collections khutbah Penggunaan Teknologi Dengan Beretika
Penggunaan Teknologi Dengan Beretika

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

12 November 2021 / 7 Rabiulakhir 1443H

Penggunaan Teknologi Dengan Beretika

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

Takwa adalah bekal terbaik  dalam melayari kehidupan ini, bagi menghadapi segala ujian dan amanah yang diberi kepada kita. Maka perlulah kita sentiasa berusaha mengisi diri kita dengan bekalan takwa dengan sentiasa melakukan kebaikan, dan menjauhkan diri daripada segala yang ditegah Allah.

Kehidupan ini adalah medan ujian. Ia juga adalah ladang kebaikan. Apa jua yang berlaku dalam kehidupan adalah ujian dan juga peluang pada masa yang sama. Kitalah yang menentukan akibat dan natijah daripada segala ujian dan peluang ini.

Ini termasuk teknologi yang berkembang pesat. Pembangunan pesat teknologi harus disertai dengan pembangunan nilai dan akhlak manusia.

Saudara dan saudari,

Antara anugerah besar Allah kepada manusia ialah akal dan kemampuan berfikir dan mencipta. Kerana akal dan kemampuan inilah Allah menjadikan kita khalifah yang menguruskan alam ciptaan Allah. Bahkan, antara prinsip dan tujuan Syariah ialah memelihara akal dan anugerah Allah ini.

Tetapi prinsip dan tujuan memelihara akal harus dilihat bersama prinsip dan tujuan-tujuan Syariah lain dalam memelihara agama, diri, kehormatan diri, dan harta. Ini perlu dilihat secara keseluruhannya. Kemampuan berfikir dan mencipta harus menyumbang kepada pemeliharaan agama, diri, maruah dan harta. Akal dan kemampuan berfikir telah membawa kepada berbagai penciptaan penting manusia dalam menguruskan alam dan kehidupan ini, dan memberi huraian kepada permasalahan hidup. Seperti beberapa pencapaian penting dalam sains dan teknologi. Pembangunan dan perkembangan sains dan teknologi telah membantu kita memberi huraian kepada berbagai cabaran dan permasalahan hidup.

Cuba sahaja lihat kepada teknologi maklumat dan pendigitalan. Teknologi maklumat membantu kita meraih ilmu penting, dan belajar untuk meningkatkan diri kita dalam keadaan apa sekalipun. Ia mencetuskan perubahan besar dan penyebaran luas ilmu dan maklumat.

Keadaan wabak COVID yang melanda, dan segala kawalan keselamatan bagi membendung penularan COVID adalah satu contoh jelas dan terdekat kepada kita. Walaupun kehadiran kita di masjid hari ini terbatas demi menjaga keselamatan diri kita, tetapi teknologi telah mengizinkan lebih ramai lagi untuk mengikuti khutbah hari ini. Khutbah disebarkan bukan hanya ke seluruh negara secara langsung, bahkan boleh diikuti oleh penduduk dunia dengan mudah dan murah. Ini dengan tersiarnya khutbah melalui wadah dalam talian dan media sosial. Bahkan, berbagai lagi pengisian-pengisian kreatif dan berkesan boleh disampaikan kepada dunia melalui wadah teknologi ini.

Hari ini, kita dapat menyaksikan amalan ibadah, khutbah dan solat di Masjidil Haram, di Mekah dan Madinah, secara langsung, dalam keadaan selesa di rumah kita. Berbagai lagi kemudahan dan peluang yang tercipta hasil dari ciptaan kreatif dan teknologi yang dibangunkan manusia. Ini hasil dari daya akal dan daya fikir dan kreatif yang Allah anugerahkan kepada kita manusia, dan tidak kepada makhluk-Nya yang lain.

Namun, pembangunan akal dan perkembangan teknologi ini mesti disertakan dengan pembangunan nilai dan akhlak manusiawi.

Saudara dan saudari,

Teknologi adalah alat dan perantara di tangan kita. Kita yang menciptanya. Kita yang menggunakannya. Tetapi, bagaimana kita menggunakannya, dan untuk tujuan apa kita menggunakannya? Teknologi adalah ujian dan peluang pada masa yang sama. Ia hanyalah satu alat dan wasilah, digunakan untuk tujuan tertentu dan mencapai matlamat tertentu. Di sinilah pembangunan dan perkembangan nilai dan akhlak manusia memainkan peranan penting. Nilai dan akhlak ini akan mencorak tujuan dan matlamat tersebut. Kitalah yang  memberi nilai moral dan tujuan kepada teknologi yang bersifat neutral ini.

Apabila alat dan perantara ini jatuh pada jiwa yang memiliki  akhlak yang buruk, serta bersikap tamak, rakus, sombong, dan hanya ingin berkuasa demi kemaslahatan peribadi, di sinilah berlakunya kerosakan di dunia. Allah berfirman:

Yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)

Di sinilah perlu kita terus menegaskan kepentingan membangunkan nilai dan akhlak mulia dalam diri kita. Walaupun Rasulullah (s.a.w.) tidak meninggalkan teknologi dan alat yang canggih untuk kita, kerana ia diserahkan kepada kebijaksanaan dan kreativiti kita dalam memenuhi keperluan manusia.

Akan tetapi Rasulullah (s.a.w.) meninggalkan dan menegaskan kekuatan nilai dan akhlak. Cuba amati pesan pertama Rasulullah (s.a.w.) ketika sampai di Madinah. Dalam usaha membangunkan masyarakat dan kehidupan bermakna, dan dalam membangunkan asas kepada tamadun manusia di Madinah, Baginda (s.a.w.) berpesan, yang diriwayatkan oleh Ibn Majah: “Wahai manusia, tebarkan kedamaian (salam), berilah makan, sambunglah tali persaudaraan, solatlah di malam hari ketika manusia sedang  tidur, nescaya kamu masuk syurga dengan selamat (salam).”

Marilah sama-sama kita ingat pesan abadi Rasulullah (s.a.w.) ini. Teknologi di tangan kita, media sosial dan segala alat ini, jadikanlah ia wasilah dan peluang untuk kebaikan, untuk menyebarkan kedamaian, membantu orang-orang yang memerlukan, menyambung persaudaraan, dan kita terus membina kekuatan dengan hubungan kita dengan Allah. Mudah-mudahan kita layak untuk digolongkan bersama ahli syurga dalam kedamaian dan kebahagiaan abadi. Amin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.