collections khutbah Al-Quran Penawar dan Peringatan Bagi Hati
Al-Quran Penawar dan Peringatan Bagi Hati

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

23 April 2021 / 11 Ramadan 2021

Al-Quran Penawar dan Peringatan Bagi Hati

Saudaraku yang dirahmati Allah, 

Alhamdulillah kita sudah memasuki minggu kedua bulan Ramadan. Marilah kita tingkatkan ketakwaan serta kesyukuran kita kepada Allah, dengan mentaati segala yang diperintah-Nya dan menjauhi segala yang dilarang. Semoga kita dapat meraih segala kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita pada bulan yang mulia ini.

Saudaraku,

Al-Quran dan Ramadan tidak dapat dipisahkan. Bulan Ramadan adalah bulan di mana al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w.). Dan sempena kita menyambut malam turunnya al-Quran, yang akan berlangsung pada minggu hadapan, kita sentiasa diingatkan bahawa al-Quran merupakan satu petunjuk, pengajaran serta kasih sayang Allah buat mereka yang beriman. Perhatikan firman Allah (s.w.t.) dalam surah Yunus ayat 57 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa terdapat pelbagai fadilat dan kelebihan al-Quran. Ia bukan sahaja merupakan panduan kehidupan insan, akan tetapi ia juga merupakan penawar bagi segala penyakit di dalam hati ini. Seperti keraguan, keresahan, hasad dengki mahupun takabbur. Maka menerusi pembacaan serta penghayatan al-Quran, hati kita akan menjadi bersih dan kembali bersinar. Kerana hati itu apabila dikotori dengan dosa dan kesilapan, maka ia memerlukan kepada usaha untuk menyucikan ia semula. Maka perbanyakkanlah bacaan al-Quran dalam bulan ini agar hati kita sentiasa dalam keadaan tenang, suci dan murni. 

Tambahan daripada itu, al-Quran juga tidak hanya membawa kebaikan serta manfaat kepada kita di dunia ini, bahkan juga di akhirat kelak. Di mana ia bakal menjadi syafaat bagi mereka yang sentiasa membacanya. Perhatikan sabda Nabi (s.a.w.) yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai satu syafaat bagi para pembacanya.” (Hadis riwayat Imam Muslim). 

Saudaraku,

Sebagai seorang Mukmin, ia sangat penting bagi kita untuk berusaha mendekatkan diri kepada al-Quran, bukan sekadar membacanya, tetapi menghayati dan juga mengamalkan isi kandungannya. Lihat sahaja contoh teladan yang dipaparkan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.). Apabila Aisyah (r.a.) ditanya berkenaan akhlak Baginda (s.a.w.). Beliau turut menjawab bahawa akhlak Nabi (s.a.w.) adalah al-Quran. (Hadis riwayat Imam Muslim). 

Subhanallah! Segala tingkah laku, percakapan mahupun amalan Baginda (s.a.w.), semuanya berdasarkan al-Quran. Ini seharusnya merupakan pekerti setiap individu Mukmin. Bahkan seharusnya kita memiliki hubungan yang dekat dengan al-Quran. 

Maka marilah kita memulakan langkah-langkah kecil untuk membina hubungan dengan kitab suci al-Quran. Bagi yang belum pandai membaca, tanamkan tekad untuk mula mempelajari membacanya. Yang sudah pandai membaca, apa kata kita berusaha untuk menghayati dan memahami isi kandungan al-Quran. Kerana kitab ini memberikan panduan serta pedoman bagi diri kita dalam mengharungi segala rintangan kehidupan yang mendatang. Padanya terkandung peringatan buat diri kita. Firman-Nya dalam surah al-Anbiya’ ayat 10:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (al-Quran) yang mengandungi peringatan bagi kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya?”

Saudaraku,

Dalam usaha kita untuk membaca dan menghayati al-Quran, kita perlu memberikan perhatian bahawa proses memahami al-Quran, mahupun mana-mana teks agama, memerlukan kepada guru yang memberi panduan. Guru yang dipercayai dan bertauliah.  

Ini kerana, memahami al-Quran secara tekstual sahaja, tanpa bimbingan seorang guru yang alim dalam ilmu al-Quran, boleh mengakibatkan seseorang individu itu terkeliru, lalu mengakibatkan salah faham berkaitan maksudnya. Kegagalan seseorang menghubungkaitkan al-Quran ataupun teks-teks agama dengan kehidupan semasa akan membuatkannya rasa janggal dan was-was pada setiap penyesuaian yang dilakukan. 

Sebagai contoh, segala langkah keselamatan yang dilakukan selama ini, ia selari dengan tuntutan agama. Di dalam situasi pandemik hari ini di mana nyawa terancam, adalah penting untuk kita menyelamatkan nyawa manusia. 

Justeru itu, penting bagi kita untuk memahami teks agama dengan cara yang benar dan tepat. Ia dengan merujuk kepada mereka yang ahli dengannya.  

Saudaraku,

Pada bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini, marilah kita menanamkan niat untuk berusaha memahami serta menghayati al-Quran. Marilah juga kita manfaatkan peluang pada bulan ini sebaiknya dengan kita beribadah bersama keluarga dengan solat terawih, membaca al-Quran dan melaksanakan amalan ibadah yang lain. 

Tingkatkan semangat untuk terus mempelajari dan mendalami al-Quran dan ilmu agama.  Mudah-mudahan kita terus diberikan kemudahan oleh Allah (s.w.t.) untuk membaca dan memahami al-Quran dengan baik, dan mampu membawa diri kita dan masyarakat ke arah kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ. 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.