collections khutbah Mengemudi Arus Perubahan Melalui Ilmu
Mengemudi Arus Perubahan Melalui Ilmu

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

21 Julai 2023 / 3 Muharram 1445H


Mengemudi Arus Perubahan Melalui Ilmu

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t) dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita menjadi insan-insan yang sentiasa mempertingkatkan diri supaya dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Saudaraku,

Perhatikan hadis Nabi (s.a.w) berikut: 

عَلَى اَلْعَاقِلِ أَنْ يَكُونَ بَصِيراً فِي زَمَانِهِ مُقْبِلاً عَلَى شَأْنِهِ حَافِظاً لِلِسَانِهِ

Yang bermaksud, “Seorang yang bijaksana hendaklah mengenal zamannya,tekun mengurus urusannya, menjaga lidahnya” [Hadis riwayat Ibn Hibban].

Hadis yang padat walaupun ringkas, akan tetapi padanya mengandungi pelbagai pengajaran yang begitu berharga. 

Padanya Baginda (s.a.w) mengajak kita untuk menjadi insan yang celik akan perkembangan zamannya. Kerana dengan peredaran zaman, ia membawa bersamanya beberapa perubahan. Sesuatu perkara yang menjadi lumrah suatu ketika dahulu, belum tentu lagi menjadi kebiasaan sekarang ini. 

Begitu juga perkembangan teknologi yang begitu pesat berlaku sekarang ini. Setentunya ia membawa seribu satu potensi, pada waktu yang sama ia juga menuntut kita untuk sentiasa peka akan perkembangan yang berlaku, serta berusaha untuk membuat penyesuaian yang tertentu. Bahkan bagaimana mempersiapkan generasi anak-anak kita, bagi berhadapan dengan cabaran-cabaran ini.

Soalan-soalan begini, akan berlegar di minda insan yang celik akan perkembangan zaman. Ia menghasilkan individu yang berusaha untuk membekalkan dirinya serta mempertingkatkan ilmunya dengan ilmu pengetahuan yang relevan. 

Saudaraku,

Perhatikan firman Allah (s.w.t):

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi ruang pada tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah, agar Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah. Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.” (Al-Mujadilah: 11) 

Ayat ini menegaskan bahawa melalui ilmu, Allah (s.w.t) memberi kemuliaan kepada individu. Melalui ilmu, semakin terpandu hidup ini. Kerana ilmu yang mekar di dalam jiwa, memberi kemanfaatan buat diri ini, pada waktu yang sama lebih banyak yang dapat disumbangkan demi kesejahteraan masyarakat.

Perhatikan juga bagaimana Allah (s.w.t) pada ayat tadi, tidak mengehadkan ilmu itu kepada ilmu agama atau ilmu syariat sahaja. Bahkan ia merangkumi segala jenis ilmu. Bahkan dengan mengkaji sejarah kehidupan ulama silam, tidak kurang kita menemukan para ulama kita yang walaupun merupakan pakar agama, pada waktu yang sama dia merupakan seorang pakar perubatan, kimia dan juga ilmu hisab. 

Maka ayat yang dibacakan sebentar tadi, merupakan dorongan buat setiap individu untuk mencari ilmu yang bermanfaat buat dirinya. Kerana keperluan setiap individu itu berbeza, mengikuti kemahiran serta kepakarannya. Sesuatu perkara yang bermanfaat bagi sebilangan individu, mungkin tidak relevan bagi sebilangan yang lainnya. Seperti contoh, ada ilmu pengetahuan yang hanya sesuai bagi sebahagian kepakaran. Justeru itu, kita harus menilai dengan sendiri secara individu akan keperluan kita. Begitulah pesanan Baginda (s.a.w):

أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ

Yang bermaksud: “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu”

Saudaraku,

Dengan dunia yang semakin berkembang pesat, begitu juga perkembangan yang disaksikan di alam pekerjaan. Individu yang bijak itu peka akan segala perkembangan tersebut. Dalam rangka usahanya untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin, beliau akan terus menuntut ilmu dan mengasah kemahiran yang sedia ada. Ambil manfaat daripada peluang-peluang yang tersedia ada. Kerana proses menuntut ilmu itu merupakan usaha sepanjang hayat.

Semoga kita menjadi insan-insan yang terbaik yang memberi manfaat kepada ummat manusia dan mendapat reda Allah (s.w.t) dalam mencari ilmu yang diberkati. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.