collections khutbah Sifat Mahmudah: Ithar
Sifat Mahmudah: Ithar

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

 17 April 2020 / 23 Syaaban 1441H

Sifat Mahmudah: Ithar

 

Para jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala yang diperintahkanNya dan meninggalkan segala tegahanNya. Lakukan yang terbaik untuk memberi sokongan dan bantuan kepada yang memerlukan. Semoga sokongan kita itu menjadi sebahagian dari amalan kita ke arah ketakwaan kepada Allah s.w.t.

 

Saudaraku,

Abu Darda’ r.a. pernah meriwayatkan suatu doa yang diajar Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud: “Di antara doa Nabi Daud s.a.w., beliau berkata:

 

Yang bermaksud: “Ya Allah, aku meminta kepadaMu kasih sayangMu dan kasih sayang mereka yang mengasihi dan mencintaiMu serta amalan yang menyampaikan diriku kepada cintaMu.” [Hadis riwayat Imam al-Tirmizi].

 

Hadis ini menggambarkan kepada kita akan hati seorang hamba yang sentiasa bergantung dan berdoa menaruh harapan kepada rahmah dan kasih sayang Allah s.w.t. Hadis ini juga turut menggambarkan akan harapan dan kasih sayang seorang hamba kepada hamba Allah yang lain.

 

Begitulah kehidupan seorang insan. Beliau akan sentiasa berusaha untuk menjaga hubungannya dengan Allah s.w.t. semasa senang dan susah. Beliau turut menghargai dan mengasihani orang di sekelilingnya.

 

Saudaraku,

Kasih sayang kita kepada manusia merupakan sebahagian dari usaha kita dalam mencapai kasih sayang Allah. Apabila kita membantu dan memberi sokongan serta mengutamakan keperluan saudara kita dari diri kita sendiri, kita sebenarnya juga mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Hasyr ayat ke 9:

 

Yang bermaksud: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

 

Terdapat banyak ruang dan peluang untuk kita membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Kita juga boleh mengongsikan kelebihan yang kita nikmati kepada mereka yang kurang kemampuan. Tambahan dari ini, kita berpeluang untuk memberi kata-kata semangat kepada mereka yang sedang dalam keadaan kesedihan dan keresahan. Lagi-lagi dengan situasi penularan wabak yang berlaku sekarang ini.

 

Saudaraku,

Saya ingin menyentuh lagi satu aspek yang boleh kita usahakan dalam memberi sinar harapan dan keceriaan dalam kehidupan seseorang. Ia berkaitan dengan memberi perlindungan kepada anak-anak kecil yang mendambakan kasih sayang dan suasana kehidupan berkeluarga.

 

Hari ini, menurut dapatan terkini, sebahagian besar daripada anak-anak yang mengharapkan peluang untuk hidup dalam sebuah keluarga yang bahagia, terdiri dari anak-anak Islam kita. Ada anak-anak ini yang didera, diabaikan atau ditinggalkan. Ada juga anak-anak ini mempunyai keperluan khas yang memerlukan kepada kasih sayang, penjagaan dan perlindungan dari sebuah keluarga.

 

Agama kita sangat menganjurkan kita untuk menjaga anak-anak yang memerlukan perlindungan. Inilah peluang untuk kita menghulurkan bantuan dan sokongan kepada anak-anak ini agar mereka juga dapat merasakan kehidupan dalam sebuah keluarga yang sempurna. Kita boleh mendapatkan maklumat lanjut untuk membantu anak-anak ini dengan melungsuri ke lelaman Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk program keluarga titipan (fostering). Tatkala, kita membantu anak-anak ini, Allah s.w.t. pasti akan membalas usaha kita itu. Sabda Nabi s.a.w.:

 

Yang bermaksud: “Carikan untukku orang yang lemah di antara kamu, kerana sesungguhnya kamu diberi kemenangan dan rezeki kerana mereka.” [Hadis Riwayat Abu Daud]

 

Saudaraku,

Sedang kita menghadapi ujian penularan virus ini, kita sebenarnya hampir memasuki bulan Ramadan. Sama-samalah kita berusaha untuk melaksanakan amalan dan ibadah kita dengan sebaik yang mungkin. Sungguhpun terdapat keterbatasan dalam menjalani ibadah di bulan Ramadan pada tahun ini, ia tidak seharusnya mematahkan semangat kita untuk melakukan yang terbaik di bulan Ramadan nanti. Beribadahlah bersama keluarga kita di rumah. Tanyalah khabar orang tua kita sungguhpun kita tidak dapat bertemu mereka. Bantulah masjid-masjid kita atau keluarga-keluarga yang memerlukan secara online ataupun melalui badan-badan kebajikan yang diiktiraf.

 

Semoga Allah s.w.t. menerima segala amalan kita dan mengabulkan segala permintaan serta pengharapan kita. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menemukan kita dengan bulan Ramadan yang mulia. Dan semoga Ramadan kali ini, lebih mendekatkan kita kepada Yang Esa. Amin ya Rabbal ‘Alamin.