collections khutbah Uswatun Hasanah – Risalah Rahmah
Uswatun Hasanah – Risalah Rahmah

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

29 Oktober 2021 / 22 Rabiulawal 1443H

Uswatun Hasanah – Risalah Rahmah

 

الحَمدُ لِلَّهِ الذِي أَكرَمَنَا بِخَيرِ البَرِيَّة، وَجَعَلَهُ هَادِيًا وَنَاصِحًا لِأُمَّتِهِ جَامِعًا بِأَشرَفِ مَزِيَّة، وَأَشهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحدَهُ لاَ شَريكَ لَهُ شَهَادَةً نَرجُو بِهَا حُسنَ الخِتَام، وَأَشهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبدُهُ وَرَسُولُهُ مُبَلِّغُ الشَّرَائِعِ وَالأَحكَام .اللَّهُمَّ صَلِّ وسلِّم عَلَى سَيِّدنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحبِهِ أَئِمَّةِ الهُدَى وَالأَعلاَم، الـمُلْحَقِينَ بِهِ فِي التَبْجِيلِ وَالإِكرَامِ. أَمَّا بَعدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُسلِمُونَ.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kita hidayah-Nya sentiasa. Amin Ya Rabbal Alamin.

Saudara dan saudari, 

Cinta kepada baginda Nabi (s.a.w.) merupakan sebahagian dari tanda keimanan. Cinta kepada Baginda bukan hanya dengan sekadar kata-kata sahaja. Akan tetapi ia hendaklah dibuktikan dengan amalan dan pekerti, serta mencontohi apa yang dibawa oleh Nabi (s.a.w.). Firman Allah (s.w.t.) di dalam surah Ali-Imran ayat 31 yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Nabi Muhammad) jika kamu mencintai Allah, maka hendaklah kamu mengikuti aku, nescaya Allah akan mencintai kamu dan akan mengampunkan dosa-dosamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Ia merupakan objektif yang ingin disampaikan khutbah sepanjang bulan ini. Iaitu dengan mengedepankan satu aspek daripada pelbagai aspek kehidupan serta pekerti Nabi (s.a.w.) untuk dicontohi.

Pada saat dan ketika ini, izinkan saya untuk berkongsi lagi satu aspek pada kehidupan Nabi (s.a.w.) yang saya rasa perlu untuk kita jadikan teladan dan ikutan.

Saudara dan saudari, 

Sekiranya kita menelusuri sirah Nabi (s.a.w.), lalu kita meneliti satu persatu keputusan yang diambil Baginda (s.a.w.) dalam mengurus masyarakat, kita akan mendapati bagaimana Nabi (s.a.w.) sentiasa memilih pendekatan yang membawa kepada perpaduan serta kesepakatan. Selagimana ada peluang untuk berdamai dan berunding serta bekerjasama, ia merupakan satu pilihan utama Baginda. Walaupun ada di antara sahabatnya yang tidak sependapat dengan pilihan tersebut.

Kita lihat sebagai contoh peristiwa perjanjian Hudaybiyah di mana walaupun sebahagian daripada pensyaratan yang dipersetujui Baginda (s.a.w.) dianggap sebahagian individu sebagai bersifat berat sebelah, kerana ianya lebih menguntungkan pihak Quraysh. Akan tetapi Baginda (s.a.w.) melihat kepada kemanfaatan jangka masa panjang, serta memilih satu perjanjian yang dapat membawa kepada perdamaian dan keharmonian.

Kisah ini, dan pelbagai lagi kisah pada sirah Nabi (s.a.w.) membuktikan bagaimana Nabi (s.a.w.) kekal fokus mencari keharmonian dan kesejahteraan kehidupan buat semua. Pendekatan yang dipilih Nabi (s.a.w.) merupakan pendekatan berhikmah serta berusaha untuk membawa perubahan secara bertahap.

Saudara dan saudari, 

Ia merupakan pengajaran bagi kita dalam mengatur kehidupan. Bagaimana seharusnya kita dalam melaksanakan tuntutan agama, perlu mengambil kira situasi, serta keadaan yang berbeza. Selari dengan ciri agama ini yang memudahkan dan melapangkan kehidupan pengikutnya.

Seperti di dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, yang bermaksud: “Ditanyakan kepada Rasulullah, “(Amalan) Agama manakah yang paling dicintai oleh Allah?” Baginda bersabda:

الْحَنِيفِيَّةُ السَّمْحَةُ

Yang bermaksud: Yang mudah, lurus serta lapang. (Hadith riwayat al-Bukhari).

Menurut Imam Ibn ‘Ashur, maksud “al-ḥanīfiyyah al-samḥah” yang disebutkan di dalam hadis ialah kemudahan dan kelapangan serta toleransi di dalam pengamalan, agar agama dan segala ajarannya dapat diterima dan diamalkan dengan baik.

Alhamdullilah, pengamalan agama kita di Singapura merupakan satu pengamalan yang sejauh ini berteraskan prinsip wasatiyah. Prinsip yang menggalak sikap melakukan yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi. Sikap yang bijak mengimbangi keperluan yang utama. Sikap yang mencerminkan keihsanan kepada semua orang. Sikap yang tidak mementingkan diri sendiri sehingga tidak mempedulikan keperluan pihak lain yang perlu diraikan. Umat Islam di Singapura sebenarnya unik dengan suasana kehidupan yang majmuk, namun tetap dapat mengamalkan Islam dengan sempurna. Keunikan ini perlu diteruskan dan dipelihara dengan baik.

 

Marilah sama-sama kita berdoa agar Allah (s.w.t.) jadikan kita orang-orang yang bersikap rahmah dan kasih sayang kepada orang sekeliling kita dan permudahkan kita untuk contohi teladan yang Nabi (s.a.w.) telah tunjukkan. Amin. Ya Rabbal ’Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.