collections khutbah Adab Bersuara di Media Sosial
Adab Bersuara di Media Sosial

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

30 Disember 2022 / 6 Jamadilakhir 1444H

Adab Bersuara di Media Sosial

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita berusaha untuk mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan itu, Allah (s.w.t.) akan terus mencurahkan rahmat serta kasih sayang-Nya buat kita. Amin.

Saudara dan saudari,

Keadaan hidup manusia telah banyak berubah. Pada zaman ini, terdapat banyak perkara yang boleh didapati dengan pantas dan pintas. Sebagai contoh, perbualan serta perhubungan kita bersama ahli keluarga dan saudara mara di rantauan juga dipermudahkan berbanding dengan dahulu.

Dengan kemajuan teknologi, terlahirnya juga alam media sosial – di mana penggunaannya sangat meluas di kalangan masyarakat dunia. Ia adalah satu platform di mana setiap individu dapat meluahkan pandangan serta pendapatnya mengenai apa jua perkara dan pada bila-bila masa sahaja.

Oleh itu, mimbar pada minggu ini ingin mengajak para hadirin untuk merenungkan satu prinsip agama yang begitu penting yang boleh dijadikan sebagai pegangan dalam hidup kita. Prinsip tersebut adalah berbicara dengan yang baik dan bermanfaat.

Allah (s.w.t.) berfirman dalam surah Ibrahim ayat 24-25 yang berbunyi:



Yang bermaksud: “Tidakkah engkau melihat (wahai Nabi Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kata-kata yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang akar tunjangnya tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka mengambil pelajaran.”

Saudara dan saudari,

Jika kita amati ayat yang dibacakan sebentar tadi, kita mendapati bagaimana Allah (s.w.t.) umpamakan perkataan yang baik dengan pohon yang baik serta mengeluarkan buahnya pada setiap masa. Subhanallah! Begitu indah perumpamaan yang ditunjukkan oleh Allah (s.w.t).

Ayat ini mengajar kita supaya menjadi seorang Muslim yang sentiasa mengungkapkan perkataan yang baik kerana ia mempunyai implikasi dan kesan terhadap orang sekeliling kita. Setiap perkataan yang kita lafazkan, hendaklah sesuatu yang membawa manfaat dan rasa senang kepada orang sekeliling kita, dan bukan sebaliknya. Namun, jika kata-kata kita tidak dapat memberikan sebarang kesan yang baik, maka berdiam adalah lebih baik seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadis, sabda Nabi (s.a.w)

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ النَّاسُ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

“Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah apabila manusia lain selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya.” (Hadis Riwayat Imam An-Nasai’i)

Saudara dan saudari,

Perhatikan isu-isu semasa yang sering dibincangkan dalam talian seperti, inflasi, perubahan iklim dan sebagainya. Terdapat banyak pendapat serta pandangan yang boleh didapati mengenai hal-hal itu.

Meskipun demikian, bagi setiap perkara pasti ada bukit dan ada payanya. Ada yang menggunakan teknologi untuk kebaikan dengan mempertingkatkan ilmu dengan maklumat-maklumat penting, menyebarkan mesej-mesej baik dalam talian untuk masyarakat dan sebagainya. Pada masa yang sama, ada juga yang menggunakannya untuk keburukan dan kejahatan.

Antara contoh yang kita dapati dalam media sosial adalah tren “Cancel Culture”. Ia adalah apabila seseorang itu memberi komen-komen yang negatif dan buruk untuk menjatuhkan seseorang di media sosial, hanya kerana seseorang itu tidak bersependapat dengannya ataupun telah melakukan keburukan dan kesilapan.

Maka di sini letaknya kepentingan sikap seorang Mukmin dalam berbicara mahupun menegur seseorang dalam apa jua keadaan. Ini kerana, kadangkala kita lupa dan tidak sedari bahawa di sebalik komen yang kita berikan dalam talian, ia boleh mencetuskan perbalahan dan persengketaan sesama kita.

Dengan itu, seseorang Mukmin perlu memastikan bahawa setiap kata-kata yang diungkapkan dapat memberi kesan yang positif dan membina. Dan bukanlah untuk menyakiti ataupun memalukannya. Inilah ajaran dan sikap kekasih kita Nabi Muhammad (s.a.w.).

Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kepada kita kekuatan dan semangat untuk sentiasa berkata dengan kata-kata yang baik, serta tempatkan kita di syurga-Nya kelak. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.