collections khutbah Ramadan: Bulan Pengukuhan Iman
Ramadan: Bulan Pengukuhan Iman

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

24 April 2020M / 1 Ramadan 1441H

Ramadan: Bulan Pengukuhan Iman

 

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.  Berusahalah untuk melaksanakan segala perintahNya, dan jauhilah segala laranganNya. 

 

Alhamdulillah!  Segala puji bagi Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Pemelihara. Hari ini adalah hari pertama Ramadan.  Ternyata, Allah masih menghadiahkan kita umur sehingga kita berpeluang bertemu dengan Ramadan lagi dengan keimanan subur di dalam hati. Masih begitu luas rahmat yang Allah janjikan, dengan syurgaNya masih tersedia, dan pintu taubatNya masih terbuka untuk dosa-dosa kita diampunkan.

 

Hari ini terubat rindu di dalam hati orang-orang yang beriman terhadap anugerah Allah yang begitu istimewa bernama Ramadan. Ternyata, saudara, Allah masih mengizinkan kita untuk mengecap kebahagiaan ini, yang tidak mampu kita gambarkan dengan ucapan atau kata-kata. Maka perbanyakkanlah puji-pujian kepadaNya.  Alhamdulillah!

 

Hari ini hari pertama kita melaksanakan ibadah puasa yang diwajibkan Allah. Walaupun lapar, letih dan dahaga, kita tetap rela dan gembira, kerana kita sambut perintah Allah ini dengan iman di dada. Ketika Allah mewajibkan ibadah puasa, Allah berbicara khusus dengan kita ini, hamba-hambaNya yang beriman. Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah ayat 183:

 

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman!  Diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sepertimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu sebelum kamu, agar kamu bertakwa.

 

Demikianlah, iman menjadi bekal kita dalam menyambut ketibaan Ramadan. Walaupun suasana Ramadan tahun ini tidak seperti biasa, namun keimanan kita tetap kekal sebagai pegangan sepanjang Ramadan. Untuk pertama kali, kita sambut Ramadan dengan hanya berada di dalam rumah masing-masing, demi memainkan peranan kita untuk membendung penularan wabak virus dari terus berleluasa. Ramadan tahun ini kita tidak berpeluang berjemaah beramai-ramai di masjid seperti biasa. Kita tidak mampu untuk berbuka bersama.

Pastinya hati kita dipalit rindu: rindu dengan indahnya saat duduk bersama berbuka puasa di halaman masjid kita; rindu bertukar-tukar salam, berjabat tangan dan saling berdakapan merasakan hangat persaudaraan sesama kita; rindu dengan kemeriahan bersolat terawih di masjid-masjid setiap malam; rindu mendengar alunan indah ayat-ayat Allah dikumandangkan di masjid-masjidNya; rindu dengan keindahan berqiyamullail bersama, bersujud pasrah merendahkan diri di hadapan keagunganNya.

 

Kita sedih, tetapi kita dididik oleh keimanan kita untuk tabah menerima setiap ketentuan Allah, berpandukan kalimat “Lailahaillallah” sebagai pegangan hidup kita.  Kita tidak boleh membiarkan jiwa kita lemas dibelenggu kelemahan apabila berhadapan dengan apapun keadaan dan ujian.  Sebaliknya kita dididik untuk sentiasa berusaha memikirkan hikmah di sebalik setiap dugaan, dan tidak putus bersangka baik terhadap Allah s.w.t.  Di dalam hadis Qudsi riwayat Imam Ahmad, Allah menegaskan:

 

Yang bermaksud: “Aku ini (Allah) adalah seperti sangkaan hambaKu terhadap Aku. Jika dia bersangka baik terhadapKu, kebaikan itu adalah untuk dirinya. Dan jika dia bersangka buruk terhadapKu, maka untuk dirinya jugalah keburukan itu.” Oleh itu, saudara, tetapkanlah hati dan teguhkanlah iman di dada sepanjang kita menghidupkan Ramadan ini. Usah jadikan keterbatasan-keterbatasan yang ada sebagai alasan untuk terus merungut menyalahkan keadaan.

 

Bahkan sebaliknya. Kita seharusnya terus mencari ruang dan kesempatan yang masih banyak Allah sediakan untuk meraih cintaNya. Ramadan kali ini merupakan peluang untuk menjaga amal ibadah kita dengan lebih sempurna. Berusaha melaksanakan solat tarawih tanpa tertinggal walaupun sehari. Peluang melatih diri menjadi imam ketika tarawih. Peluang keemasan untuk kita belajar membaca al-Quran. Bahkan kesempatan untuk mengkhatam al-Quran. Kerana individu Mukmin sentiasa melihat kepada aspek positif di sebalik setiap keadaan dan situasi.

 

Mungkin ini antara hikmah Tuhan Yang Esa. Ketika Dia mempertemukan kita dengan Ramadan kali ini dengan keadaan yang sedemikian rupa. Kerana Dia ingin mengurniakan kepada kita Ramadan yang begitu istimewa. Ramadan yang dapat kita memberi penumpuan sepenuhnya kepada berpuasa dan beribadah. Ramadan yang setelahnya diampunkan dosa, serta dikurniakan pahala, dan mengakibatkan seorang hamba mendapat darjat yang tinggi di sisiNya.

 

Ayuh, saudara, kita semarakkan rasa syukur kita dalam menyambut hadiah Ramadan ini.  Walaupun suasananya berbeza, Pemilik Ramadan ini tetap Allah Yang Satu, Yang Maha Luas Kecintaan dan KemurahanNya.  Biarpun tidak semeriah biasa, kita masih perlu mengambil kesempatan daripada kedamaian dan ketenangan yang Allah anugerahkan ini untuk terus menyegarkan keimanan kita.  Hayatilah, saudara, firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-Fath ayat 4 ini:

 

Yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang telah menurunkan ketenangan di dalam hati orang-orang yang beriman supaya bertambah keimanan mereka di samping keimanan yang telah sedia ada.  Dan milik Allah jualah tentera-tentera langit dan bumi, dan Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

Semoga kita berjaya menjadi masyarakat yang mampu menghadapi keperitan hari ini dengan iman yang mekar, serta mampu mengatur langkah dengan persiapan, untuk melayari hari esok dengan keyakinan diri dan tekad yang tinggi.  Semoga Allah menjernihkan hati dan jiwa kita sehingga berjaya mendakap cintaNya melalui hadiah RamadanNya kali ini.