collections khutbah Mencontohi Nabi s.a.w.: Tanda Cinta Kepada Nabi
Mencontohi Nabi s.a.w.: Tanda Cinta Kepada Nabi

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

1 November 2019 / 4 Rabiul Awal 1441H

Mencontohi Nabi s.a.w.: Tanda Cinta Kepada Nabi

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah, kita mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t., dengan beristiqamah melaksanakan perintahNya dan menjauhi tegahanNya. Semoga ketakwaan kita menyuburkan lagi rasa kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w., dengan menghidupkan sunnahnya, dan meneladani akhlak Baginda. Semoga kita dapat mencapai keredaan Allah. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

 

Saudaraku,

Sepanjang bulan ini, khutbah ingin mengajak kita mengenali dengan lebih dekat lagi keperibadian Rasulullah s.a.w.  Baginda s.a.w. adalah utusan Allah yang menjadi rahmat buat sekalian alam. Baginda membimbing kita cara mengamalkan Islam, dalam rangka mengabdikan diri kepada Allah. Ia bertujuan agar kita meraih keampunan dan kasih sayang Allah s.w.t. di dunia dan akhirat. Renungkan firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 31:

 

Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w.): "Jika benar kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihimu dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

 

Mengenali dan mencintai Rasulullah s.a.w. berkait rapat dengan cinta kepada Allah. Ia membawa maksud, setiap amal ibadat yang kita kerjakan, seperti solat, puasa haji, zakat, umrah, dan sebagainya; perlu selari dan berpandu  dengan apa yang dibawa Rasulullah s.a.w. Ia menjadi penentu amalan kita diterima ataupun sebaliknya. Malahan, Allah akan mengurniakan rahmatNya kepada kita di dunia dan akhirat.

 

Kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w., hendaknya terus berusaha mengamalkan ajaran Rasulullah s.a.w. sebaik mungkin. Beriltizam dengannya sehingga meresap ke dalam kehidupan kita. Dalam keghairahan kita mengamalkan ajaran Rasulullah s.a.w., kita turut mengharapkan ganjaran dariNya. Tetapi perkara yang lebih penting adalah bagaimana sesuatu amalan yang kita laksanakan dapat meninggalkan kesan dalam kehidupan kita. Ia dapat menyentuh hati kita, mengukuh rohani kita, serta membentuk peribadi unggul berdaya tahan dengan cabaran yang mendatang. Adakah kita terkesan dengan Sunnah Rasulullah s.a.w. yang kita kerjakan selama ini? Sehingga menjadikan kita orang yang mempunyai sifat-sifat mulia dan keperibadian yang baik?

 

Saudaraku yang dikasihi Allah,

Ingatlah bahawa di antara tujuan Rasulullah s.a.w. diutuskan di bumi ini, adalah untuk menyempurnakan akhlak. Hadith daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

 

Yang bermaksud: Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan kesolehan akhlak”. (Hadith riwayat Imam Ahmad).

Kehalusan dan kemuliaan ak­hlak Baginda s.a.w. merupakan petunjuk bagi jalan yang lurus. Biar pun Baginda s.a.w. telah lama meninggalkan alam ini, akhlak Baginda s.a.w. terus dikenang dalam lipatan sejarah manusia.

 

Allah s.w.t. mengungkap dengan firmanNya dalam surah Al-Ahzab, ayat 21:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah teladan yang baik, bagi kamu yang mengharapkan rahmat Allah dan (kedatangan) hari kiamat serta yang banyak mengingati Allah”.

 

Akhlak dan budi pekerti yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w., tetap mendapat perhatian manusia hingga kini. Bak kata pepatah tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Perasaan cinta yang tersirat di dalam hati kita kepada Baginda s.a.w., tidak terhenti dengan mengamalkan ajaran Baginda s.a.w. semata-mata. Kita juga perlu memperhatikan keperibadian kita, hiasilah diri kita dengan akhlak terpuji, sebagai tanda cinta kita kepada Baginda s.a.w. Syukurilah segala curahan nikmat Allah kepada kita, dan bersabarlah di atas segala ujian yang mungkin timbul.

