collections khutbah Rasa Syukur kepada Allah s.w.t.
Rasa Syukur kepada Allah s.w.t.

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

 27 Mac 2020 / 2 Syaaban 1441H

Rasa Syukur kepada Allah s.w.t.

 

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah atas segala kurniaanNya yang tidak terhitung. Dalam kesusahan yang kita lalui ada kurniaan Allah untuk kita mensyukurinya. Bagaimanakah kita menterjemahkan syukur kita kepada Allah dalam kehidupan harian kita? Imam Nawawi rahimahullah mengatakan ada tiga jenis hamba Allah dalam peribadatan mereka kepada Allah. Pertama, mereka yang menyembah Allah kerana takut kepada Allah. Ini adalah ibadah seorang hamba; hamba yang takut kepada tuannya.

 

Kedua, mereka yang menyembah Allah kerana mengharapkan ganjaran dan pulangan. Ini adalah ibadah seorang peniaga. Memberi dan melabur dengan mengharapkan pulangan.

 

Ketiga, mereka yang menyembah kerana rasa syukur kepada Allah. Dia memahami bahawa apa juga yang dia lakukan dia tidak akan mampu membalas balik segala nikmat Allah. Dia malu dengan Allah. Dia hanya mengharap keredhaan Allah sebagai hamba yang bersyukur kepada Allah. Inilah darjat ibadah yang tertinggi. Inilah ibadah Rasulullah s.a.w. Apabila ditanya isterinya Aisyah r.a. kenapa Rasulullah s.a.w. beribadah sehingga bengkak kakinya sedangkan Allah telah mengampunkannya apa yang lalu dan akan datang. Rasulullah s.a.w. bersabda:

 

Yang bermaksud: “Tidakkah patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?”. (Hadis riwayat Imam Bukhari).

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bagaimana kah kita menterjemahkan syukur kita kepada Allah? Tiga perkara yang boleh kita lakukan.

 

Pertama, kita menzahirkan syukur kita kepada Allah dengan zikir-zikir dan doa-doa harian. Sebutkan Alhamdulillah dalam semua hal. Zahirkan rasa syukur ini. Basahi lidah kita, terangi hati kita dengan sentiasa menyebutkan Alhamdulillah, pada waktu senang dan waktu susah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Semua urusannya adalah baik baginya. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur. Dan ini adalah kebaikan baginya. Apabila tertimpa kesusahan dia sabar. Dan ini adalah kebaikan baginya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

 

Kedua, kita terjemahkan syukur kita dengan perbanyakkan amalan-amalan baik, yang wajib dan yang sunnat. Kita malu dan insaf kepada Allah. Amalan-amalan kita tidak mampu membayar balik kurniaan Allah pada kita. Tetapi kita beriman dan yakin akan rahmat dan fadilat Allah. Dan kita lakukan segala ini ikhlas kerana Allah s.w.t.:

 

Ketiga, sebarkan nikmat dan kebaikan ini. Allah berfirman:

 

Yang bermaksud: “Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan (dengan bersyukur).(Surah Al-Dhuha, ayat 11).

Diriwayatkan dari cucu Rasulullah s.a.w. al-Hasan ibn Ali dalam menafsirkan ayat ini, beliau berkata: “Apa yang kamu lakukan dari kebaikan, sampaikanlah kepada saudara-saudara kamu.

 

Ini tidak bermaksud kita mendabik dada, menunjuk-nunjuk kebaikan kita. Tidak sama sekali. Ini bermaksud kita tunjukkan dan galakkan kebaikan. Sebarkan cerita-cerita kebaikan. Ini semua akan memberi inspirasi dan motivasi kepada orang lain. Dan ia menunjukkan nikmat dan kurniaan Allah kepada kita. Ujian COVID-19, walaupun satu kesusahan, namun tersirat dalamnya hikmah Allah. Kita tetap rasa bersyukur kepada Allah. Kesabaran kita melalui ujian ini adalah tanda syukur kita kepada Allah. Kita beribadah kepada Allah dengan rasa rendah diri dan insaf meminta pertolongan dari Allah dalam kita mengharungi ujian ini. Ini dengan kita perbanyakkan amalan-amalan soleh dan kebaikan-kebaikan.

Langkah-langkah pencegahan yang kita lakukan adalah amalan-amalan soleh dan kebaikan. Kerana kita diperintahkan Allah untuk berusaha dan mengambil segala langkah mengelakkan kemudaratan. Kita menyokong dan membantu sesama kita dalam usaha mengelakkan kemudaratan dan memohon Allah mengangkat kemudaratan. Inilah cara kita sebarkan nikmat Allah. Inilah maksud kita bersyukur kepada Allah.

Ramadan menjelang tiba. Inilah peluang untuk kita mengeratkan hubungan kita dengan Allah dan makhluk Allah. Masa untuk kita menterjemahkan kesyukuran kita seperti yang dinyatakan tadi. Apa juga keadaannya. Dengan segala keterbatasan dalam kita beribadah dalam bulan Ramadan ini, semua ini tidak akan menjejas peribadatan dan kesyukuran kita kepada Allah s.w.t. Kerana Allah begitu dekat kepada kita sebenarnya. Hubungan kita dengan Allah tidak boleh dibatas oleh apa juga halangan. Kerana ia tiada halangan.

 

Marilah kita sama-sama menzahirkan dan menterjemahkan kesyukuran kita kepada Allah.