Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
7 Jun 2024 / 29 Zulkaedah 1445H
Memupuk Sakinah Dalam Rumahtangga
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t.,
Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar ketakwaan, kita taati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga rumahtangga yang dibina dan hubungan keluarga yang terjalin kekal utuh serta diberkati oleh Allah s.w.t.
Para jemaah sekalian,
Khutbah pada bulan lalu mengingatkan kita tentang kepentingan perancangan dalam kehidupan. Perancangan untuk kemaslahatan diri, keluarga dan masyarakat kita. Khutbah bulan ini pula akan menyentuh beberapa pengajaran berkaitan keluarga yang diambil daripada Khutbah Wada’ atau khutbah terakhir Rasulullah s.a.w. sebelum kewafatannya.
Mari hayati salah satu pesanan baginda dalam khutbah tersebut:
فَاتَّقُوْا اللهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوْهُنَّ بِأَمَانِ اللهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوْجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ
Yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah tentang (urusan) wanita, kerana sesungguhnya kalian telah mengambil (menikahi) mereka menerusi perjanjian Allah, dan kamu menghalalkan hubungan intim sebagai pasangan dengan kalimat Allah." (Hadis riwayat Imam Muslim).
Subhanallah, lihatlah pesanan indah Nabi Muhammad s.a.w. berkaitan isteri. Baginda mengingatkan para suami, seperti ramai di antara kita di sini, untuk menjaga hak seorang isteri dan membimbing mereka ke jalan yang diredai Allah. Suami perlu menjaga kehormatan isterinya, bersikap lemah lembut dan menyantuni mereka. Malah, apabila seorang suami itu melafazkan ‘Aku terima nikahnya’, dia sebenarnya berjanji kepada Allah s.w.t. untuk menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan ke atas dirinya.
Saudaraku yang dikasihi,
Setiap pasangan yang berumahtangga pastinya menginginkan kebahagiaan dan ketenangan (sakinah) dalam hidup mereka. Oleh itu, setiap hak dan tanggungjawab hendaklah dipenuhi dengan sebaiknya, agar terbentuk sebuah rumahtangga yang dihiasi dengan Sakinah, Mawaddah, dan Rahmah.
Ingatlah saudaraku, seorang suami adalah pelindung buat isterinya. Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Majmu’ah Rasail (مجموعة رسائل), menjelaskan mengenai adab suami terhadap isterinya, iaitu: “...berinteraksi dengan baik, menuturkan kata-kata yang lembut, menunjukkan kasih sayang, tidak selalu mempersoalkan kesalahan isteri, dan memaafkan jika dia tersilap. Juga menjaga harta isteri, tidak banyak berdebat, berbelanja untuk keperluan isteri dengan murah hati, memuliakan keluarga isteri, dan senantiasa memberi janji yang baik.”
Begitulah panduan Islam. Apabila sang suami memainkan peranan dengan baik, dia akan menghidupkan suasana kemesraan, kebahagiaan dan ketenangan dalam rumahtangganya.
Saudaraku,
Kita sedar, hidup berumahtangga tidak terlepas daripada ujian. Setiap masalah perlu ditangani dengan cermat agar aib dan kekurangan kekal terjaga dari pandangan awam. Namun, sekiranya ia melibatkan bahaya dan kemudaratan, seperti keganasan rumahtangga, ia tidak patut dibiarkan begitu sahaja.
Keganasan rumahtangga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, sama ada antara pasangan suami isteri, mahupun antara orang tua dan anaknya sendiri. Ianya boleh berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada penderaan fizikal, mental, mahupun psikologi dan emosi. Sebagai seorang Mukmin, kita harus persoalkan, adakah ajaran murni Islam membenarkan seseorang mencederakan, mengancam, memaksa melakukan sesuatu tanpa kerelaan, serta menimbulkan ketakutan ke atas ahli keluarga sendiri? Tentu sekali tidak! Kerana ini melanggar roh shariat Islam.
Para jemaah sekalian,
Kita tidak boleh berdiam diri atau membiarkan keganasan rumahtangga berlaku dalam keluarga Islam. Keganasan rumahtangga bukan suatu masalah peribadi. Saudaraku, sebagai sebuah masyarakat mukmin muslim, kita perlu mengambil peduli tentang kesengsaraan orang lain. Bukankah sikap seorang mukmin, selain mengajak kepada kebaikan, juga berusaha menghalang keburukan daripada terus berlaku? Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya: “(Orang-orang mukmin itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).” (Surah al-Taubah, ayat 112).
Justeru, kita perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau pusat-pusat keluarga sekiranya terlihat tanda-tanda penderaan pada seseorang. Begitu juga, sekiranya kita mendapati seseorang yang kebiasaannya ceria, terus berubah menjadi seorang yang lebih suka bersendiri dan berdiam diri, maka kita perlu bertanya sekiranya dia sedang menghadapi tekanan atau sedang mengalami keganasan rumahtangga.
Marilah sama-sama kita memainkan peranan sebagai pelindung isteri dan ahli keluarga kita. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan sakinah dan kebahagiaan kepada keluarga kita di dunia dan akhirat nanti. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
KHUTBAH KEDUA
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَم وَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْف. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.