collections khutbah Semangat Kekitaan Dalam Diri Seorang Mukmin
Semangat Kekitaan Dalam Diri Seorang Mukmin

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

17 Januari 2020 / 21 Jamadilawal 1441H

Semangat Kekitaan Dalam Diri Seorang Mukmin

 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Ketakwaan kita menjadi asas utama dalam kehidupan kita di dunia ini, untuk menuju ke arah kehidupan akhirat yang kekal abadi. Laksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita sifat kemanusiaan yang tinggi, mengutamakan kebaikan dan menolak sebarang keburukan. Amin.

 

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Sepanjang dua minggu yang lalu, khutbah telah mengingatkan akan pentingnya iman yang kukuh dan ilmu yang perlu dipertingkatkan. Ia merupakan sebahagian dari langkah utama Rasulullah s.a.w. dalam membawa manusia dari kehidupan yang penuh dengan kegelapan dan kejahilan ke arah kebenaran dan kecemerlangan dalam kehidupan.

 

Kejayaan dan kecemerlangan itu tidak datang dengan sendirinya. Para Nabi, Rasul dan generasi seterusnya telah meninggalkan beberapa asas yang kukuh untuk manusia memanfaatkan potensi mereka yang berbeza, dan saling monyokong antara satu sama lain. Firman Allah s.w.t. dalm surah al-Taubah, ayat 122:

 

Yang bermaksud: “Dan tidaklah orang-orang yang beriman keluar (berjuang) semuanya; maka hendaklah keluar sebahagian sahaja dari setiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mendalami ilmu agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya apabila orang-orang (berjuang) itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat menjaga dirinya”.

 

Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kejayaan itu bukan hanya tertumpu kepada usaha memenuhi satu-satu tugasan sahaja. Ia merangkumi semua bentuk kebaikan yang akhirnya memberi kemanfaatan buat manusia. Inilah semangat kekitaan yang dianjurkan oleh Islam agar setiap dari kita yang beriman dapat memainkan peranan mereka, saling lengkap-melengkapi dan memenuhi kekurangan antara satu sama yang lain.

 

Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah menjelaskan bahawa semangat kekitaan adalah perasaan saling sayang-menyayangi, saling tolong-menolong, bekerjasama, hormat-menghormati, hidup secara sederhana, berpegang kepada norma masyarakat dan pemimpin, berani menegakkan kebenaran, berkorban demi mempertahankan keluarga serta tanah air, dan mengatasi sifat-sifat mementingkan diri atau individualistik.

Saudaraku,

Semangat kekitaan dengan saling bekerjasama dapat memberi banyak kesan kebaikan dalam kehidupan manusia. Sebagai contoh kejayaan anak-anak kita dalam pembelajaran mereka dapat dicapai dan dipertingkatkan dengan adanya sokongan dan kerjasama oleh pelbagai pihak. Seperti sokongan keluarga dalam memastikan anak-anaknya diberikan peluang dan ruang untuk belajar, guru-gurunya yang memberikan tunjuk ajar dan bimbingan yang sebaiknya, serta sokongan masyarakat yang turut sama-sama menyumbang dari sudut motivasi, sokongan kewangan dan sebagainya untuk kejayaan anak-anak kita dalam pembelajaran mereka, bak kata pepatah “Ia memerlukan seluruh penduduk untuk membesarkan seorang anak”.

 

Kita juga mempunyai peranan dalam menyokong dan menjaga warga emas kita secara bersama. Sebahagian dari mereka merupakan warga masjid, kenalan kita atau ahli keluarga kita sendiri yang mungkin berada dalam keuzuran dan memerlukan sokongan kita. Malahan, ada juga yang memerlukan sokongan kewangan mahupun bantuan untuk bergerak ke hospital, ke masjid dan sebagainya. Kesemuanya itu merupakan peluang bagi kita untuk bekerjasama dalam menjaga kebajikan warga emas kita agar mereka terus kekal aktif dan menjalani kehidupan yang positif. Inilah merupakan sebahagian dari pesanan Rasulullah s.a.w. agar kita saling menyokong dan prihatin antara satu sama lain. Kerana orang-orang mukmin itu umpama satu tubuh yang apabila satu bahagian merasa sakit, bahagian tubuh yang lain akan turut merasakan kesakitannya juga, sabda Rasulullah s.a.w.:

 

Yang bermaksud: “Perumpamaan kaum Mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama satu tubuh, jika satu di antara anggotanya sakit, maka anggota yang lain akan susah tidur atau merasakan demam”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Semangat dan dorongan seperti ini perlu terus diusahakan oleh setiap dari kita. Ia melambangkan kesungguhan kita untuk melakukan kebaikan secara bersama untuk kemanfaatan kita semua.

 

Saudaraku yang dikasihi,

Kita sentiasa diingatkan untuk melakukan amal soleh dan bekerjasama dalam kebaikan. Kita semua akan dikembalikan kepada Allah s.w.t., dan akan menerima ganjaran dan balasan sesuai dengan amalan kita. Usahlah merasa puas dengan amal soleh dan kebaikan yang dikerjakan. Selagi nyawa dikandung badan, bersegeralah kita menyemarakkan semangat kekitaan dan rahmah buat semua.

 

Kita boleh mengupayakan kehidupan ini dengan mengabdikan diri secara bersama kepada Allah s.w.t. melalui usaha-usaha kebajikan kita. Kebajikan kita itu tidak seharusnya khusus dalam bentuk amal ibadah atau sumbangan kewangan semata-mata. Kebaikan itu boleh sahaja dalam bentuk amal soleh, tingkah laku dan sikap baik yang menghasilkan kebahagiaan buat manusia dan masyarakat. 

 

Saudaraku,

Semangat kekitaan dan kerjasama dalam melaksanakan kebaikan merupakan cerminan sosok budi pekerti atau akhlak yang luhur orang yang beriman. Pupuklah semangat prihatin dengan penuh rahmah akan keadaan masyarakat sekeliling kita agar sokongan dan bantuan yang ingin diberikan sesuai dengan keperluannya. Sama-samalah kita melahirkan sifat rahmah, kasih sayang dan saling bantu-bantu sesama kita. Setiap sumbangan kita dengan penuh rahmah bukan sahaja akan dirasai oleh individu atau keluarga yang dibantu sahaja, malahan apabila mereka yang dibantu dapat kembali menyumbang kepada masyarakat, ia sekaligus memberi kesan yang lebih meluas kepada semua orang dan menghasilkan kehidupan yang lebih baik buat masyarakat seluruhnya.

 

Mudah-mudahan Allah menyuburkan dalam diri kita sifat-sifat terpuji dan melindungi kita daripada sifat-sifat terkeji. Semoga kita tergolong dikalangan hamba-hambaNya yang soleh dan dirahmati Allah s.w.t. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.