collections khutbah Ramadan: Bulan Rahmah Buat Semua
Ramadan: Bulan Rahmah Buat Semua

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

8 Mei 2020M / 15 Ramadan 1441H

Ramadan: Bulan Rahmah Buat Semua

 

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa.  Berusahalah untuk melaksanakan segala perintahNya, dan jauhilah segala laranganNya. 

 

Sering kita dengar bahawa Islam ini adalah agama rahmah, agama kasih sayang.  Bahawa Allah adalah Tuhan yang bersifat Maha Pengasih, Maha Penyayang. Kita juga diajar bahawa Nabi kita Muhammad s.a.w. diutus oleh Allah sebagai rahmat kepada seluruh alam, dan umatnya ini dituntut untuk saling berkasih sayang di antara satu dengan yang lain.  Di dalam Ramadan ini juga terdapat Lailatul Qadar, malam agung yang penuh diisi dengan rahmat dan pengampunan Allah. Kita juga diingatkan akan kelebihan al-Quran. Dan sempena menyambut malam nuzul al-Quran yang akan berlangsung esok, kita diingatkan bagaimana pada Ramadan diturunkan al-Qur’an, kitab yang dipenuhi dengan ayat-ayat cinta Allah untuk hamba-hambaNya. 

 

Pernyataan-pernyataan ini sudah sekian lama kita dengar, dan berulangkali sudah kita diingatkan. Jika kita jelas memahami betapa rahmah itu merupakan nilai teras di dalam akidah dan pegangan agama kita, maka sewajarnya kita bersyukur kepada Allah kerana dianugerahkan keistimewaan menjadi umat Islam.  Yang seharusnya membuat setiap Muslim berbangga kerana agamanya ini adalah agama kasih sayang.  Justeru itu, seorang Muslim akan sentiasa berusaha gigih untuk melenturkan hatinya dengan haruman cinta yang mekar mewangi, menghiasi kedua-dua hubungannya dengan Allah dan dengan sekalian makhluk ciptaan Allah. 

 

Saudara-saudara yang dirahmati Allah,

Kita dan seluruh umat manusia di dunia pada hari ini sedang melalui hari-hari yang getir dan sukar. Penularan wabak hampir kesemua negara di dunia ini telah meragut ratusan ribu nyawa dan menjangkiti jutaan manusia. Mungkin ada sebahagian orang yang mempersoalkan, apakah masih ada rahmat Tuhan, sedangkan dunia dirundung malang dan begitu ramai manusia menderita?

 

Allah Maha Pengasih dalam mengatur kehidupan hamba-hambaNya, dan Maha Bijaksana dalam menentukan qada’ dan qadarNya. Sama ada takdirNya itu berupa sesuatu yang menyenangkan, mahupun yang ditakdirkanNya itu mengakibatkan kesukaran. Rahmat Allah tetap terpancar di sebalik musibah yang melanda. Bagi yang ditimpa keperitan, Allah mencurahkan rahmat kepadanya dengan mengangkat darjatnya dan memuliakan kedudukannya di sisi Allah, jika ujian itu berjaya dihadapinya dengan ketabahan di dalam hati.

 

Rahmat Allah tetap ada kerana kesulitan yang melanda biasanya menjadi pendorong untuk seorang hamba kembali mendekatkan diri kepada Tuhannya. Pasrah memohon pertolongan dan perlindunganNya, dalam keadaan merendahkan hati mengakui kelemahan dan kekurangan diri.  Dan Allah amat mengasihi hamba-hambaNya yang berdoa bermohon kepadaNya, kerana itu adalah tanda keimanan yang ada di dalam dada. Masih subur rahmat Allah untuk insan yang dilanda musibah, kerana secebis ujian yang diturunkan itu adalah kerana Allah ingin dia bangkit memperbaiki diri dan hidupnya, sehingga mampu menjadi insan yang lebih baik, lebih kuat dan lebih mulia di akhir perjalanan musibahnya itu.

 

Namun, saudara, hanya hati yang celik dengan cahaya keimanan sahaja yang akan dapat menyaksikan kasih sayang dan rahmat Allah di sebalik ujian.  Sedangkan bagi mereka yang hatinya mudah tergugat kerana imannya yang lemah akan melihat setiap ujian itu bagaikan bala’ yang hanya membuat hidupnya sengsara. Oleh itu, saudara, jangan sesekali kita hilang pedoman di dalam menghadapi apapun kemungkinan di dalam hidup ini. Jadikan pegangan dalam hidup kita sepertimana firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-Zumar ayat 53:

 

Yang bermaksud: “Katakanlah, “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.

 

Subhanallah! Bayangkan, saudara, sedangkan orang yang telah melampaui batas dan bergelumang dengan dosa itupun digesa agar jangan berputus asa terhadap rahmat Allah, inikan pula yang diuji oleh Allah dengan ujian yang akan mengangkat kemuliaan dirinya.

 

Saudara-saudara yang dirahmati Allah,

Orang-orang yang diuji dengan musibah itu masih tetap dilimpahkan rahmat Allah, walaupun terasa peritnya.  Ketahuilah, saudara, bahawa mereka yang zahirnya terlepas daripada musibah tersebut pula sebenarnya turut diuji Allah juga, sama ada mereka sudi menghulurkan rahmah dan keihsanan kepada mereka yang sedang dalam keperitan.

 

Kita sudahpun melihat kesan wabak ini ke atas ekonomi negara, malah seluruh dunia. Ramai daripada warga dunia terjejas, termasuk masyarakat setempat. Dan keadaan dijangka akan menjadi lebih mencabar dalam beberapa bulan mendatang. Di sinilah terletak ujian untuk kita. Suburkanlah rasa kepedulian terhadap mereka yang sedang dan akan bergelut dengan kesukaran hidup. Kejayaan kita bukan hanya dengan mengelakkan diri dan keluarga daripada dijangkiti penyakit, tetapi kita juga mesti berusaha untuk mengelakkan hati daripada menjadi beku, lantaran tidak memiliki sifat rahmah. Bahkan, memikirkan kepentingan diri dan keluarga sendiri sahaja sebenarnya bukan ciri orang yang beriman. Rasulullah s.a.w. telah memberi amaran tegas dengan sabdanya yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak memiliki rahmah terhadap manusia, maka dia tidak akan dirahmati Allah.” (Muttafaq alaih) Ayuh, Saudara! Kita rebut peluang Ramadan ini untuk mengasihi dan mengasihani semua yang berhak menerima sentuhan rahmah dan keihsanan kita. Ganjaran pahala yang dijanjikan Allah amat besar sekali, kerana bulan ini adalah bulan rahmah dan barakah dariNya. Maka tunaikan kewajipan zakat anda. Sama ada zakat fitrah mahupun zakat harta. Hulurkan bantuan dan sedekah kepada yang memerlukan.

 

Semoga kita dianugerahkan Allah kekuatan hati dan kejernihan jiwa di bulan yang mulia ini untuk meraih cintaNya.  Amin Ya Rabbal Alamin.