collections khutbah Memberi Kesan dan Meninggalkan Kesan
Memberi Kesan dan Meninggalkan Kesan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

27 September 2019 / 27 Muharram 1441H

Memberi Kesan dan Meninggalkan Kesan

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah.  Dengan sentiasa melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita limpahan hidayah dan petunjukNya insya-Allah. Amin.

 

Saudaraku,

Sepanjang bulan ini, khutbah telah memberi beberapa bimbingan serta panduan melalui beberapa tahap kehidupan. Daripada bimbingan dan asuhan yang perlu diberikan kepada mereka yang berada pada usia muda dan remaja, kepada menjaga mereka yang sudah lanjut usia. Ia sebenarnya membawa kita untuk menghayati erti dan maksud kehidupan. Erti usia dan umur kurniaan Tuhan.

Saudaraku,

Kehidupan ini merupakan suatu kurniaan Allah yang patut kita sentiasa syukuri kerana padanya kita mengecapi nikmat yang teramat banyak, sama ada yang kita sedari mahupun tidak. Daripada pelbagai nikmat kurniaan Allah s.w.t., setentunya nikmat umur, usia serta kesihatan itu merupakan suatu kurniaan yang teramat berharga sekali bagi insan. Kerana umur ini merupakan peluang untuk kita menyumbang, memberi kesan dan meninggalkan kesan. Untuk menambahkan lagi saham kita di akhirat kelak.

 

Perhatikan firman Allah s.w.t. yang menegaskan kepentingan sumbangan yang perlu diberikan insan dalam kehidupan ini. FirmanNya yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami yang menghidupkan yang telah meninggal dunia, lalu Kami tuliskan segala yang telah mereka kerjakan segala segala kesan peninggalan mereka. Dan ingatlah setiap sesuatu Kami catitkan dalam sebuah kitab yang nyata. [Surah Yasin: 12].

 

Allah s.w.t. menjelaskan pada ayat tadi bahawa segala usaha dan amalan yang dilaksanakan insan semasa hidupnya dahulu, akan ditulis dan dicatit. Ia sekaligus merupakan panduan buat insan untuk memerhatikan apakah usaha yang dapat dia laksanakan semasa kehidupannya. Usaha yang memberi kesan kepada mereka yang berada di sekitarnya.

 

Sejajar dengan panduan al-Quran ini, terdapat juga beberapa hadith Nabi s.a.w. yang menegaskan kelebihan orang yang meninggalkan kesan yang positif, sehingga ia menjadi teladan serta menjadi amal jariah buat dirinya walaupun setelah peninggalannya. Nabi bersabda yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Barangsiapa yang memulakan suatu kebiasaan yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan pahala sesiapa yang mengikutinya [melaksanakan] amalan tersebut setelahnya, tanpa dikurangi daripada pahala mereka sedikitpun. Dan barangsiapa yang memulakan suatu kebiasaan yang buruk dalam Islam, lalu perbuatan tersebut diikuti insan lain sesudahnya, maka dicatat baginya dosanya, dan dosa sesiapa yang mengikutinya setelahnya, tanpa dikurangi daripada dosa mereka sedikit pun.” [Hadith riwayat Muslim].

 

Panduan keagamaan ini menegaskan kepada kita kepentingan untuk kita berusaha untuk menjadi daripada golongan yang pertama. Golongan yang meninggalkan kesan dan contoh teladan yang baik. Sehingga bukan sahaja ia menjadi ikutan, bahkan ia membawa kesan dalam kehidupan insan lain.

 

Perhatikan kepada kehidupan Nabi s.a.w. dengan para sahabat radiyallahu anhum. Kehidupan mereka dipenuhi dengan sumbangan yang positif buat kesejahteraan insan sejagat. Nabi Muhammad s.a.w. dikenang di dalam lembaran sirah bukan hanya sebagai seorang yang berakhlak mulia, tetapi juga sebagai insan pilihan yang telah berbakti membawa perubahan dan pembaikan kepada kehidupan masyarakat di sekelilingnya.

