collections khutbah Pengorbanan Dalam Menuju Ketakwaan
Pengorbanan Dalam Menuju Ketakwaan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

31 Julai 2020 / 10 Zulhijjah 1441H

Pengorbanan Dalam Menuju Ketakwaan

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita memelihara keimanan dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan menunaikan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita kemantapan iman dan takwa. Amin.

Antara ibadah yang begitu sinonim dengan Hari Raya Aidiladha selain ibadah Haji adalah ibadah korban. Melaluinya kita sering diingatkan akan kisah di mana Allah s.w.t memerintahkan kepada Nabi Ibrahim a.s untuk menyembelih anaknya yang tersayang, Nabi Ismail a.s.

Bayangkan saudaraku perasaan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. pada ketika menerima perintah ini. Pastinya bukan mudah untuk mereka berdua melaksanakannya. Namun, dengan penuh keimanan, keikhlasan dan ketaatan, mereka melaksanakan perintah tersebut. Lalu Allah s.w.t. dengan penuh rahmah dan kasih sayangNya kepada hambaNya menggantikan Nabi Ismail a.s. dengan seekor kambing untuk dikorbankan.

Inilah semangat pengorbanan dan keimanan yang teguh yang dipaparkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. Baginda a.s. tidak merasa ragu untuk melaksanakan perintah Tuhan. Baginda a.s. mengorbankan perasaannya serta keinginan peribadinya dengan menunaikan perintah tersebut bagi meraih keredhaan dan rahmat Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. dalam surah as-Saffat ayat ke-105:

 

Yang bermaksud: “Engkau telah menunaikan (tujuan) mimpi tersebut. Sungguh, demikianlah Kami memberikan balasan kepada orang-orang yang berbuat baik”.

 

Saudaraku,

Sungguhpun kita tidak dapat melaksanakan ibadah korban di Singapura pada tahun ini, kita menyesuaikannya dengan melaksanakan ibadah korban di luar negara. Daging korbannya pula diagihkan kepada mereka yang memerlukan di luar negara atau diagihkan kepada masyarakat kita setibanya daging korban tersebut di Singapura nanti. Inilah pengorbanan dan semangat penyesuaian seorang yang beriman.

Pengorbanan di sisi Allah s.w.t. bukanlah banyaknya perbelanjaan yang dikeluarkan dari harta. Pengorbanan di sisi Allah s.w.t. adalah keikhlasan hati dan ketakwaan kita dalam mengerjakan ibadah kepadaNya. Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Hajj, ayat 37:

 

Yang bermaksud: “Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang mendapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang orang yang berbuat baik”.

 

Saudaraku,

Sedang kita menghadapi penularan wabak COVID-19, Alhamdulillah masyarakat Islam Singapura bijak mengimbangi antara tuntutan agama dan tanggungjawab sosial. Kita membuat beberapa penyesuaian dalam kehidupan dengan hati dan minda yang terbuka. Kita sedari bahawa Islam mendidik kita untuk menjadi individu yang bertanggungjawab, kita berkorban menjaga kebajikan diri dan keluarga kita serta memelihara keselamatan masyarakat awam seluruhnya.

Semoga pengorbanan kita pada Hari Raya Aidiladha kali ini diterima Allah s.w.t. sebagai pengorbanan yang hakiki. Mudah-mudahan Allah s.w.t. mengukuhkan lagi keimanan kita dan mengekalkan kesatuan kita bersama. Amin Ya Rabbal Alamin.

 

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلِذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.