Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
30 Ogos 2024 / 25 Safar 1446H
Mencapai Kebaikan Bersama
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita perbaharui tekad untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Dan antara ciri-ciri takwa itu adalah apabila kita sering terpanggil merebut peluang membuat kebajikan. Amal kebajikan yang tidak terhad pada diri sendiri, bahkan juga kepada sekalian makhluk Allah s.w.t.
Ma’asyiral Muslimin wa Zumratal Mukminin Rahimakumullah,
Khutbah minggu lalu, antara lain menyentuh beberapa panduan agama dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Seperti panduan hadis yang mengesyorkan akhlak kita menjadi penyebab orang lain merasa aman dan tenang. Khutbah minggu ini mengajak kita mengambil pedoman dari surah Al-Mukminun, ayat 99-100:
Yang bermaksud: “Apabila ajal menemui salah seorang di antara mereka, dia berkata: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia), supaya aku dapat berbuat kebajikan yang telah aku tinggalkan."”
Walaupun ayat ini ditujukan kepada mereka yang kufur dengan nikmat Allah, kita tetap boleh mengambil iktibar darinya. Apakah pengajarannya, hadirin sekalian? Pengajarannya adalah: Janganlah kita menjadi golongan yang rugi, seperti golongan yang tidak mengambil peluang beramal di dunia, sama ada untuk kemaslahatan sendiri atau pun umum, dan hanya merasa kesal setelah pintu beramal dan bertaubat tertutup menerusi ajal. Wal ‘iyaz billah!
Saudaraku yang dikasihi,
Izinkan khatib berkongsi beberapa contoh sebagai panduan kita bersama bagi mencapai kemaslahatan umum:
Pertama: Menginginkan kebaikan untuk semua.
Sebelum Rasulullah s.a.w. diangkat menjadi nabi dan rasul, baginda s.a.w. telah menyaksikan suatu perjanjian yang diusahakan di kalangan masyarakat Jahiliyah. Perjanjian tersebut dikenali sebagai Hilf al-Fudul, iaitu sebuah perjanjian bagi menegakkan keadilan, dan melindungi golongan yang lemah.
Walaupun ia berlaku sebelum kedatangan Islam, Nabi s.a.w. memuji perjanjian tersebut dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya, aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an satu perjanjian. Seandainya aku diajak melakukannya dalam Islam, tentu aku penuhinya." (Hadis diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi).
Inilah Islam sebagaimana ungkapan kata-kata Rasulullah s.a.w., saudaraku. Agama yang menitikberatkan keadilan sosial, agama yang memberi tumpuan dan sokongan pada mereka yang lemah lagi memerlukan, dan agama yang tidak terlepas pandang kemaslahatan jangka panjang. Kita perlu berada di barisan hadapan dalam arena ini, kerana inilah ciri-ciri orang yang benar-benar mengamati sirah Rasulullah s.a.w. Kita hendaklah sentiasa mencari ruang dan peluang melakukan usaha-usaha positif demi kemaslahatan awam.
Jangan kita lupa pada ahli masyarakat yang memerlukan sokongan. Mungkin ada yang memerlukan bantuan kewangan. Ada pula yang mendambakan nasihat dan tunjuk ajar. Tidak kurang pula yang ingin merasakan kewujudan dirinya dirasai. Pandanglah kanan dan kiri kita, di rumah, sekolah atau pejabat. Hulurkanlah perhatian dan bantuan yang sewajarnya dan seadanya. Kebajikan seperti ini mungkin menjadi penyebab kelapangan rezeki dan ketenangan kehidupan kita. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
هَلْ تُنْصَرُوْنَ وَتُرْزَقُوْنَ إِلاَّ بِضُعَفَائِكُمْ؟
Yang bermaksud: “Bukankah kamu diberikan pertolongan dan rezeki kerana (ketulusan doa) orang-orang yang lemah di antara kamu?” (Hadis Muttafaq ‘alaih).
Kedua: Menyumbang kebaikan dalam apa jua lapangan.
Sejarah telah menunjukkan pelbagai peranan telah dimainkan oleh masyarakat Islam terdahulu. Contohnya, pada era Dinasti Ming di Cina, masyarakat Islam Hui terkenal dengan kepakaran dalam bidang perdagangan. Mereka bukan sahaja peniaga yang berjaya, tetapi mereka juga memberikan sumbangan yang bermakna pada kemakmuran ekonomi Dinasti tersebut. Ini adalah satu lagi bukti bahawa komuniti Islam sentiasa aktif menyumbang kebaikan untuk kepentingan semua, menjadi anggota penting masyarakat di mana sahaja mereka berada.
Ayuh bersama maju ke hadapan, mencurahkan kebaikan dan kemanfaatan buat semua. Mudah-mudahan setiap kebaikan kita itu akan dibalas dengan kebaikan kerana Allah s.w.t. pernah berfirman:
Yang bermaksud: “Adakah balasan amal kebaikan, kecuali balasan yang baik juga?” (Surah al-Rahman, ayat 60).
Marilah bersama menadahkan kedua belah tangan, memohon kepada Allah s.w.t. agar dikurniakan kesempatan, untuk kita melakukan kebaikan selagi hayat dikandung badan.
Ya Allah, Ya Fattah Ya ‘Alim, kami memohon petunjuk dan rahmat-Mu. Bimbinglah kami ke jalan yang Engkau redai. Berkatilah usaha kami dalam mencurahkan kebaikan buat masyarakat kami dan manusia seluruhnya. Ya Jalil, Ya Karim, lindungilah kami daripada sifat mementingkan diri sendiri dan kurniakanlah kami hati yang pemurah dan penyayang. Ya Wadud, Ya Majid, berkatilah keluarga kami, masyarakat kami, dan sekalian hamba-hamba-Mu. Kekalkanlah kami dalam keimanan, dan rahmatilah kami semua. Amin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
KHUTBAH KEDUA
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.