collections khutbah Mengenali Nama Tuhan Al-‘Adl
Mengenali Nama Tuhan Al-‘Adl

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

18 September 2020 / 30 Muharram 1442H

Mengenali Nama Tuhan Al-‘Adl

 

Saudara-saudara dirahmati,

Marilah kita bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Semoga takwa ini menghasilkan keseimbangan dalam diri dan hidup kita, serta di dalam kita melaksanakan segala tuntutan agama. Amin.

Dua khutbah yang lalu telah berbicara mengenai nama Allah “ar-Razzaq” dan “al-Latif”. Pada hari ini, mari sama-sama kita perhatikan satu lagi nama Allah yang mulia, iaitu al-‘Adl, yang bermaksud: Yang Maha Adil.

Keadilan itu, saudara, ialah sikap atau perbuatan meletakkan sesuatu di tempatnya yang tepat dan wajar. Sebaliknya, meletakkan sesuatu di tempat yang salah dan tidak sesuai pula merupakan satu kezaliman. Oleh itu, nama al-‘Adl bermaksud bahawa Allah itu sangat sempurna di dalam segala ketetapan-Nya, di mana Allah meletakkan segala sesuatu di tempatnya yang paling sesuai, pada masanya yang paling tepat, dan untuk makhluk-Nya yang paling layak. Keadilan Allah wujud pada ciptaan-ciptaan-Nya, pada ketentuan qada’ dan qadar-Nya, pada rezeki kurniaan-Nya, juga pada hukum-hakam agama-Nya. 

Sama-sama kita perhatikan ciptaan alam ini, termasuk kejadian diri kita sendiri, betapa segalanya disusun Allah dengan teliti dan teratur sekali. Begitulah juga dengan segala ketentuan Allah s.w.t. untuk hamba-hamba-Nya. Yang berusaha, diberi ganjaran dan kejayaan sesuai kesungguhannya. Yang leka pula seringkali kecewa akibat gagal di hujung kelalaiannya. Kalaupun ada masanya masih tidak berjaya walaupun setelah berusaha, seorang mukmin tetap yakin akan keadilan Allah, bahawa Allah akan mengurniakannya sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dihasratkannya. Demikian keadilan Allah.

Allah juga Maha Adil dalam hukum-hakam dan titah perintah-Nya, saudara.  Segala yang diatur Allah di dalam agama-Nya ini bersifat seimbang, sesuai untuk sepanjang zaman, serta menepati keperluan dan maslahat hidup manusia.  Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An’am ayat 115:

 

Yang bermaksud: “Dan sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Quran), dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya itu, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Para ulama tafsir menjelaskan bahawa maksud sempurna kebenaran al-Quran ialah pada khabar berita dan janji-janji Allah di dalamnya, sementara maksud sempurna keadilan-Nya pula ialah pada hukum-hakam Allah dan titah perintah-Nya.

Saudara-saudara yang dirahmati Allah,

Keyakinan kita bahawa Allah itu Maha Adil, seharusnya menjadikan kita juga bersikap adil di dalam kehidupan. Di dalam hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan kata-kata Allah yang bermaksud: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku jadikan kezaliman itu sesuatu yang haram juga di antara kamu.”

Oleh yang demikian, seorang yang beriman dengan Allah al-‘Adl akan menghargai, mencintai dan berasa redha dengan susunan Allah dalam mencipta alam ini, termasuk pada kejadian dirinya sendiri. Dia juga akan terus berusaha untuk mencapai impian hidup dunia dan akhiratnya, disertai penuh rasa kesyukuran di atas apapun yang Allah tentukan untuknya. Dalam beragama pula, dia bersikap bersederhana dan seimbang.  Dalam kamus amalan agamanya, tidak ada ifrat, (إفراط) iaitu melampau-lampau dalam beramal. Tidak juga ada tafrit, (تفريط) iaitu cuai dan bersikap sambil lewa.

Apabila berhadapan dengan apapun ujian, dia tidak akan melampau dengan menyempitkan hidupnya sendiri mahupun orang lain, dan sebaliknya tidak pula dia bersikap lepas tangan dan tidak ambil peduli. Apabila dia sakit, sebagai contoh, dia akan bersikap adil terhadap dirinya dan orang di sekeliling. Doanya kepada Allah berterusan, namun dia tetap berusaha mencari ubat dan rawatan. Setiap langkah yang perlu akan diambil demi mengelakkan jangkitan kepada orang lain, sepertimana dia bersungguh-sungguh mengelakkan dirinya daripada mendapat jangkitan.       

Demikianlah keadilan Allah mencorak keperibadian seorang mukmin, yang beriman kepada-Nya sebagai Tuhan Yang Maha Adil. Semoga Allah meneguhkan keimanan kita sehingga segala kurniaan Allah dapat kita hargai dan jaga dengan baik: agama kita, rohani dan jasmani kita, keluarga dan masyarakat kita, harta dan kesihatan kita, begitu pula dunia dan akhirat kita.  Semoga kita berjaya menjadi insan yang seimbang di antara hak dan tanggungjawab kita, serta indah batin dan zahir kita. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.