collections khutbah Kebebasan Bersuara dan Tanggungjawabnya
Kebebasan Bersuara dan Tanggungjawabnya

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

23 Disember 2022 / 28 Jamadilawal 1444H

Kebebasan Bersuara dan Tanggungjawabnya

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.

Saudara dan saudari,

Allah (s.w.t) telah menciptakan dan memuliakan manusia. Tuntasnya, kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah (s.w.t) ini adalah lantaran akal fikiran yang diberikan. Agar manusia dapat berfikir sebelum melakukan atau membicarakan sesuatu perkara.  Sememangnya anugerah akal yang Allah berikan kepada kita semestinya digunakan untuk memberi pengertian dalam kehidupan.

  
Marilah kita renungkan firman Allah (s.w.t) dalam Surah al-Isra’ yang menegaskan tanggungjawab yang perlu kita dipelihara. Allah (s.w.t) befirman:

Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan dipersoalkan. [Al-Isra’:36]

Saudara dan saudari sekalian,

Jika kita renung ayat tersebut, Allah (s.w.t.) melarang hambanya untuk mengikuti sesuatu tanpa ilmu. Kerana segala yang kita dengar, serta apa yang kita ucapkan, hendaklah berdasarkan ilmu pengetahuan dan bukan andaian dan hawa nafsu. Dikhuatiri jika kita mengucapkan sesuatu tanpa ilmu ataupun mengucapkan sesuatu yang tiada kemanfaatan, ia menjadi sebab bagi seseorang itu mendapat kemurkaan Allah (s.w.t). Apatah lagi sekiranya terdapat kemudaratan disebalik perkataan yang diluahkan seperti mengumpat, menyebarkan berita palsu ataupun mengucapkan kata kesat terhadap sesama manusia.

Dengarkanlah nasihat Baginda (s.a.w.) terhadap seorang sahabat yang bernama Mu’az ibn Jabal. Baginda (s.a.w) bersabda:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِمِلاَكِ ذَلِكَ كُلِّهِ ‏.‏ قُلْتُ بَلَى ‏.‏ فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ فَقَالَ ‏"‏ تَكُفُّ عَلَيْكَ هَذَا ‏"‏ ‏.‏ قُلْتُ يَا نَبِيَّ اللَّهِ وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ قَالَ ‏"‏ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا مُعَاذُ وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ عَلَى وُجُوهِهِمْ فِي النَّارِ إِلاَّ حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ

Nabi (s.a.w) bersabda: “Mahukah aku beritahu tentang sesuatu yang boleh menguatkan semua itu? (yakni amalan dan pintu kebaikan serta puncak tertinggi agama)” Muaz menjawab: ‘Tentu, wahai Nabi Allah.’ Maka baginda (s.a.w) memegang lidahnya dan bersabda: “Tahanlah ini” Aku bertanya: “Wahai Nabi Allah, adakah kita akan diseksa disebabkan apa yang kita ucapkan?” Baginda (s.a.w) bersabda: “Wahai Mu’az, tidakkah manusia itu dilemparkan ke dalam neraka melainkan disebabkan hasil dari apa yang mereka peroleh dari lisan-lisan mereka?” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)

Oleh itu, kita sewajarnya berhati-hati sebelum mengucapkan sesuatu perkara, kerana kesannya amat besar.

Saudara dan saudari,

Dalam dunia tanpa sepadan hari ini, dengan perkembangan teknologi komunikasi, kita telah didedahkan dengan begitu banyak wadah dan saluran yang menjadi tempat untuk menyuarakan pendapat dan memberikan pandangan. Kita dapat melihat ramai orang yang menampilkan diri dan memasuki gelanggang dengan penuh kebebasan untuk menyatakan perasaan, fikiran dan pandangan tentang segala-galanya yang terjadi dalam masyarakat dan dunia tanpa rasa ragu-ragu.

Islam mengakui hak kebebasan bersuara. Tetapi ia perlu dilakukan dengan cara yang adil lagi berhikmah dan mencapai kebaikan bersama.

Hakikatnya, kebebasan bersuara dalam Islam itu bukanlah kebebasan dengan menurut hawa nafsu semata-mata. Bukan juga kebebasan dari sebarang kesan atau pertanggungjawapan rentetan dari apa yang kita lakukan. Akan tetapi kebebasan itu ialah kebebasan dari terjerumus dalam perangkap dunia dari pelbagai unsur fitnah dan kerosakannya.  

Berfikirlah sebelum berkata-kata atau berkongsikan sesuatu kerana kita akan disoal oleh Allah, adakah apa yang disebarkan itu memberi kita catatan kebaikan? Ataupun sebaliknya menjatuhkan dan memecahkan sehingga mendapat kemurkaan-Nya. Semoga kita tergolong dari kalangan mereka yang diberikan Allah hikmah dalam perkataan dan perbuatan kita. Ameen.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.