 

Contoh jelas bakti Nabi s.a.w. pada masyarakatnya, dapat dilihat melalui pembinaan masjid sebaik sahaja Baginda s.a.w. berhijrah ke Madinah. Selain sebagai tempat ibadah dan pembinaan kerohanian, masjid juga dijadikan sebagai pusat bagi Nabi s.a.w. mendengar dan menyelesaikan segala persengketaan dan aduan penduduk Madinah ketika itu.

 

Sumbangan Nabi kepada masyarakatnya juga meliputi dalam hal-hal yang berkaitan pembangunan sosial dan ekonomi masyarakatnya. Ia dilakukan melalui pengenalan sistem keadilan sosial berdasarkan inisiatif pungutan dan pembahagian wang zakat, serta pengenalan Baitul Mal yang berfungsi sebagai pusat simpanan bagi perbendaharaan kota Madinah pada ketika itu.

 

Sikap penyumbang Rasulullah s.a.w. yang berjiwa rakyat dan masyarakat ini, juga turut diwarisi oleh para sahabat radiyallahu anhum setelahnya. Sesiapa yang pergi ke haji ataupun umrah, pasti akan menyaksikan kesan peninggalan sebahagian sahabat Baginda. Seperti harta wakaf Saidina Usman radiyallahu anhu, yang kekal menjana kewangan tetap bagi mereka yang memerlukan.

 

Subhanallah! Inilah antara yang dimaksudkan Allah s.w.t. daripada ayat yang dibaca di awal khutbah ini berkaitan “kesan kehidupan” seseorang.

 

Saudaraku,

Selaku umat Baginda s.a.w., kita perlu berusaha sebanyak mungkin mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w. dalam setiap kehidupan kita, ini termasuklah dari segi amalan bakti Baginda terhadap masyarakatnya. Ini dapat dilakukan dengan menyemai sikap suka membantu dan memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling kita.

 

Bayangkan saudaraku, seandainya hari ini ajal datang menjemput, apakah amalan ataupun sumbangan yang telah kita laksanakan, sehingga dapat kita berdiri esok di hadapan Tuhan dengannya. Yang dipandang Tuhan, bukanlah banyak ataupun sedikitnya sumbangan. Akan tetapi yang menjadi kayu ukur adalah keikhlasan dan niat yang betul.

 

Mungkin anda seorang guru yang telah mendidik generasi demi generasi, sehingga berjaya ke menara gading dan mereka menyumbang kembali kepada masyarakat. Maka ia merupakan kesan kehidupan yang telah anda tinggalkan. Mungkin juga anda merupakan seorang ibu dan ayah, datuk ataupun nenek, yang telah membentuk peribadi anak-anak dan keturunan, sehinggakan keturunan yang anda tinggal, semuanya mewarisi sifat-sifat dan nilai yang murni. Ia merupakan kesan kehidupan yang amat bernilai. Mungkin anda seorang petugas yang berusaha untuk memastikan kesejahteraan rakyat melalui tugas ataupun khidmat yang anda curahkan. Ia merupakan kesan kehidupan yang positif yang mampu anda kedepankan.

 

Amat tepat perumpamaan yang diberi Nabi Muhammad s.a.w. dalam sebuah hadith berkaitan kehidupan seorang mukmin. Beliau sentiasa memberi kesan dan kemanfaatan bagi mereka yang di sekelilingnya. Hadithnya bermaksud: “Perumpamaan seorang mukmin adalah bagaikan pohon kurma. Bahagian manapun yang engkau ambil, maka akan bermanfaat untukmu”. (Hadith riwayat At-Thabari).

Kerana itu, seorang mukmin bukan sahaja meraih dan menantikan kemanfaatan daripada orang lain, akan tetapi dirinya sentiasa berusaha untuk memberi kemanfaatan dan menyebarkan kesejahteraan terhadap insan lain.

 

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita Taufiq serta inayah untuk menambahkan lagi usaha serta amal soleh kita. Dan semoga kita dikurniakan rahmat serta pengampunanNya sentiasa insya-Allah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.