, jiwa dan akal yang amat dititikberatkan Islam.

Saudaraku,

Di sini terdapat keperluan untuk kita membangkitkan kesedaran remaja dan belia supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Kerana kadangkala anak-anak ini mula berjinak-jinak dengan perkara yang tidak bermanfaat. Sama ada melalui pergaulannya dengan teman-teman, ataupun melalui apa yang mereka saksikan di alam maya. 

Ia memerlukan kepada komunikasi yang berterusan. Tanpa komunikasi, serta hubungan akrab yang terjalin agak sukar untuk kita memupuk kepercayaan sesama ahli keluarga. Setentunya ia merupakan usaha yang berterusan dan bukannya suatu perkara yang mampu dicapai dalam masa yang singkat. Ia merupakan usaha kita untuk melindungi anak-anak kita daripada terpengaruh dengan anasir-anasir yang boleh merosakkan masa depan mereka. Masa depan yang seharusnya terbentang luas dengan pelbagai kemungkinan.

Semoga Allah (s.w.t) mengurniakan kepada kita semua keselamatan di dunia dan akhirat, dan semoga Dia mengurniakan kepada masyarakat kita kesejahteraan dan keamanan sentiasa. Amin Ya Rabbal Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.