collections khutbah Membudayakan Nilai dan Amalan Murni Pasca Ramadan
Membudayakan Nilai dan Amalan Murni Pasca Ramadan

 

Majlis Ugama Islam Singapura 

Khutbah Jumaat 

19 April 2024 / 10 Syawal 1445H 

Membudayakan Nilai dan Amalan Murni Pasca Ramadan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mari kita terus berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya dan tinggalkan segala tegahan-Nya. Semoga kita kekal istiqamah sehingga hari ini dalam mencerna nilai dan amalan murni yang kita kerjakan di bulan Ramadan lalu. Amin.

Para jemaah sekalian,

Begitu cepat masa berlalu, hari ini adalah Jumaat kedua dalam bulan Syawal. Dan antara kelaziman yang dilakukan pada bulan ini adalah tradisi kunjung-mengunjung untuk mengukuhkan hubungan silaturahim sesama kita. Inilah amalan dan nilai murni yang baik dilakukan secara berterusan.

Para ulama silam juga sentiasa berusaha mengisi ruang hidup mereka dengan nilai-nilai yang menjurus ke arah ketaatan dan kebaikan. Mereka khuatir jika apa yang diusahakan tidak cukup di sisi Allah s.w.t. Hayatilah bersama firman Allah dalam surah al-Mukminun, ayat 60-61:

Yang bermaksud: “Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang gementar, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itu bersegera (merebut peluang) kebajikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului memperolehnya.

Begitulah amal kebajikan yang dilakukan oleh mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berterusan melakukan apa sahaja kebaikan bagi meraih rahmat Allah s.w.t. Mereka merasa takut sekiranya nyawa yang dipinjamkan disia-siakan sehingga amalan semasa hidup tidak diterima Allah.

Para jemaah yang dikasihi,

Saya mengajak jemaah sekalian mengimbas kembali bibit-bibit kemanisan beramal dan beribadah di bulan Ramadan lalu. Bukankah kita telah berusaha dengan gigih sejak awal bulan tersebut untuk merebut pahala yang dijanjikan Allah? Tidakkah kita melipat gandakan ibadah dan kebajikan di penghujung Ramadan kerana mengejar anugerah Lailatul Qadar? Kita juga bersama memenuhi saf solat di masjid atau di qaryah untuk berjemaah dan berdoa untuk saudara kita yang sedang berhadapan dengan krisis kemanusiaan.

Di luar aktiviti masjid dan peribadatan pula, tidakkah kita juga telah bersama menyaksikan ramai kalangan masyarakat menyinsing lengan di siang Ramadan untuk membantu mereka yang kurang kemampuan. Ramai juga yang menderma bagi membantu mereka yang memerlukan. Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya kita dapat melakukan amalan-amalan tersebut dengan sebaik mungkin.

Namun persoalan selanjutnya, adakah kebaikan-kebaikan itu hanya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja? Adakah Allah hanya mengurniakan pahala di bulan Ramadan sahaja? Jawapannya pasti tidak. Allah ingin kita semua terus beramal kerana Dia suka amalan yang berterusan. Nabi s.a.w. bersabda:

إِنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّ

Yang bermaksud: “…Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah adalah yang berterusan walaupun sedikit. (Hadis riwayat Imam Muslim).

 

Saudaraku,

Jika kita ikhlas menginginkan rahmat dan keredaan Allah, maka kita perlu terus membudayakan nilai dan amalan yang baik sepanjang hayat.

Justeru, sama-samalah kita teruskan usaha memelihara ibadah dan amal kebajikan kita. Teruskan memanjatkan doa untuk diri kita, ahli keluarga, kenalan dan taulan serta saudara kita yang sedang berhadapan dengan ujian. Jangan sekali-kali kita berhenti dan berputus asa dengan bantuan Allah s.w.t. Kerana Dia mendengar setiap luahan, rintihan hati dan mengetahui kesungguhan kita dalam berdoa. Allah pasti akan mengabulkan doa dan hajat kita pada masa dan keadaan yang sesuai.

Selain itu saudaraku, teruskan berinfak serta menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Kita isikan ruang hidup kita dengan memberi manfaat kepada sesiapa sahaja di sekeliling kita kerana itu juga ciri terbaik dan terpuji seorang hamba, seperti mana yang diingatkan oleh Nabi s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi sekalian manusia.”  (Hadis riwayat Imam al-Tabrani).

Para jemaah sekalian,

Setiap dari kita inginkan kejayaan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Oleh itu, sama-samalah kita menghidupkan nilai dan amalan murni sepanjang bulan Ramadan lalu secara istiqamah dan berterusan. Ingatlah firman Allah s.w.t.:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka beristiqamah, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu." (Surah Fussilat, ayat 30).

Semoga Allah s.w.t. menerima segala amalan kita, dan menempatkan kita bersama orang-orang soleh yang diberkati amalannya. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.  

 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.