collections khutbah Fatwa: Cerminan Dinamik Hukum dan Konteks
Fatwa: Cerminan Dinamik Hukum dan Konteks

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

16 Februari 2024 / 1445H

Fatwa: Cerminan Dinamik Hukum dan Konteks

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin ya Rabbal ‘Alamin!

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Pernah satu ketika, seorang sahabat datang kepada nabi (s.a.w.) sambil bertanya mengenai amalan yang paling utama, lalu baginda (s.a.w.)  menjawab,

‏إِيمَانٌ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ

Yang bermaksud: “Beriman kepada Allah dan rasulNya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Pada ketika yang lain, seorang lagi sahabat mengajukan soalan yang sama akan tetapi baginda nabi (s.a.w.) menjawab: “Amalan yang utama  ialah mendirikan solat pada waktunya dan berbakti kepada kedua  orang tua.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Para jemaah yang dirahmati Allah, 

Pendekatan Rasulullah s.a.w. yang cermat dalam memberikan jawapan ini mengajar kita satu prinsip utama ketika berkongsi panduan agama. Setiap jawapan atau pun respon mesti mengambil kira realiti dan keadaan unik si penanya.

Prinsip ini dapat difahami dari penurunan ayat-ayat suci al-Quran kepada Nabi Muhammad (s.a.w.) yang menjawab persoalan-persoalan yang timbul pada masa dan tempat yang berbeza. Kerana itu, di dalam ilmu Ulumul Quran ada perbahasan yang khusus mengenai ayat-ayat yang diturunkan sebelum atau sesudah penghijrahan baginda ke Madinah. 

Sehubungan dengan itu, di antara peranan wahyu ialah untuk menyelesaikan masalah masyarakat yang menerima wahyu pada ketika itu, dengan bahasa yang difahami oleh masyarakat tersebut. Firman Allah (s.w.t.) di dalam Surah Ibrahim ayat 4 yang berbunyi:

 

Maksudnya: Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

Saudara dan saudari,

Realiti dan konteks si penanya mempengaruhi pencernaan fatwa. Ini selari dengan kaedah fikah yang berbunyi:

اَلْحُكْمُ عَلى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Yang bermaksud: “Penentuan hukum atas suatu perkara bergantung kepada gambaran yang tepat mengenainya.”

Imam Ibn al-Qayyim pernah berpesan dalam kitabnya I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin bahawa seorang mufti tidak akan dapat mengeluarkan fatwa yang tepat melainkan dengan menguasai dua jenis kefahaman. Yang pertama adalah memahami realiti dan hakikat sesuatu perkara. Dan yang kedua adalah memahami hukum mengenai perkara yang ditanyakan.

Bahkan Imam al-Qarafi, seorang ulama kurun ke-13 pernah berpesan kepada para mufti untuk memerhatikan terlebih dahulu keadaan dan konteks penanya sebelum memberikan pendapat. Pesannya: “Dan janganlah engkau bersikap jumud dengan penulisan-penulisan yang sedia ada sepanjang hidupmu. Bahkan ketika datang kepadamu seseorang yang bukan dari negerimu bertanya kepadamu mengenai urusan agama, janganlah engkau menjawabnya berdasarkan ‘uruf (kebiasaan) negerimu, dan tanyalah dia mengenai ‘uruf negerinya, dan berikanlah pandangan yang bersesuaian dengan ‘uruf negerinya. Itulah dia kebenaran yang jelas, dan bersikap jumud dengan hanya menukil pendapat-pendapat yang telah termaktub adalah kesesatan dalam urusan agama dan kejahilan dengan maqasid para ulama Muslimin dan para Salaf yang terdahulu.”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), perkembangan teknologi dalam lapangan pemakanan, perubatan, dan sistem kewangan sedang membentuk banyak persoalan baru yang mengundang respons keagamaan yang cermat lagi bersesuaian. Dalam usaha memahami dan memberikan pandangan agama mengenai isu-isu yang tercetus dalam konteks perkembangan terkini, institusi fatwa samada di peringkat tempatan atau global, bertanggungjawab mengkaji dan meneliti nas dan prinsip agama dengan melepasi sempadan lensa ilmu fikah tradisional. Ini bermakna ia memerlukan konsultasi berterusan dengan golongan pakar dalam bidang tertertu.

Contohnya, Jawatankuasa Fatwa Singapura sering menyaksikan secara langsung proses dan perkembangan sains dan teknologi yang dibincangkan hari ini, untuk memperoleh gambaran yang lebih jelas, tepat dan menyeluruh terhadap persoalan yang diutarakan. Pendekatan ini dapat mengurangkan risiko kesilapan dalam panduan agama yang bakal diputuskan, sekaligus menolak kemungkinan terhasilnya fatwa yang berpandukan gambaran yang tidak tepat.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Khutbah hari ini telah menggariskan beberapa prinsip yang perlu diperhatikan di dalam penggubalan fatwa.

Pertama: Fatwa dan panduan agama tidak terbatas kepada tukilan ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi s.a.w. serta pendapat para ulama silam sahaja. Fatwa wujud kerana permasalahan baru maka selayaknya juga meneliti dan mungkin juga menukil pandangan ulama dan pakar hari ini.

Kedua: Fatwa perlu meraikan keadaan dan realiti kehidupan. Kegagalan memahami konteks hanya melahirkan fatwa dan panduan agama yang menyimpang daripada kebenaran dan tidak memberikan jalan keluar yang didambakan.

Ketiga: Fatwa yang baik dan berkesan perlu menggabungkan pandangan pakar yang mahir dalam bidang-bidang yang bersangkutan dengan perkara yang dibahaskan.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita ilmu yang bermanfaat, memelihara kita daripada kesesatan serta membimbing setiap langkah kita ke jalan yang diredhaiNya. Amin ya Rabbal ‘Alamin!

 

 

KHUTBAH KEDUA 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ. 

 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.  

 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.