collections khutbah Sifat Mahmudah: Bersyukur
Sifat Mahmudah: Bersyukur

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

 3 April 2020 / 9 Syaaban 1441H

Sifat Mahmudah: Bersyukur

 

Saudara yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan para jemaah sekalian agar sentiasa bertakwa kepada Allah s.w.t di dalam segala urusan hidup kita. Dengan takwa, kita akan diberi jalan keluar dari kesempitan hidup dan dikurniakan rezeki tanpa diduga.

 

Saudaraku sekalian,

Di dalam al-Quran terdapat banyak kisah tauladan untuk diikuti. Di antara kisah yang menarik adalah kisah Nabi Sulaiman a.s. Beliau merupakan seorang Nabi yang dikurniakan nikmat yang banyak dari Tuhan. Antara nikmat yang Allah berikan kepadanya adalah nikmat memahami pelbagai bahasa. Tambahan dari mempunyai bala tentera dari kalangan manusia, jin serta binatang.

 

Walaupun sedemikian, Nabi Sulaiman a.s. tidak pernah sombong atau bongkak dengan nikmat yang dimilikinya. Allah s.w.t. merakamkan kemuliaan Nabi Sulaiman di dalam surah al-Naml ayat ke 19 yang berbunyi:

 

Maksudnya: “Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan dia berdoa, "Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau redhai.”  

 

Imam al-Alusi ketika menafsirkan ayat ini mengatakan apabila Nabi Sulaiman menyebut kesyukuran di atas nikmat yang Allah berikan kepadanya dan kepada kedua ibu bapanya, ia menunjukkan akan kewajipan bagi kita untuk bersyukur kepada Allah di atas nikmat segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. Termasuklah nikmat hidup berkeluarga. Nabi s.a.w. turut mengingatkan kita akan tanda seseorang yang berterima kasih kepada Allah s.w.t. dalam sabdanya yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak berterima kasih kepada Allah.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

 

Saudaraku,

Pada saat dan detik sukar ini, ketika seseorang lagi diuji Tuhan. Pada saat ini, lebih-lebih lagi kita diingatkan untuk mengimbas kembali segala nikmat kurniaan Allah s.w.t. dan melihat kepada aspek yang positif di sebalik ujian tersebut. Kerana kemanfaatan buat mereka yang bersyukur, sebenarnya kembali kepada dirinya sendiri. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “…Barangsiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya…” (Surah Luqman, ayat 12).

 

Kerana apabila seorang hamba itu bersyukur, akan tercetus di dalam dirinya perasaan yang positif. Maka walaupun beliau sekarang ini lagi diuji Tuhan, akan tetapi apabila beliau bersyukur, akan tercetus di dalam dirinya rasa insaf kepada Tuhan. Beliau mula melihat kepada berapa banyak lagi nikmat Tuhan yang beliau kecapi. Perhatikan diri Nabi s.a.w., ketika Baginda melihat ataupun mengalami sesuatu yang tidak beliau sukai Nabi akan berkata:

 

Yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah, di atas segala keadaan.” (Hadith riwayat Ibn Majah).

 

Saudaraku,

Kita semua mengetahui dan akur akan kesukaran keadaan yang kita lalui. Masa-masa ini adalah masa yang terbaik untuk kita luangkan di rumah. Ambillah peluang dan kesempatan ini untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan. Kadangkala kesibukan sehariannya, menjadi batu penghalang dari kita meluangkan masa dengan keluarga. Mungkin ada di antara kita yang ingin menyelesaikan sesuatu tugasan, menguasai sesuatu ilmu, ataupun mengkhatamkan al-Quran serta menghayati isikandungnya.

 

Mungkin ini hikmahnya kita melalui saat-saat sukar ini. Untuk kembali membuat refleksi diri. Menghargai masa kita bersama keluarga. Membuat pertimbangan semula keutamaan dalam kehidupan kita.

 

Pada masa yang sama, marilah kita menyokong antara satu dengan yang lain dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas dengan pekerjaan mereka, atau membantu mereka yang terjejas dengan notis Jangan Keluar Rumah (SHN). Lakukanlah apa sahaja kebaikan untuk kelarga kita dan orang-orang disekeliling kita, mudah-mudahan ia membahagiakan kita dan sekaligus mencetuskan rasa syukur kita kepada Allah s.w.t.

 

Semoga kita dikurniakan sifat syukur di atas nikmat kekeluargaan ini dan bersabar dengan ujian ini bersama keluarga kita. Amin ya Rabbal ‘Alamin.