collections khutbah Sifat Mahmudah: Musabarah
Sifat Mahmudah: Musabarah

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

10 April 2020 / 16 Syaaban 1441H 

Sifat Mahmudah: Musabarah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita sentiasa bertakwa kepada Allah dengan terus bersabar dalam melaksanakan perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Semoga dengan sifat kesabaran itu, kita dikurniakan hikmah dan kebaikan dari yang Maha Esa. Amin.

Saudaraku,

Setiap dari kita diamanahkan dengan pelbagai tanggungjawab. Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, kita memerlukan kesabaran yang tinggi. Kesabaran yang berterusan mampu menggerakkan kita untuk melaksanakan amanah dengan baik dan sempurna. Firman Allah s.w.t di dalam surah Ali Imran ayat ke 200:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah, serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”

Di dalam kitab Tafsir Mafatih al-Ghayb, Imam al-Razi berkata bahawa sabar dan terus bersabar adalah perkara yang perlu dilaksanakan oleh semua manusia untuk dirinya dan orang lain yang berada di sekelilingnya. 

Saudaraku, 

Tidak dinafikan, kita semua mempunyai kemampuan dan kesabaran yang berbeza dalam menguruskan tanggungjwab kita,terutamanya dalam urusan hal ehwal keluargakita. Ada yang menguruskannya sendiri. Ada pula yang perlu menjadi penjaga ‘Caretaker’untuk menjaga keperluan kebajikan orang tuanya di rumah. Apa juga peranan dantanggungjawab kita, kita perlu laksanakannyadengan penuh ketabahan dan amanah. Jika ada di antara adik beradik kita yang memikul tanggungjawab untuk menjaga ibu dan ayah kita di rumahnya, adik beradik yang lain pulaperlu sama-sama menyumbang dalam menjaga kebajikan orang tuanya. Sumbangan kita tidak hanya terhad kepada sumbangan wang sahaja. Bahkan apa sahaja yang dapat mengembirakanibu dan ayah perlu diusahakan seperti menziarahi mereka, menghubungi mereka, atau menemani mereka berjumpa doktor. 

Sedarilah saudaraku bahawa apabila kita bekerjasama dalam menjaga kebajikan ibu dan ayah kita, kita juga sebenarnya menjaga kebajikan adik-beradik yang menjaga ibu dan bapa kita terutama sekali dalam situasi yang tidak menentu sekarang ini. Mudah-mudahan dengan usaha kita bersama untuk menjaga orang tua kita, ibu bapa kita akan redha dengan kita dan mereka akan mendoakanuntuk kesejahteraan kita serta kejayaan kita dalam melaksanakan tanggungjawab kita.Ingatlah saudaraku akan pesanan Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

رِضَا اللَّهِ فِي رِضَا الْوَالِدَيْنِ، وَسَخَطُ اللَّهِ فِي سَخَطِ الْوَالِدَيْنِ

Yang bermaksud: “Redha Allah terletak pada redha ibu dan ayah, kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu dan ayah.” [Hadis Riwayat al-Hakim].

Saudaraku, 

Kita masih lagi berdepan dengan ujian wabak yang melanda hampir seluruh dunia. Kita jugatidak ketahui bilakah wabak ini akan berakhir. Sebagai seorang mukmin, kita perlu terus berdoa dan bersabar dengan ujian ini. Setiap dari kita tidak terkecuali dan turut berkorban dalam menghadapi ujian ini. Sebahagian dari kita berkorban dari sudut pekerjaannya, ada juga berkorban dari sudut kewangannya, sebahagian yang lain pula berkorban dalam menjaga keselamatan orang disekelilingnyaterutamanya warga emas dan anak-anak kecil kita.

Justeru itu, amatlah penting bagi kita untuk saling bantu membantu dan menyokong antara satu sama lain. Sama-samalah kita menghargai pengorbanan para petugas barisan hadapan yang bekerja keras untuk merawat para pesakitdengan sebaiknya. Bagi kita yang sedang bertugas dan belajar di rumah, berbincanglah serta fahamilah tugasan dan pembelajaran ahli keluarga kita. Amalkan sikap tenang dan bersabar dengan keadaan sekitar rumah kita. Setiap dari kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan ini agar sebarang perasaan negatif itu dapat dijauhi dan dihindari dengan sebaiknya. 

Pengorbanan kita ini bukan suatu perkara yang sia-sia saudaraku. Dengan kita bersabar dalam pengorbanan kita, pastinya terdapat kebaikan disebaliknya dan ganjaran buat kita yang bersabar. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:“Tidaklah seorang hamba yang menghadapi musibah taun, lalu dia terus menetap di negaranya dengan penuh kesabaran dalam keadaan dia tahu bahawa dia tidak akan ditimpa dengan musibah kecuali dengan ketetapan Allah, melainkan akan tertulis baginya pahala seperti pahala orang yang mati syahid.” [Hadis riwayat Imam Bukhari].

Mudah-mudahan kita dikurniakan kesabaran berkhidmat kepada ibu dan ayah kita serta ketabahan menghadapi ujian ini. Semoga Allah s.w.t. menerima segala amalan kita sepanjang bulan Syaaban ini dan menemukan kita dengan bulan Ramadan yang mulia. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.