collections khutbah Melaksanakan Amalan Makruf
Melaksanakan Amalan Makruf

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

16 Julai 2021 / 6 Zulhijjah 1442H

Melaksanakan Amalan Makruf

 

Muslimin Dan Muslimat,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan mentaati segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Semoga dengan segala amal kebaikan yang kita kerja bakal meraih ganjaran disisi Allah (s.w.t.).

Para Jemaah yang dirahmati Allah,

Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk melakukan kebaikan dan berusaha mencegah dari keburukan. Islam juga menggalakkan kita untuk mengajak kepada kebaikan. Hal itu dijelaskan Allah (s.w.t.) dalam firman-Nya:

Yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang berjaya” (Surah Ali Imran, ayat 104).

Apakah maksud daripada istilah “makruf”? Makruf walaupun biasanya diterjemahkan sebagai kebaikan. Ia juga membawa erti melaksanakan apa yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya.

Istilah makruf daripada segi bahasa juga bermaksud “sesuatu amalan yang dikenali”. Ia dinamakan sebagai berikut, kerana setiap jiwa serta minda yang sihat pasti akan mengenalinya serta mengetahui kebaikannya lalu dapat menerimanya untuk diamalkan.

Para Jemaah yang dirahmati Allah,

Segala bentuk amal kebaikan yang kita lakukan dengan hati yang ikhlas, akan diterima dan diberikan ganjaran oleh Allah (s.w.t.). Oleh itu, janganlah sesekali kita meremehkan amalan kebaikan sekecil mana sekali pun. Nabi (s.a.w.) bersabda:

وَلاَ تَحْقِرَنَّ شَيْئًا مِنَ الْمَعْرُوفِ وَأَنْ تُكَلِّمَ أَخَاكَ وَأَنْتَ مُنْبَسِطٌ إِلَيْهِ وَجْهُكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنَ الْمَعْرُوفِ

Yang bermaksud: “Janganlah meremehkan kebaikan sedikit pun. Walau hanya dengan berbual dengan saudaramu dengan wajah yang tersenyum. Tersebut adalah sebahagian daripada kebaikan.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Saudara dan Saudari,

Saya rasa memang sesuai untuk kita berbicara tentang kepentingan amalan soleh, memandangkan kita sekarang ini berada pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. Hari-hari di mana Allah (s.w.t.) menjanjikan ganjaran dan pahala bagi mereka yang melaksanakan amal kebajikan di hari-hari yang diberkati ini.

Rasulullah (s.a.w.) bersabda: “Tiada amal soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (yakni sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah).” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Maka ambillah peluang ini untuk mempertingkatkan amal ibadah dengan memperbanyakkan amalan bersedekah, berzikir, membaca al-Quran dan berpuasa di sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, lebih-lebih lagi terdapat anjuran Nabi (s.a.w.) untuk kita berpuasa pada hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah, bersamaan 19 Julai 2021.

Seterusnya amal makruf yang boleh kita kerjakan dalam suasana Aidiladha ini setentunya adalah ibadah korban. Nabi bersabda yang bermaksud: “Tiada satu amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr yang lebih disukai oleh Allah selain korban.” (Hadis riwayat Al-Hakim).

Namun saudaraku, sekiranya pada tahun ini kita tiada kesempatan untuk melaksanakan ibadah korban, maka terdapat pelbagai lagi jenis kebaikan yang boleh kita lakukan. Kerana di sisi Islam, ibadah korban itu membawa maksud yang lebih luas. Perhatikan firman Allah (s.w.t.):

Yang bermaksud: Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan dari kamu...” (Surah al-Hajj ayat 37).

Maka maksud di sebalik anjuran untuk melaksanakan ibadah korban sebenarnya merupakan dorongan untuk saling bantu membantu antara satu dengan yang lain; tambahan dari itu, untuk berkongsi kelebihan nikmat yang Allah kurniakan buat kita.

Maka perhatikan keadaan jiran tetangga, teman dan taulan, sekiranya ada yang berhadapan dengan kesukaran hidup. Pada saat dan ketika ini, ia merupakan makruf yang perlu kita lakukan. Demi membantu antara satu dengan yang lain.

Akhir sekali jangan lupa untuk mengerjakan solat hari raya Aidiladha, sama ada di masjid, jika berpeluang, atau di rumah masing-masing. Semoga Allah (s.w.t.) terus memberikan ruang dan peluang untuk kita beramal soleh dan mempertingkatkan amal kita, sekaligus meraih ganjaran pahala di sisi Allah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin. 

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.