collections khutbah Keindahan Ajaran Islam
Keindahan Ajaran Islam

A white silhouette of a building

Description automatically generated 

Majlis Ugama Islam Singapura 

Khutbah Jumaat 

5 Januari 2024 / 23 Jamadil Akhir 1445H 


Keindahan Ajaran Islam

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita mengukuhkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.),dengan mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat nanti. Amin.

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,

Segala puji bagi Allah (s.w.t.) atas limpahan nikmat serta kurniaan-Nya, kita telah dipanjangkan usia dan berada pada tahun baru 2024. Kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah (s.w.t.) di atas nikmat keimanan dan kehidupan yang telah dianugerahkan kepada kita sepanjang tahun-tahun lalu. 

Sebagai seorang yang beriman, kita perlu terus berusaha untuk memelihara kenikmatan iman dan Islam ini dengan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Malahan, wahyu pertama yang diturunkan kepada Baginda (s.a.w.), seperti yang kita sedia maklum merupakan perintah Allah (s.w.t.) untuk kita membaca bagi memperoleh ilmu pengetahuan. Allah (s.w.t.) berfirman:

Yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad (s.a.w.)) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). (Surah al-Alaq, ayat 1).

Imam Ibn Kathir di dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa, Allah (s.w.t.) telah mencurahkan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada manusia dengan penurunan wahyu pertama bermula dari ayat 1 hingga 5, surah al-’Alaq ini.

Yang demikian, ilmu adalah induk dalam memahami rahmat Allah yang tercerna menerusi Islam. Dengan ilmu, kita dapat mengenali Allah (s.w.t.) dan rasul-rasul-Nya. Ilmu jugalah yang akan mencorak keperibadian kita dengan akhlak yang mulia. Hanya dengan ilmu kita dapat memahami dan mengamalkan hukum-hakam agama dengan lebih baik.

Para jemaah yang dirahmati Allah (s.w.t.),

Al-Qur’an dan Sunnah baginda (s.a.w.) adalah panduan kita. Ia adalah warisan baginda (s.a.w.) bagi umat manusia sejagat. Antara contoh panduan tersebut adalah anjuran agar kita melihat serta menghayati ciptaan Allah (s.w.t.). Kita merenung keajaiban terbit serta terbenamnya matahari dan bulan, tegaknya berdiri gunung-ganang, hatta tumbuh dan gugurnya dedaunan hijau. Kesemuanya itu menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah (s.w.t.) bagi mengukuhkan keimanan kita. Kesemua ini terhasil dengan panduan ilmu yang sahih dan bermanfaat.

Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah (s.a.w.) turut berpesan tentang kesudahan setiap tindakan kita. Kebaikan akan dibalas dengan kebaikan serta pahala daripada Allah (s.w.t.), begitu juga sebaliknya. Ia turut mengingatkan kita untuk sentiasa mengejar kebaikan dan menjauhi keburukan di dalam setiap amalan, tingkah laku dan keperibadian kita. Sekali lagi, hanya ilmu pengetahuan yang boleh mendorong kita ke arah tersebut.

Saudara dan Saudari,

Seorang mukmin sejati akan turut menghiasi keimanannya dengan keindahan akhlak. Iman dan akhlak adalah dua nilai yang saling berkait rapat antara satu sama lain, dan tidak dapat dipisahkan. Akhlak kita merupakan cerminan keimanan kita. Marilah kita menzahirkan keperibadian mukmin kita dengan akhlak yang mulia. Janganlah kita mencemari kemuliaan diri serta maruah agama dengan sikap yang kurang baik. Ingatlah pesanan Rasulullah (s.a.w.) dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Tirmizi: 

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

Yang bermaksud: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.

Ayuh, kita bersama berusaha meraih keredaan Allah (s.w.t.). Kita jadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan esok pula lebih baik daripada hari ini. Kita membina keyakinan, memupuk kebijaksanaan dan menyebarkan keamanan. 

Kita tanamkan azam tahun baru ini untuk mendalami dan memahami ilmu agama dengan lebih baik. Di masa yang sama kita bertafakur menilai amalan tahun 2023. Adakah kita telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang mukmin dengan sebaiknya? Adakah kita berlaku adil di dalam setiap pergaulan dan tingkah laku kita? Apakah rancangan kita untuk memperbaiki diri pada tahun baru ini? 

Saudara dan Saudari,

Dalam usaha untuk memperbaiki diri dan mempertingkatkan kefahaman kita terhadap ilmu agama, manfaatkan peluang untuk menghadiri kursus atau program yang ditawarkan oleh masjid-masjid atau pusat-pusat pengajian Islam yang berdaftar. 

Lindungi diri dan keluarga kita daripada mengikuti aktiviti-aktiviti yang mendakwa ajarannya sahaja yang benar dengan menjanjikan kita syurga. Kita juga perlu menghindari diri dan keluarga kita daripada sebarang ajaran berdasarkan ilham semata-mata atau melalui ilmu hakikat dan makrifat yang diselewengkan daripada ajaran Islam sebenar.  

Kefahaman-kefahaman seperti ini sebenarnya menjurus ke arah ajaran agama yang bersifat eksklusif sehingga berlaku penyelewengan dan kesesatan dalam beragama. Oleh kerana itu, mimbar sekali lagi mengingatkan akan kepentingan mempelajari ilmu agama daripada sumber yang sahih. Perlu diselidiki kewibawaan pendidikan guru agama yang berkenaan. Sebagai cerminan, seorang ulama tersohor Abdullah ibn Mubarak pernah berkata dalam membicarakan ilmu periwayatan hadis: “sesungguhnya mempelajari isnad (menyelidiki latar belakang perawi) adalah sebahagian dari tuntutan agama. Tanpa isnad, nescaya sesiapa saja boleh berkata (meriwayatkan hadis nabi) mengikut kemahuannya.”    

Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan hamba-hamba-Nya yang diredai-Nya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ. 

 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِين. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.  

 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.