collections khutbah Keyakinan dalam Kepayahan
Keyakinan dalam Kepayahan

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

12 Julai 2024 / 6 Muharram 1446H

Keyakinan dalam Kepayahan

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَ فِي اخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُوْلِي الأَلْبَابِ، وَجَعَلَ الـمُحَرَّمَ مِنَ الأَشْهُرِ الحُرُمِ تَذْكِيرًا لِحُرْمَتِهِ لِمَنْ تَابَ إِلَيْهِ وَأَنَابَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَـٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ الكَرِيمُ الوَهَّابُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبدُهُ وَرَسُولُهُ الَّذِي اصْطَفَاهُ وَأَنزَلَ عَلَيْهِ الكِتَابَ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ صَلَاةً نَنَالُ بِهَا شَفَاعَتَهُ يَوْمَ الحَشْرِ وَالحِسَابِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الـمُسْلِمُونَ، أُوصِيكُم وَنَفْسِي بِتَقوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَقَد فَازَ الـمُتَّقُونَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Taati segala perintahnya dan jauhi segala larangannya. Moga pada lembaran tahun baru Hijrah ini, Allah s.w.t. membersihkan hati kita serta menguatkan lagi keimanan kita kepada-Nya. Amin.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Malam tadi, mungkin ada di antara kita yang membaca surah Yasin dan membaca ayat 9 yang berbunyi:

Apakah pengajaran daripada ayat ini? Bagi yang kurang peka, ayat ini ada hubungannya dengan penghijrahan Rasulullah. Firman Allah dalam ayat ini bermaksud: “Maka Kami jadikan di hadapan mereka dinding, dan di belakang mereka dinding, lalu Kami tutup (pandangan) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat.”

Peristiwa ini merujuk kepada percubaan kafir Quraisy membunuh Rasulullah s.a.w. ketika baginda dikepung di rumahnya. Kenapa sampai begitu? Sebabnya kerana mereka menolak risalah Islam yang mengajak manusia menyembah Allah, Tuhan yang Esa.

Namun, dengan kebesaran dan pertolongan Allah, serta perancangan baik yang dilakukan oleh baginda, Rasulullah berjaya melepaskan diri, dan peristiwa ini terakam dalam ayat 9, Surah Yasin yang dibacakan tadi.

Sidang jemaah sekalian,

Saya yakin kita biasa mendengar penghijrahan Rasulullah s.a.w. dari Makkah ke Madinah berpunca dari faktor penindasan kaum Quraisy. Hari ini, saya ingin saudara-saudara melihat peristiwa hijrah dari perspektif yang sedikit berbeza. Ada tiga kata kunci untuk dijadikan oleh-oleh pertemuan kita hari ini.

Yang pertama, perancangan. Rasulullah s.a.w. merancang dengan teliti dan berusaha sebelum bertawakal kepada Allah s.w.t. Contohnya, sebelum baginda meninggalkan rumahnya, beliau meminta sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. menggantikan baginda di tempat tidurnya, dengan tujuan mengelirukan pihak lawan. Barulah baginda bertawakal pada Allah dengan penuh keyakinan rencana ini akan berjaya. Tuan-tuan, tiada namanya tawakal tanpa perancangan yang rapi dan usaha. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Berusahalah terhadap apa yang memberi manfaat kepadamu, (kemudian) mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu berasa lemah.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Kata kunci kedua, sokongan dan bantuan. Jemaah yang budiman, kita tidak hidup sendirian di muka bumi Allah ini. Kita perlu saling memberi sokongan dan bantuan, seperti apa yang dilakukan oleh Sayyidina Ali r.a. Begitu juga Sayyidina Abu Bakar r.a. yang sanggup menemani Rasulullah melarikan diri dan bersembunyi di gua Thur. Dan tatkala sayyidina Abu Bakar merasa cemas dan gelisah ketika kafir Quraisy hampir berjaya menjejaki mereka berdua dan menghampiri gua Thur, tiba giliran  Rasulullah pula memberikan sokongan emosi mengembalikan ketenangan Abu Bakar r.a. dengan katanya seperti yang terakam dalam surah al-Taubah, ayat 40:

Yang bermaksud: “Janganlah engkau berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita."

Subhanallah! Begitu tekad keimanan dan keyakinan Nabi Muhammad s.a.w. Di saat baginda menghadapi musuh dan berkemungkinan dibunuh, baginda tetap tenang dan yakin akan bantuan Allah, setelah membuat usaha yang sewajarnya.

Kita seharusnya ambil teladan daripada peristiwa ini dan bermuhasabah. Apakah tahap keyakinan kita kepada Allah ketika diuji? Adakah iman merangsang kita untuk terus berusaha dan bertawakal? Atau sebaliknya, kita terus menyerah dan berputus asa?

Saudaraku,

Kata kunci terakhir ialah yakin dengan ketentuan dan bantuan Allah s.w.t. Allah adalah sebaik-baik penentu. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Tugas kita adalah berusaha dan memperbaiki kekurangan diri. Dengan usaha dan keyakinan terhadap ketentuan Allah s.w.t., kita akan lebih tenang mengharungi dugaan kehidupan. Allah berfirman:

Yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Barangsiapa beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk buat hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu.” (Surah al-Taghabun, ayat 11).

Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah ini, memupuk keyakinan kepada Allah s.w.t. dan sentiasa berserah diri kepada-Nya.

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang membolak-balikkan hati, maka tetapkanlah iman dalam hati kami. Ya Hadi, Ya Rashid, tunjukkanlah kami jalan untuk terus berada di atas agama-Mu. Ya Qawiy, Ya Mateen, berikanlah kami kekuatan dalam menghadapi cabaran. Ya Hakim, Ya Wadud, kurniakan kami kebijaksanaan untuk hidup dengan ketenangan dan penuh kasih sayang antara sesama makhluk ciptaan-Mu. Dengan rendah hati dan penuh sesalan kami mengemis maghfirah-Mu, ampunilah dosa-dosa kami yang umpama buih di lautan, dan janganlah Kau jadikannya penyebab terhijabnya doa-doa kami, wahai tuhan yang mendengar rintihan hamba-Nya yang lemah lagi alpa.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم.

 

KHUTBAH KEDUA

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَم وَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْف. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.