collections khutbah Ramadan: Bulan Kembali Kepada Fitrah
Ramadan: Bulan Kembali Kepada Fitrah

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

22 Mei 2020 / 29 Ramadan 1441H

Ramadan: Bulan Kembali Kepada Fitrah

 

Saudara-saudara kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kita kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.  Ayuh! Kita jauhi apa jua laranganNya, dan kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mentaati perintah-perintahNya.

 

Saudara, waktu yang bergerak menurut peredaran matahari dan bulan adalah aturan kehidupan yang diatur Allah dengan begitu tepat dan teliti. Demikian kuasa Allah yang mengatasi segala sesuatu, dan tiada sesiapapun yang dapat menghalang ketetapanNya. Allah mengurniakan kita umur, kesempatan dan peluang untuk bertemu dengan Ramadan tahun ini.  Allah jualah yang menentukan bahawa setiap Ramadan yang datang itu pasti ada penghujungnya. Pelbagai anugerah telah dibentangkan kepada kita untuk direbut sepanjang sebulan ini, dengan lebat mencurah-curah siraman rahmatNya, dengan pintu taubatNya terbuka seluas-luasnya, dengan amalan-amalan kita dilipatgandakan ganjaran seperti yang dijanjikanNya.

 

Sebagai insan beriman, pastinya hati kita telah tersentuh dengan kelembutan Ramadan ini, saudara. Kita telah merasakan kebahagiaan dan keindahannya. Kita telah menikmati kemuliaan dan keagungannya. Telah kita hirup lautan kedamaian disebalik segala keresahan yang masih mencengkam jiwa. Telah kita menangis dalam dakapan kasih Tuhan Yang Maha Lembut, saat kita insafi segala dosa, saat kita adukan segala kelemahan yang kita ada, saat dengan malu kita memohon bantuan dan perlindungan untuk perjalanan hidup seterusnya. Namun Ramadan akan tetap berangkat pergi sekali lagi, meninggalkan manusia dengan bekalan masing-masing yang telah sempat mereka usahakan sepanjang sebulan ini.

 

Saudara, Ramadan kali ini hanya tinggal satu hari sahaja lagi.  Walaupun zahirnya kelihatan seolah-olah sudah tidak banyak kesempatan untuk kita mampu buat apa-apa, namun hakikatnya, hari-hari penghujung seperti inilah merupakan saat-saat genting yang menentukan kejayaan Ramadan kita. Ini adalah kerana amalan-amalan kita dinilai mengikut bahagian penutupnya.

 

Oleh itu, saudara, Ayuh! Mari kita kejar dan rebut baki kesempatan yang ada. Masa yang tinggal sedikit ini, kita isikan dengan banyak mengingati Allah, saudara. Jangan jadi orang yang leka di bahagian terakhir perjalanan amal ibadah kita.  Takut kalau-kalau segala penat lelah kita sepanjang hampir empat minggu ini akhirnya tidak ke mana. Sebaliknya, sibukkan diri dengan doa dan istighfar.

 

Ya, saudara, banyakkan doa dan istighfar! Kenangkan dosa-dosa yang mungkin masih belum kita pohonkan pengampunannya. Cerminkan diri dan hati, sama ada masih terdapat kesombongan yang belum dilenturkan. Atau tompok hitam yang masih belum dipadam. Atau hasad dengki yang masih belum digantikan dengan kasih sayang. Atau hak dan tanggungjawab yang masih tidak ditunaikan. Atau tutur bicara lidah yang masih belum dimurnikan daripada kebiasaannya berbohong, memfitnah, mengumpat, mencaci, mengadu domba atau menjatuhkan maruah sesama saudara.

 

Apakah masih ada lagi kewajipan solat yang tidak dikerjakan? Masihkah ada lagi sifat bakhil yang membuat kita tidak peduli akan keperitan orang lain? Atau sifat panas baran dan keras hati yang masih gagal kita lembutkan? Masih adakah lagi nikmat-nikmat Allah yang tidak sudi kita syukuri? Masih adakah lagi ketentuan qada dan qadar Allah yang kita tolak dan ingkari? Apakah masih ada silaturrahmi yang kita putuskan? Atau orang tua yang kita sakiti? Atau pasangan hidup yang kita khianati? Atau anak-anak yang dikasari?

 

Renungan diri seperti ini adalah muhasabah yang amat perlu kita lakukan di penghujung Ramadan ini, agar benar-benar kita kembali kepada fitrah suci kita sebagaimana asal kita diciptakan Allah. Kita menyemak kembali bagaimana pelaksanaan dan pencapaian ibadah puasa kita sejak awal Ramadan tempoh hari. Tujuannya ialah supaya jika masih terdapat kekurangan yang boleh diperbaiki, cepat-cepatlah kita perbaiki. Jika ada kesalahan yang dilakukan, cepat-cepatlah kita istighfar mohon pengampunan. Jika ada kewajipan yang belum ditunaikan, cepat-cepatlah kita lakukan. Masa yang tinggal tidak banyak, tetapi masih sempat untuk kita usahakan seberapa yang dapat demi meraih penghujung Ramadan yang penuh dengan barakah.

