collections khutbah Cerminan Sunnah Ketika Berlaku Kerencaman Pandangan
Cerminan Sunnah Ketika Berlaku Kerencaman Pandangan

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

13 September 2024 / 9 Rabiul Awal 1446H

Cerminan Sunnah Ketika Berlaku Kerencaman Pandangan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakan perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya, sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. Seringlah juga menelaah sirah nabi s.a.w. sebagai bahan bacaan kita.  Contohilah akhlak baginda s.a.w. ketika berdepan dengan kerencaman pandangan. Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita inspirasi untuk manusia tertarik pada keindahan Islam. Amin.

Saudaraku yang dikasihi,

Pada hari yang penuh barakah ini, marilah kita menghayati sepotong ayat al-Quran yang menggambarkan keperibadian baginda nabi s.a.w. yang begitu sayangkan kita, umat yang baginda sendiri tidak pernah bersua muka:

Yang bermaksud: “Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kalangan kamu sendiri, berat terasa olehnya akan penderitaanmu, sangat mengambil berat mengenaimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang yang beriman.” (Surah At-Taubah, ayat 128).

Saudaraku,

Khutbah hari ini ingin berkongsi secara ringkas panduan sunnah ketika berhadapan dengan kerencaman pandangan, terutama dalam perspektif beragama.

Risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. begitu indah dan mudah. Sirah Rasulullah s.a.w. pula menjadi panduan melayari kehidupan seharian, seperti ketika baginda s.a.w. berhadapan dengan kerencaman dan perbezaan pandangan. Sunnah baginda s.a.w. tidak mengajar kita untuk berlaku kasar kepada mereka yang tidak sependapat dengan kita, khususnya dalam perkara yang diperselisihkan hukumnya, seperti perbezaan penentuan masuk waktu solat asar antara mazhab Shafi’i dan Hanafi. Begitu juga dalam perkara ijtihadi (berdasarkan ijtihad) seperti keharusan mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk wang tunai. Ini kerana di sana terdapat fleksibiliti yang membolehkan untuk menerima dan menghormati pandangan yang berbeza, selagi mana ia berada di dalam kerangka yang dibolehkan syarak.

Saudaraku,

Apabila kita menyelusuri sirah Rasulullah s.a.w., kita akan mendapati beberapa panduan dalam menangani perbezaan pandangan:

Pertama: Berlapang dada ketika berlaku perbezaan pandangan, terutama permasalahan dalam lingkungan khilafiyah (ulama berselisih pandangan mengenai hukumnya) yang diterima syarak.

Contohnya, selepas berjaya mempertahankan kota Madinah pada peperangan al-Ahzab, Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat supaya tidak melakukan solat asar sehinggalah mereka tiba di perkampungan Bani Quraizah. Namun, para sahabat berbeza pandangan dalam memahami arahan tersebut. Ada yang melakukan solat asar pada waktunya, walaupun belum sampai ke destinasi. Ada pula sahabat yang menunaikan solat asar setibanya di perkampungan tersebut, walaupun waktu solat asar telah selesai.

Hal ini diajukan kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w. tidak menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya, baginda s.a.w. menerima kedua-dua pandangan. Peristiwa ini menjadi sandaran dan garis pandu para sahabat, tabi’in dan ulama terkemudian dalam menangani pemahaman yang berbeza. Dalam konteks hari ini, pendekatan ini menjadi asas dalam menangani permasalahan baru yang tiada kesepakatan (ijmak) padanya.

Kedua: Menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika berhadapan dengan perbezaan pendapat. Semasa pemerintahan khalifah Abu Bakar r.a., timbul keprihatinan kehilangan ayat-ayat al-Quran kerana ramai para penghafal Quran gugur di medan peperangan. Lalu, Sayyidina Umar Al-Khattab r.a. bertemu dan menyarankan kepada Sayyidina Abu Bakar r.a. agar dapat dikumpulkan dan disusun ayat-ayat al-Quran dalam satu mushaf.

Sayyidina Abu Bakar r.a. pada awalnya sangat keberatan untuk menerima pandangan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Hal ini dibawa berbincang dengan seorang lagi sahabat Rasulullah, iaitu Zaid bin Thabit r.a. Akhirnya, perbezaan pandangan tersebut berjaya diselesaikan setelah mengambil kira keperluan semasa.

Inilah sunnah baginda s.a.w. dan akhlak para sahabat yang perlu kita contohi ketika berhadapan dengan kerencaman pandangan. Berikanlah peluang untuk mendengar pandangan yang mungkin terbina dari perspektif yang berbeza. Pertimbangkanlah ia atau setidak-tidaknya, menghormati kepelbagaian yang masih berada dalam linkungan syarak.

Para jemaah yang dihormati,

Semoga dengan perkongsian ringkas ini, ia dapat menanamkan rasa cinta kita pada Rasulullah s.a.w., dan mengamalkan sunnahnya dalam kehidupan harian kita.

Bersempena dengan bulan Maulidurrasul, mimbar menghimbau hubungan nabi Muhammad s.a.w. dengan kitab suci al-Quran. Maka dengan itu, saya  mengakhiri khutbah pada hari ini dengan sepotong hadis riwayat Imam Ahmad untuk renungan kita bersama. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Akan dikatakan kepada para pembaca al-Quran (di hari akhirat kelak): ‘Bacalah al-Quran dan terus mendaki (ke tingkatan-tingkatan syurga), dan perindahkanlah bacaanmu sebagaimana kamu memperindah bacaanmu ketika hidup di dunia. Sesungguhnya kedudukanmu (di akhirat) adalah berdasarkan ayat terakhir yang kamu baca.’”

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.