collections khutbah Sifat Mazmumah: Pembaziran
Sifat Mazmumah: Pembaziran

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

 20 Mac 2020 / 25 Rejab 1441H

Sifat Mazmumah: Pembaziran

 

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kita kepada Allah, dengan meninggalkan segala laranganNya dan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah-perintahNya.

Marilah juga kita bersyukur kepada Allah di atas segala nikmat kurniaanNya.  Insan yang bersyukur ialah insan yang senantiasa menghargai dan memelihara nikmat-nikmat yang dilimpahkan kepadanya oleh Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah, yang tidak pernah mengabaikan keperluan makhluk-makhlukNya.  Firman Allah di dalam Ayat 17, Surah al-Mu’minun:

 

Yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan tujuh (lapis) langit di atas kamu, sedangkan Kami tidak pula lalai daripada (menyediakan keperluan) makhluk-makhluk ciptaan Kami.

 

Demikian perhatian dan kemurahan yang Allah curahkan kepada kita.  Pelbagai nikmat yang dianugerahkanNya sehingga tidak terhitung banyaknya.  Ini termasuk nikmat air yang menjadi sumber utama kepada pelbagai keperluan hidup kita.  Tanpa air, bukan sahaja kita akan kehilangan sumber minuman, bahkan segala sumber makanan juga akan terjejas, kerana tiada lagi tumbuh-tumbuhan dan haiwan ternak mampu mengeluarkan hasil yang manusia perlukan.  Apabila bumi kekeringan, manusia dan segala yang bernyawa akan menanggung kesengsaraan.  Malah pelaksanaan agama kita juga akan turut terjejas.

 

Oleh yang demikian, saudara, khutbah hari ini mengajak kita semua untuk menginsafi betapa bernilainya air untuk kita meneruskan kehidupan.  Gunakan nikmat air kurniaan Allah ini dengan penuh kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab.  Manfaatkan mengikut kadar yang perlu, kerana pada setiap titisan air itu ada nadi kehidupan kita bersama.  Elakkan pembazirannya, walaupun dalam amalan ibadat kita.  Menyempurnakan wudhu, sebagai contoh, tidak semestinya dengan menggunakan air yang banyak, seolah-olah kolam air itu kita sendiri yang punya.  Yang penting bukan jumlah airnya, tetapi keinsafan hati dalam melaksanakannya.  

 

Allah mampu mencabut balik nikmat air ini jika Dia mahu!  Mari, saudara, kita terus hidup sebagai hamba Allah yang benar-benar bersyukur, bukan cuai dan sombong dengan apa yang sedang kita nikmati.  Bimbanglah, kalau kealpaan kita sendiri menjadi sebab akhirnya hilang nikmat air ini.  Jika itu terjadi, sesalan tidak akan ada gunanya lagi.  Semoga rahmat Allah senantiasa tercurah sepanjang hidup kita di dunia ini dan hingga ke akhirat nanti.