 

Jangan berputus asa daripada mengharapkan rahmat Allah, saudara-saudara sekalian. Bagus sekali kalau kita punya perasaan malu apabila menyedari masih banyak dosa yang kita miliki dan masih banyak kecuaian kita di dalam Ramadan ini. Tetapi janganlah sampai malu kita itu malu yang tidak bertempat, sehingga terlalu malu pula untuk meminta ampun kepada Allah. Allah Pemilik Segala Kemegahan, tetapi Allah bukan Tuhan yang menyombong tidak mahu memaafkan dosa dan kesalahan, walau dosa kita setinggi gunung dan seluas lautan. Oleh itu, bertaubatlah, walaupun kita disindir dan ditertawakan orang.  Renungkan firman Allah berikut ini, ayat 109-111, Surah al-Mu’minun:

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya ada segolongan dari hamba-hamba-Ku berdoa, “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka ampunilah kami dan rahmatilah kami, dan Engkau jualah sebaik-baik pemberi rahmat.” Lalu kamu pula (orang-orang musyrikin) menjadikan mereka itu bahan ejekan, sehingga membuat kamu lupa untuk mengingati Aku, dan kamu selalu mentertawakan mereka. Sesungguhnya pada hari ini Aku memberi mereka balasan di atas kesabaran mereka itu. Sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang mendapat kejayaan.

 

Saudara-saudara yang dirahmati Allah,

Muhasabah diri di penghujung Ramadan ini hendaklah kita iringi juga dengan permohonan doa kepada Allah s.w.t. agar kita diberikan kekuatan untuk terus mentaatiNya, sentiasa mensyukuriNya dan selamanya mengagungkanNya, walaupun setelah Ramadan meninggalkan kita.

 

Oleh itu, saudara, selain muhasabah menyemak bagaimana telah kita laksanakan ibadah puasa sepanjang empat minggu yang lalu ini, kita perlu juga bermuhasabah menyemak bagaimana bekalan kita untuk selepas Ramadan ini nanti. Kita perlu bertanya kepada diri sendiri: Apakah rancangan kita untuk selepas Hari Raya? Adakah kita akan terus bersemangat untuk melaksanakan perintah-perintah Allah, segigih kita di dalam Ramadan? Atau apakah sebaliknya, Ramadan kita habis begitu sahaja tanpa sebarang kesan kepada keimanan dan ketakwaan kita?

 

Jangan sampai kita lupa, saudara, bahawa kita beribadah di dalam bulan Ramadan, bukan beribadah untuk bulan Ramadan. Tuhan kita adalah Allah yang bersifat al-Rahman, bukan Ramadan itu Tuhan sehingga apabila ia berlalu pergi, kita tidak merasa perlu untuk beribadah lagi. Isilah sedikit masa Ramadan yang tinggal ini untuk bermuhasabah ke hadapan juga, dengan meneguhkan azam untuk terus beristiqamah menjadi hamba Allah yang baik serta soleh selepas Ramadan. Rasakan benar-benar keindahan hidup dalam keadaan fitrah kemanusiaan kita kembali dimurnikan Allah. Rancanglah langkah-langkah kita selanjutnya untuk kehidupan, dengan berpandukan pimpinan taufik dan hidayah Allah.

 

Ya Allah! 

KepadaMu kami menyembah. UntukMu kami serahkan ketaatan dan kami gantungkan segala pengharapan. Kami bersyukur kepadaMu di atas hadiah Ramadan yang telah Engkau anugerahkan ini. Benarnya janjiMu amat kami yakini, dan luasnya pengampunanMu tidak kami ragui. Terimalah amal ketaatan yang sekadarnya telah mampu kami kerjakan, ya Allah, walaupun tidak sebanyak unggas yang terbang di angkasaMu, walaupun tidak sederas air yang mengalir di sungai-sungaiMu, walaupun tidak semegah gunung yang Engkau pacakkan dengan kekuasaanMu, namun kami menaruh sepenuh harapan pada keluasan Rahmat dan CintaMu. Pandanglah kami, ya Allah! Pandanglah kami, dengan redup pandangan kudusMu yang penuh dengan kelembutan, yang harum dengan keampunan. Sepertimana telah Engkau izinkan kami menyambut munculnya Ramadan ini kemarin dengan keimanan, izinkanlah kini kami iringi pemergiannya dengan genggaman takwa yang Engkau suburkan.  Ampuni kami, ya Allah. Ampuni kami.