collections khutbah Membendung Amalan Pembaziran
Membendung Amalan Pembaziran

 

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

22 November 2024 / 20 Jamadil Awal 1446H

Membendung Amalan Pembaziran

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya, orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa.

Ma’asyiral Muslimin wa Zumratal Mukminin Rahimakumullah,

Khutbah minggu ini akan membincangkan perihal aktiviti pencemaran alam dan pembaziran, dan bagaimana sebagai seorang mukmin kita boleh mengorak langkah mengatasi tabiat negatif ini.

Saudaraku sidang mukminin sekalian,

Imam Muslim ada meriwayatkan sepotong hadis bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berpesan bahawa Allah s.w.t. adalah Tuhan Yang Maha Indah dan mencintai keindahan. Tentu sekali, ini merangkumi keindahan semua makhluk-Nya, termasuklah keindahan alam sekitar ciptaan-Nya yang sepatutnya terpelihara dari sebarang pencemaran mahupun pembaziran sumber, seperti yang disebutkan pada khutbah minggu lalu.

Bayangkan, dalam sepotong lagi hadis yang diriwayatkan  oleh Imam Ahmad dan Imam Ibn Majah, seorang sahabat ditegur oleh Rasulullah s.a.w. kerana berlebihan dalam penggunaan air ketika berwuduk. Hal yang ditegur oleh Nabi s.a.w. adalah berwuduk, tuan-tuan, bukan membasuh kain, bukan suka-suka bermain air, tetapi berwuduk untuk solat. Teguran ini adalah isyarat yang jelas, bahawa gaya hidup kita sewajarnya melambangkan ajaran Islam dan  pembaziran tidak sepatutnya berada dalam kamus kehidupan seorang mukmin.

Para jemaah yang dirahmati Allah,

Pembaziran boleh berlaku dalam aktiviti seharian kita. Sebagai contoh, pernahkah, mungkin tanpa disengajakan, kita membeli makanan dan minuman lebih dari yang diperlukan, lalu menyimpannya sehingga tidak habis dimakan, dan akhirnya terpaksa dibuang? Situasi ini sering berlaku, khususnya di bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang lebih kurang 3 bulan dari sekarang. Bahkan, di beberapa benua seperti di Timur Tengah dan di Britain, dilaporkan antara 25% hingga 50% juadah yang disiapkan akhirnya terbazir di bulan Ramadan. Dapatan ini mungkin bukanlah perkara baharubagi sebahagian kita. Ia seharusnya memberi kita kesedaran untuk merenung dan mencari cara memperbaiki kelaziman buruk kita ini, kelaziman yang sama sekali tidak sejajar dengan ajaran agama yang menekankan kepentingan menghargai nikmat rezeki dan menjauhi sikap  membazir.

Bagaimana pula dengan penggunaan sumber tenaga dan sumber alam yang lain? Pernahkah kita terfikir, betapa banyak sumber alam yang diperlukan untuk membuat dan mencipta barang dan perkakas seharian kita? Ini termasuk pakaian kita, kertas dan alat tulis, sehinggalah telefon bimbit yang kita semua miliki. Adakah kita perhatikan kembali sama ada memperoleh dan memilikinya sebagai satu keperluan atau kemahuan dan tren gaya hidup semata-mata? Bagaimanakah kita, tanpa disedari, mudah terjerat dengan tipu-helah syaitan dan nafsu kita sendiri? Sesungguhnya pembaziran adalah sifat yang tidak disukai Islam sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Isra' ayat 27:

Yang bermaksud: "Sesungguhnya golongan yang suka membazir itu, mereka adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya."

Dari mimbar ini, khatib ingin berpesan pada diri sendiri dan sekalian yang hadir, agar merenungkan firman Allah yang baru dibacakan tadi. Mengapa begitu berat sekali perumpamaan yang digambarkan Allah s.w.t. bagi golongan yang membazir? Perumpamaan itu digambarkan sebegitu rupa supaya manusia mengambil iktibar dan sedar dari kelalaian. Ia juga sebenarnya tanda cinta dan rahmat Allah s.w.t. pada umat nabi Muhammad s.a.w. agar menjauhi perkara yang dibenci-Nya.

Sidang jemaah yang dihormati,

Bagi melestarikan usaha membendung pembaziran, izinkan saya untuk menyarankan dua cara praktikal yang boleh kita lakukan dalam kehidupan seharian sebagai seorang mukmin dan anggota masyarakat global:

Yang pertama, mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. dalam menjimatkan penggunaan sumber alam. Lebih-lebih lagi ketika kita mampu melakukan penjimatan itu tanpa mengganggu keperluan aktiviti seharian kita. Bayangkan kebahagiaan yang akan terukir di wajah Rasulullah s.a.w. ketika melihat usaha kita sebagai umatnya dalam memartabatkan sunnahnya. Lebih bermakna lagi, sekiranya dunia melihat umat nabi Muhammad s.a.w. berada di barisan hadapan menerajui usaha membasmi pembaziran. Ya, kita mungkin tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w., tetapi ia tidak bermakna kita tidak boleh menjadi umatnya yang    mencontohi sunnahnya dengan dekat, walaupun terpisah jauh dari sudut ruang dan waktu. 

Yang kedua, memelihara alam sekitar dan melihatnya sebagai sebahagian dari tanda keimanan kepada Allah s.w.t. Jika menghindarkan bahaya di jalanan dinilai sebagai tanda kesempurnaan iman, inikan pula memelihara ciptaan Allah s.w.t. dengan mengelakkan pembaziran, dan meninggalkan kesan positif untuk jangka panjang. Ingatlah, setiap usaha kecil yang kita lakukan akan memberi impak yang besar jika dilakukan secara kolektif dan berterusan.

Sebagai penutup, renungkanlah firman Allah s.w.t. dalam Surah Ar-Rum ayat 41:

Yang bermaksud: "Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)."

Semoga Allah s.w.t. memberi kita kekuatan untuk menjalankan sendiri amanah sebagai khalifah di muka bumi ini. Khalifah yang menjaga alam sekitar dari sebarang pembaziran. Semoga nilai positif yang kita semai di dalam jiwa ini akan membentuk keperibadian mukmin yang diredai Allah s.w.t. Amin ya Rabbal 'alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

 

KHUTBAH KEDUA

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.