Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
11 Oktober 2024 / 8 Rabiul Akhir 1446H
Mempersiap Masyarakat Masa Hadapan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada hari yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya serta para jemaah sekalian agar bertakwa kepada Allah s.w.t. Marilah kita terus mempertahankan keimanan dan ketakwaan kita dengan berusaha sedaya upaya melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
Ketahuilah saudara, kehidupan di dunia ini penuh dengan pancaroba. Kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran, serta memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama di dalam masyarakat. Semoga dengan ini, Allah s.w.t. mengabulkan cita-cita murni kita untuk menjadi masyarakat Islam yang gemilang (khaira ummah), agar menjadi sumber inspirasi positif buat semua. Amin.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Khutbah minggu lalu memperlihatkan sebahagian dari pencapaian dan kejayaan kita yang boleh dibanggakan. Namun dalam membincangkan tajuk selanjutnya dalam khutbah hari ini, iaitu mengenai mempersiapkan masyarakat masa hadapan, perlu untuk kita renung sejenak dan bertanya sama ada kejayaan yang dicapai mampu membina sifat berdaya tahan di kalangan masyarakat kita.
Daya tahan ini amat penting bagi kita ketika berhadapan dengan cabaran-cabaran baru, dari dua sudut yang berbeza: Pertama, cabaran yang berkaitan dengan kehidupan beragama, dan kedua, cabaran kehidupan yang dipengaruhi perkembangan dunia yang begitu pesat.
Hakikatnya saudara sekalian, sebagai Muslim kita harus berpandangan jauh dan berfikiran luas. Dengan berbekalkan ilmu, kemahiran, dan kefahaman yang betul terhadap prinsip kehidupan dan agama, kita akan lebih bersedia untuk membuat perancangan yang baik dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan. Marilah kita renungkan firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hashr, ayat 18 yang berbunyi:
Yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok, dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang kamu kerjakan."
Saudaraku, sebagai Muslim, kita bukan sahaja diminta membuat persiapan untuk kehidupan akhirat. Bahkan juga, kita bertanggungjawab mempersiapkan diri bagi kehidupan masa depan di atas bumi Allah ini.
Para jemaah yang dirahmati Allah,
Izinkan khatib berkongsi dua aspek utama yang dapat diusahakan dalam mempersiapkan dan membina masyarakat masa depan yang berjaya dan cemerlang.
Pertama: Meningkatkan ilmu dan kemahiran.
Islam amat mementingkan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Apakan tidak? Wahyu pertama yang diturunkan ke atas baginda Rasulullah s.a.w. adalah perintah membaca (dengan ungkapan iqra’). Di samping itu, baginda s.a.w. sendiri bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu adalah wajib atas setiap Muslim." (Riwayat Ibn Majah).
Atas dasar seruan dan semangat inilah, kita perlu terus memperkukuh penguasaan kita terhadap pelbagai cabang ilmu, sama ada ilmu agama, mahupun sains moden dan kemahiran hidup duniawi. Dasar dan prinsip akhlak mulia tentunya tidak boleh diabaikan disebabkan kita terlalu sibukkan mengejar kemajuan duniawi.
Asas ilmu agama yang kuat lagi sahih amat diperlukan oleh umat Islam hari ini dalam memahami akidah Islam dan sumber-sumber ajaran Islam yang benar dan tepat. Pemahaman agama yang mantap dan betul akan dapat memperkukuh dan memastikan daya tahan masyarakat untuk mengharungi kecelaruan hidup hari ini dan hari muka yang amat pesat berubah dengan pelbagai sudut perkembangan. Sama ada ia bersangkut ehwal sosial, ekonomi, geopolitik, mahupun tren kehidupan yang mempengaruhi pemikiran individu mahupun pembentukan keluarga. Dan di samping itu, pengaruh yang melibatkan penyelewengan ajaran agama dan menyimpang daripada keluhuran ajaran Islam sebenar.
Selain itu, kita juga perlu menguasai kemahiran dan kefahaman yang betul terhadap perkembangan semasa dunia dan perkembangan teknologi masa kini. Ini termasuk bidang ekonomi, perubatan, teknologi, dan sebagainya. Kemampuan menguasai perkembangan semasa bidang-bidang ini akan memupuk dan memperkukuh daya saing dan daya tahan masyarakat kita dalam menghadapi dan menghuraikan pelbagai permasalahan masa kini. Dengan penguasaan dua bidang ilmu dan kemahiran ini (ukhrawi dan duniawi), kita tentunya akan lebih bersedia untuk menyediakan penyelesaian permasalahan-permasalahan ini dengan pendekatan yang lebih seimbang dari lensa syariah.
Dengan penguasaan ilmu dan kemahiran sebegini, kita bukan hanya menjadi masyarakat pengguna, malah akan menjadi masyarakat yang membangun dan menyumbang kepada kemajuan, sekaligus menjadi inspirasi buat semua. Walau pun bilangan kita kecil, sumbangan kita yang ketara setanding dengan masyarakat lain. Ia juga akan kelihatan lebih indah apabila ia didasari nilai-nilai yang mencerminkan prinsip-prisnsip agama kita.
Aspek kedua pula ialah: Mengukuhkan perpaduan dan kerjasama antara anggota masyarakat.
Selain menitikberatkan ilmu pengetahuan, Rasulullah s.a.w. juga menekankan kepentingan menjalinkan hubungan baik dengan segenap lapisan masyarakat. Ini jelas terpapar sepanjang perjalanan hidup dan dakwah baginda di Makkah dan Madinah. Baginda s.a.w. amat menyedari bahawa kemakmuran kehidupan manusia tidak akan terjamin tanpa perpaduan dan keharmonian hidup di antara anggota masyarakat secara keseluruhannya. Perpaduan yang didasari keikhlasan dan nilai-nilai kemanusiaan dan agamalah yang akan berjaya menjalinan kerjasama yang kukuh dan berkesan dalam menghasilkan manfaat dan kebaikan buat semua. Kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. setentunya adalah masyarakat yang paling patut mendahului inisiatif ini dan menjadi contoh buat yang lain.
Sesuai dengan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., kejayaan dan kemakmuran akan berada jauh dari dakapan sekiranya kita hanya mementingkan diri sendiri. Oleh itu, tingkatkanlah ilmu dan kemahiran, jalinkanlah perpaduan, dan taburkanlah sumbangan, supaya bantuan Allah sentiasa mendampingi setiap langkah yang kita usahakan.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, pandanglah kami dengan pandangan kasih sayang-Mu. Ya Quddus Ya Salam, kurniakan kami ilmu yang bermanfaat, dan jangan Engkau biarkan kami tertipu dengan kebolehan diri yang dipinjamkan untuk seketika . Ya Dzal Jalali Wal Ikram, bimbinglah kami menjadi pemangkin kebaikan di muka bumi ini, dan jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yang berjaya di dunia dan di akhirat kelak. Amin ya Rabbal Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
KHUTBAH KEDUA
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.