collections khutbah Keseimbangan Dalam Kehidupan
Keseimbangan Dalam Kehidupan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

22 Disember 2023 / 9 Jamadil Akhir 1445H


Keseimbangan Dalam Kehidupan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-hamba yang diredhai-Nya. Amin.

Saudara dan saudari yang dihormati,

Islam sangat menitik beratkan kepada umatnya untuk mempelajari dan memperdalami ilmu pengetahuan. Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah ilmu yang bermanfaat serta ilmu yang mendorong manusia untuk membuat sumbangan bagi kebaikan serta kemaslahatan masyarakat umum.  

Dengan ilmu yang tersemat di dalam dada, ia seharusnya mendidik hati dan jiwa manusia untuk memiliki pandangan yang lebih baik di dalam menilai sesuatu perkara dan di dalam membuat keputusan. Ini adalah kerana ilmu pengetahuan membuka ufuk pemikiran seseorang sehingga dia dapat membezakan antara perkara yang baik dan yang sebaliknya. Bahkan ilmu pengetahuan yang mendalam mampu memperkasa seseorang untuk menilai di antara dua kebaikan, yang manakah lebih besar manfaatnya untuk kehidupan individu dan masyarakat. Ini dikenali sebagai keseimbangan.

Allah (s.w.t.) telah memberikan panduan perihal keseimbangan menerusi firman-Nya di dalam Surah al-Qasas ayat 77 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) di akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia, dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.

Ayat yang baru dibacakan tadi mengisyaratkan bahawa Mukmin yang bijak perlu tahu meletakkan sesuatu di tempat dan masa yang sesuai dengannya. Ini termasuk mencernakan keseimbangan ketika membuat keputusan dalam urusan harian sebagai seorang ayah, ibu, datuk, nenek, anak, cucu, pelajar, pekerja dan sebagainya. Bahkan kita perlu lebih memerhatikan prinsip keseimbangan ini di dalam beragama agar perwatakan dan kelakuan kita tidak menimbulkan salah faham mengenai agama Allah (s.w.t.) yang suci ini. 

Kitab Sahih al-Bukhari mencatatkan bahawa pada suatu hari terdapat seorang sahabat Nabi (s.a.w.) yang meninggalkan solat berjemaah kerana merasa terbeban dengan bacaan panjang yang dipimpin oleh salah seorang daripada mereka. Dengan perasaan bimbang, sahabat tersebut pun mengadukan perkara  itu kepada Rasulullah (s.a.w.) dan bertanya samada tindakannya meninggalkan solat berjemaah boleh menyebabkannya tergolong dalam kalangan orang Munafik. Lalu Rasulullah (s.a.w.) bertemu dengan sahabat yang memimpin solat tersebut, dan mengingatkannya agar meringankan atau memendekkan solat yang dipimpinnya. Ini kerana pastinya terdapat di kalangan makmumnya golongan yang lemah dan lanjut usianya. Namun, beliau diharuskan untuk memanjangkan solatnya sekiranya bersolat bersendirian.

Para jemaah sekalian,

Sebagai seorang Muslim, setentunya kita ingin menjadi sebaik-baik hamba yang mengabdikan diri kepada Allah (s.w.t.). Kita berusaha untuk mendalami ilmu agama agar dapat menunaikan tanggungjawab tersebut dengan lebih baik. Kita berusaha melaksanakan bukan sahaja ibadah yang wajib, tetapi juga segala bentuk amalan yang dianjurkan oleh agama sebaik mungkin.

Namun, dalam usaha kita  untuk mencapai ketakwaan kepada Allah (s.w.t.), kita perlu bersifat adil pada diri kita dan mereka yang berada disekeliling kita. Amalan yang berlebihan atau yang tidak sesuai dengan keadaan atau situasi seseorang itu adalah sesuatu yang perlu dielakkan. Ini kerana Islam lebih mendahulukan kemudahan, dan tindakan kita tidak seharusnya menimbulkan kesukaran atau mungkin juga kemudaratan buat diri atau orang lain, kerana kurang pemahaman ilmu agama.  

Ingatlah akan pesanan Rasulullah (s.a.w.) kepada seorang sahabatnya yang terus menerus berpuasa dan bersolat malam. Baginda bersabda: “Wahai Abdullah, benarkah aku diberitahu bahawa kamu berpuasa pada siang hari dan mendirikan solat pada malamnya.” Abdullah menjawab: “Benar, wahai Rasulullah.” Baginda lalu bersabda:

فَلَا تَفْعَلْ، صُمْ وأَفْطِرْ، قُمْ وَنَمْ، فَإنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وإنَّ لِعَيْنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وإنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا

Yang bermaksud: “Maka janganlah kamu lakukan demikian, tetapi puasa dan berbukalah, solat dan tidurlah, sesungguhnya tubumu mempunyai hak ke atasmu, dan matamu mempunyai hak ke atasmu, dan isterimu mempunyai hak ke atasmu.” (Hadis Muttafaq ‘alaih).

Saudara-saudari yang dikasihi,

Terdapat dua pengajaran yang boleh diambil dari hadis yang baru dibacakan sebentar tadi. 

Yang pertama, Nabi (s.a.w.) mengajar kita agar bersederhana dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Janganlah kita terlalu sibuk dengan urusan dunia hingga urusan ukhrawi dilupakan. Kita juga tidak seharusnya hanya fokus pada ibadah ritual semata-mata sehingga urusan, hak serta tanggungjawab duniawi kita terabai.

Yang kedua, seorang Muslim yang bijak akan mengimbangi antara tuntutan agama dan kehidupan duniawinya.  Dalam hal ini, Allah (s.w.t.) telah mengajarkan kita sebuah doa yang boleh kita amalkan bacaan dan hayati maknanya. Firman Allah (s.w.t.) di dalam al-Quran al-Karim yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka." (Surah Al-Baqarah, ayat 201).

Saudara dan saudari,

Marilah bersama kita berusaha untuk menghidupkan prinsip kesederhanaan dan keseimbangan dalam kehidupan. Mudah-mudahan dengan ilmu yang sahih lagi diberkati, kita dapat mengimbangi kewajipan agama dan kehidupan kita dengan sebaiknya. Semoga Allah (s.w.t.) memberkati segala usaha dan amalan kita, serta mengurniakan kesejahteraan dan kebahagiaan buat kita dalam kehidupan di dunia ini dan di akhirat nanti. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.