collections khutbah Cerminan Sunnah Dalam Mencapai Kecemerlangan
Cerminan Sunnah Dalam Mencapai Kecemerlangan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat 

20 September 2024 / 16 Rabiul Awal 1446H

Cerminan Sunnah Dalam Mencapai Kecemerlangan

Wahai saudaraku yang beriman,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Pertingkatkan ilmu kita dan sempurnakan amalan kita. Jadikan sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai pegangan hidup kita dalam mencapai kehidupan yang cemerlang. Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita dikalangan hamba-hambanya yang berjaya di dunia dan di akhirat. Amin. 

Saudaraku yang dikasihi,

Khutbah hari akan memberikan tumpuan pada sunnah Rasulullah s.a.w. dalam mencapai kecemerlangan, di dunia dan akhirat. Dan sebelum itu, mimbar sekali lagi ingin membacakan firman Allah dalam surah At-Taubah, ayat 128:


Yang bermaksud: “Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kalangan kamu sendiri, berat terasa olehnya akan penderitaanmu, sangat mengambil berat mengenaimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang yang beriman.

Rasulullah s.a.w. menunjukkan rasa prihatinnya kepada kita, umat akhir zaman, umat yang baginda s.a.w. sendiri tidak pernah bersua muka, menerusi pelbagai panduan hidup. Antara warisan yang baginda s.a.w. tinggalkan ialah, panduan mengejar kecemerlangan (excellence) dalam apa jua yang kita lakukan, sama ada dalam pekerjaan, dalam alam persekolahan, dan dalam urusan harian kita bersama keluarga serta mereka di sekeliling kita.

Saudaraku,

Kitab-kitab Syama’il Muhammadiyah meriwayatkan bahawa apabila nabi s.a.w. berbicara, baginda akan memberikan sepenuh perhatian dan memusingkan badannya ke arah pendengar. Apabila berucap, baginda bercakap dengan jelas, sepatah demi sepatah, malah mengulangi jika perlu, agar mereka yang sedang mendengar mudah mengingati ucapannya. Inilah kecemerlangan baginda s.a.w. dalam seni berkomunikasi. 

Para jemaah yang dirahmati Allah,

Izinkan khatib mengutarakan dua saranan untuk dipertimbangkan:

Pertama: Menilai dan memperbaiki mutu kehidupan. Ambil langkah praktikal dengan membuat penilaian harian: bagaimana kita boleh memperbaiki ibadah hari ini? Atau bagaimana kita boleh bekerja dengan lebih berkesan esok? Bagi golongan pelajar, bagaimana anda boleh membuat persiapan peperiksaan yang bakal tiba dengan lebih berkesan kali ini? 

Cuba tetapkan satu matlamat kecil yang boleh dicapai setiap hari, sama ada dalam ibadah, pekerjaan, persekolahan atau hubungan sesama manusia. Ini seiring dengan ajaran Islam yang menekankan penambahbaikan diri secara berterusan. Mulakan tabiat baik yang mudah untuk kita lakukan, seperti menambah bacaan Al-Quran setiap hari, atau sering berdoa meminta bantuan Allah di luar waktu solat,  atau mungkin menjaga kesihatan diri secara aktif dan konsisten agar hidup terjauh daripada penyakit. 

Kedua: Mengiktiraf dan memperbaiki kelemahan kita. Menerima kekurangan dan kesilapan adalah antara langkah positif menuju kecemerlangan. Apabila kita tersilap, segeralah bertaubat dan perbaiki diri. Praktikkan sikap menerima teguran yang membina dengan hati terbuka. Contohnya, jika kita kurang sabar dalam perbualan bersama orang lain, berusahalah memperbaikinya dengan mendengar terlebih dahulu sebelum memberikan respon. Gugurkanlah keegoan, terimalah kesilapan, dan berusahalah untuk memperbaiki kelemahan. Apabila kita telah lebih bersedia, mintalah keluarga atau rakan-rakan untuk memberikan maklum balas tentang sikap atau tindakan kita, agar kita dapat melihat ruang penambahbaikan.

Dalam hal ini, mari kita hayati hadis nabi s.a.w. yang berbunyi:

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Yang bermaksud: “Setiap anak Adam pasti melakukan kesilapan. Dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat.” (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi). 

Para jemaah yang dihormati,

Marilah kita berlumba-lumba menzahirkan kecemerlangan kita dalam hubungan bersama Allah dan juga sesama manusia. Dan pada hari ini, kita berkesempatan untuk melakukannya khusus bagi saudara-saudara kita di Gaza. Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan kerjasama masjid-masjid serata Singapura mengadakan kutipan derma  bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza. Sama-sama kita memanfaatkan peluang untuk menyumbang kepada tabung bantuan kemanusiaan ini. 

Sebagai penutup, dan bersempena dengan bulan Maulidurrasul, bulan cinta Rasul, saya  mengakhiri khutbah pada hari ini dengan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban. Sayyidatina Aisha r.a. pernah mendengar doa nabi s.a.w. yang bermaksud: “Ya Allah, ampunkanlah bagi Aisha setiap dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang, yang dilakukan secara terang-terangan mahupun yang disembunyikan, yang besar mahupun yang kecil.” Mendengar doa itu, Sayyidatina Aisha r.a. berasa sangat gembira. Nabi s.a.w. pun berkata: “Adakah kau gembira mendengar doaku tadi itu, wahai Aisha? Ketahuilah, itulah doaku untuk umatku pada setiap solat.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَاَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.