Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
23 Ogos 2024 / 18 Safar 1446H
Islam dan Kesejahteraan Awam
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Takwa yang mampu membentuk peribadi Muslim Mukmin menjadi sumber keamanan dan ketenangan kepada semua. Semoga ciri-ciri ini menjadi penyebab kita sentiasa berada dalam naungan Allah s.w.t., dan dapat meraih keredaan-Nya. Amin.
Saudaraku yang dikasihi,
Khutbah minggu ini akan memberi penekanan peri pentingnya kita, sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w., menjadi sumber keamanan dan ketenangan, bagi alam sejagat.
Saudaraku, seringkali kita dengar, keamanan merupakan satu prinsip utama di dalam Islam. Kenapa demikian? Kerana perkataan ‘Islam’ itu sendiri berasal daripada kata dasar ‘Salam’ iaitu sejahtera. Salah satu nama Allah yang patut kita tahu dan hayati adalah As-Salam, iaitu Maha Selamat dan Maha Memberi Keselamatan. Manakala salah satu taman syurga yang telah diciptakan oleh Allah bagi hamba-hamba-Nya yang beriman juga dinamakan Darussalam, yang bererti tempat keamanan. Malah, di dalam syurga nanti, apakah ucapan yang Allah berikan kepada para ahli syurga? Jawapannya ialah ucapan ‘Salam’ seperti yang terakam di dalam Surah Yasin, ayat 58:
Yang bermaksud: “(Mereka juga beroleh) ‘Salam’, sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang.”
Ma’asyiral Muslimin wa Zumratal Mukminin Rahimakumullah,
Rasulullah s.a.w. mengetahui keutamaan prinsip keamanan dalam mengurus kehidupan masyarakat. Contohnya, ketika baginda s.a.w. telah bermastautin di Madinah, baginda berpesan kepada masyarakat Islam agar menyebarkan salam bagi memelihara keamanan, meleraikan perselisihan, dan memakmurkan kehidupan. Dengarkan pesanan baginda nabi s.a.w. kepada para sahabatnya yang bermaksud: “Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan kamu tidak akan benar-benar merasakan keimanan kecuali setelah kamu berkasih sayang sesama sendiri. Inginkah kamu aku tunjukkan sesuatu perkara yang mana jika kamu mengamalkannya pasti kamu akan berasa kasih dan sayang di antara kamu? Sebarkanlah salam di antara kamu.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Agama seharusnya membentuk kita menjadi seseorang yang berperwatakan mulia, yang baik pertuturan, dan senang apabila berurusan. Ia menolak kebiadaban, kekasaran dan kekerasan, apatah lagi menggugat keamanan dan menyebabkan kemusnahan. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. ketika menyampaikan khutbah haji wada’:
اَلْمُسْلِمُ مَن سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِن لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Yang bermaksud: “Seorang Muslim itu adalah orang yang membuat orang lain berasa selamat daripada kejahatan lidah dan tangannya.” (Hadis riwayat Ibn Hibban).
Dalam menyampaikan dakwah, Rasulullah s.a.w. menghadapi ancaman musuh luaran dan juga dalaman. Namun, cabaran itu langsung tidak menjadikan baginda s.a.w. berubah menjadi seseorang yang suka bermusuhan, berkelakuan kasar, dan menyebabkan kerosakan.
Sebaliknya, Rasulullah s.a.w. dikenali sebagai seorang yang sentiasa kelihatan tersenyum. Baginda menjadi sumber ketenangan dan keamanan bagi anggota keluarga dan masyarakatnya di kala susah mahupun senang. Dengan kepimpinan dan kebijaksanaan baginda, Rasulullah s.a.w. berjaya mendidik dan memperbaiki keadaan umat Islam, daripada sebuah masyarakat yang tertindas, menjadi masyarakat contoh yang berkeyakinan dan memperjuangkan keamanan.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Pada hari ini, ada golongan yang berpandangan bahawa Islam adalah agama yang mengharuskan keganasan, sehingga hilang keamanan dan ketenteraman awam.
Contohnya, beberapa minggu lepas dunia menyaksikan bagaimana saudara Islam kita di Eropah khususnya di Britain menjadi sasaran ancaman keselamatan daripada masyarakat tempatan. Ini berpunca daripada berita palsu yang menyalakan api kebencian, dan menyebarkan persepsi buruk terhadap Islam. Hakikatnya, pihak yang menyebarkan berita palsu itu sendiri yang telah menyebabkan kerosakan dan kemusnahan.
Apakah iktibar yang terhasil daripada pergolakan ini? Saudara Islam kita di sana tidak membalas kebencian dengan permusuhan, atau membalas kejahatan dengan kejahatan. Sebaliknya, kita lihat hikmah dan kesabaran mereka, yang tua menasihati yang muda, disertai peringatan bahawa agama Islam tidak pernah mengajar penganutnya menjadi penyebab kerosakan. Dengan kesedaran dan kematangan seperti ini, mereka berjaya menghidupkan tuntutan Islam untuk menyebarkan keamanan, sekaligus menjadi contoh tauladan untuk umat Islam di serata dunia.
Imam Al-Mawardi, seorang ulama tersohor bermazhab Shafi’ie, dan penulis kitab al-Ahkam as-Sultoniyah (perundangan kenegaraan), dan pernah menjawat jawatan duta diplomasi pada era empayar Abbasiyyah menjelaskan bahawa, terdapat enam perkara yang menjadikan dunia ini teratur dan stabil, iaitu: Agama yang diikuti, pemimpin yang berkuasa, keadilan yang menyeluruh, keamanan dan kesejahteraan awam, kemakmuran yang berterusan, dan harapan yang tidak terbatas.
Para jemaah yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah sama-sama kita menundukkan hati dan menadahkan tangan, memohon segala kebaikan daripada Allah s.w.t.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, pandanglah kami dengan pandangan Rahmah-Mu. Ya Latif, Ya Khabir, Engkau tahu setiap keadaan dan kesusahan kami. Jauhkanlah kami daripada anasir-anasir yang mengundang keganasan. Ya Salam, Ya Mukmin, kurniakanlah kami keamanan di dunia dan kesejahteraan di akhirat nanti. Ya Raqib, Ya Mujib, bimbinglah kami dalam setiap langkah. Perkenankanlah kebaikan dan keamanan buat diri kami, keluarga kami, dan sekalian umat manusia. Amin ya Rabbal Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
KHUTBAH KEDUA
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.