 

Saudaraku,

Apabila kita mengimbas kembali perjalanan sirah Rasulullah s.a.w. dalam menyebarkan dakwah di Makkah dan Madinah. Rasulullah s.a.w. menghadapi segala kekerasan, keperitan, kezaliman, kecemasan dan pemboikotan dengan penuh ketabahan. Ia sudah cukup menonjol keperibadian Rasulullah s.a.w. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah s.a.w. sering dicemuh, dihina, dikasari dan sebagainya tetapi semuanya itu tidak pernah melemahkan semangat Baginda. Rasulullah s.a.w. tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, Malahan Rasulullah s.a.w. berpandangan positif terhadap ujian yang dilaluinya, lalu pernah mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat mereka yang pernah mezaliminya.

 

Penghayatan kita terhadap perjalanan kehidupan Baginda s.a.w., mengajarkan kepada kita erti ketabahan. Ia sebagai panduan bagi setiap individu, bagaimana iman dan akhlak itu, seharusnya berjalan seiringan. Ia penting untuk kita perhatikan. Agar sifat-sifat terkeji dan nafsu tidak dapat menguasai diri kita melebihi daripada keimanan kita.

 

Saudaraku,

Kegemilangan sesebuah ma­sya­rakat akan terbentuk, sekiranya ia menjadikan akhlak sebagai asas pembangunan masyarakat. Apabila kita menjadikan akhlak Baginda s.a.w. sebagai suatu pandangan cara hidup kita, ia akan membawa kepada kesejahteraan dan keselamatan manusia. Sekalipun dengan hanya bertanya khabar atau membawa senyuman dan kegembiraan kepada kehidupan seseorang.

Kehalusan dan ketinggian budi pekerti dan akhlak Rasulullah s.a.w. sememangnya tiada tolok bandingnya. Saidatina ‘Aisyah r.a. pernah ditanya oleh seorang Arab Badwi tentang akhlak Rasulullah s.a.w., maka beliau menjawab: “Akhlak Rasulullah s.a.w. adalah al-Quran”. (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).

 

Ayuh! Kita jadikan ajaran Al-Quran dan Sunnah Baginda s.a.w. sebagai pedoman kehidupan. Hiasi diri kita dengan akhlak mahmudah dalam membentuk keperibadian diri kita. Akhlak-akhlak yang baik seperti bertoleransi, mengasihani orang miskin dan anak yatim, suka memaafkan orang lain, merendah diri, berlaku adil pada manusia, berhikmah, berkasih sayang dan sebagainya perlu terus disemai dalam diri kita.

 

Sekiranya kita benar-benar mencintai Baginda s.a.w., pupuklah dalam diri dan keluarga kita dengan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian kita. Bermuhasabah diri agar amalan-amalan yang dikerjakan dapat menyentuh hati dan dirasakan oleh orang disekeliling kita.

Laksanakan tanggungjawab, kewajipan dan amanah yang diberikan dengan sebaiknya. Usahakan untuk memastikan perjalanan kehidupan kita ini selari dengan landasan yang telah dipandu oleh Rasulullah s.a.w. Sekiranya anda seorang ketua dalam keluarga, seperti seorang ayah ataupun ibu, perhatikan tanggungjawab ahli keluarga anda itu terjaga. Begitu juga seorang anak yang diamanahkan untuk menuntut ilmu. Begitu juga seorang petugas yang akan memerhatikan aspek amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugasnya. Bahkan melalui penghayatan akhlak dan pekerti nabi s.a.w., pada segenap aspek kehidupan Muslim, ia akan melahirkan individu mukmin yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t.

 

Mudah-mudahan Allah menanamkan dalam diri kita perasaan cinta yang mendalam kepada Rasulullah s.a.w., memberikan kita ilmu yang benar supaya kita mampu menjejaki peribadi Baginda s.a.w. dan mengecapi nikmatnya mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Semoga kita ditempatkan bersama orang-orang yang bertakwa. Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.