collections khutbah  Sifat Keihsanan: Jalan Meraih Kemaslahatan 
 Sifat Keihsanan: Jalan Meraih Kemaslahatan 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

20 Januari 2023 / 27 Jamadilakhir 1444H


 Sifat Keihsanan: Jalan Meraih Kemaslahatan 

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Ketahuilah bahawa sifat keihsanan yang ditonjolkan terhadap mereka yang di sekelilingnya merupakan manifestasi ketakwaan seseorang.

Saudara dan saudari,

Nilai keihsanan merupakan nilai yang sangat terpuji dan mulia di sisi Islam. Islam mengajar kita untuk bersifat ihsan di dalam setiap pergaulan, perbuatan dan keputusan kita. Sepertimana Allah (s.w.t) bersifat ihsan terhadap hamba-hambanya, begitu juga sepatutnya seorang hamba bersifat ihsan terhadap manusia di sekelilingnya. Meskipun begitu, apakah erti nilai keihsanan yang diajar oleh Islam?

Saudaraku, untuk memahami hakikat keihsanan, saya mengajak para hadirin untuk sama-sama kita renungkan firman Allah (s.w.t.) di dalam surah al-Qasas ayat 77. Allah (s.w.t) berfirman:

Yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia; dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Saudara dan Saudari,

Ayat yang baru saya bacakan tadi, menegaskan larangan untuk melakukan kerosakan di atas muka bumi. Ia datang sejurus selepas perintah Allah (s.w.t) untuk berbuat baik dan bersifat Ihsan.

Menurut Imam Ibn ‘Ashur, sekiranya terdapat pada ayat Quran suatu perintah yang disusuli dengan larangan, ia merupakan peringatan supaya insan tidak mencampurkan antara dua perkara tersebut. 

Pada ayat tadi, terdapat perintah untuk berlaku ihsan, pada waktu yang sama larangan daripada melakukan kerosakan. Dalam erti kata lain, sifat dan ciri keihsanan berlawanan dengan kemudaratan.  Sifat keihsanan seharusnya membawa kepada kebaikan dan kemanfaatan yang lebih besar, dan ia akan menolak segala bentuk kemudaratan. 

Dari itu, setiap keputusan ataupun perbuatan yang kita ambil, seharusnya perlu mempertimbangkan aspek keihsanan. Ia merupakan intipati dari agama ini. Kerana mukmin yang mempertimbangkan aspek ihsan dalam urusannya, bakal memerhatikan kemaslahatan insan lain pada setiap pertimbangannya. Apakah keperluannya? Bagaimana kita mampu untuk membantunya?

Ini jelas ditonjolkan di dalam sebuah hadis tentang seorang sahabat yang bernama Abu Dzar (r.a.). Bagaimana Nabi (s.a.w.) menolak permintaannya agar beliau dilantik menjadi seorang pemimpin. Kerana Baginda mengetahui bahawa beliau tiada kemampuan untuk menjadi seorang pemimpin. Baginda (s.a.w) bersabda:

يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا(

Yang bermaksud: “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah, dan sesungguhnya hal ini adalah amanah, ia merupakan kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali orang yang mengambilnya dengan haknya, dan menunaikannya (dengan sebaik-baiknya). [Hadis riwayat Imam Muslim].

Daripada hadis ini, kita boleh mempelajari bahawa Nabi (s.a.w) menolak permintaan beliau atas sebab ia boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar kepada dirinya ataupun ummat Islam secara amnya. Begitulah hakikat keihsanan. Ia akan membawa bersamanya kemanfaatan yang lebih besar. Kemanfaatan untuk diri serta insan lain. Serta menolak segala jenis kemudaratan. 

Saudara dan Saudari,

Dalam kehidupan, sudah pasti kita akan menghadapi situasi yang memerlukan kita untuk membuat keputusan yang sukar. Tetapi apabila sesuatu keputusan itu diambil dengan mengambilkira aspek keihsanan, ia bakal membawa kemanfaatan.

Sebagai contoh, ketika di awal penularan Covid-19, pintu-pintu masjid terpaksa ditutup. Solat Jumaat dan berjemaah di masjid juga dihentikan buat seketika. Setentunya, terdapat cabaran ketika itu. Akan tetapi keputusan yang diambil itu adalah demi menjaga kemaslahatan individu dan masyarakat dengan mencegah penularan wabak. Itulah hakikat keihsanan dalam situasi tersebut.

Sekiranya ada yang memperolok-olokkan keputusan tersebut, kerana bertanggapan bahawa bersusah payah adalah lebih baik dan ia merupakan tuntutan agama. Dari itu, tidak mengapa sekiranya terdapat penularan yang berlaku di tempat ibadat. Ia merupakan petanda kurang kefahamannya akan aspek ihsan di sisi agama. Kerana Islam itu mudah dan anjal untuk dipraktikkan pada setiap masa, tempat dan keadaan. Dan pada setiap situasi terdapat hukum yang bakal mengambilkira keperluan serta konteks tertentu.

Semoga Allah (s.w.t) memberikan kita taufiq dan hidayah dalam menghidupkan sifat ihsan dalam setiap perbuatan kita. Amin Ya Rabbal ‘Alamin

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.