collections khutbah Meraih Cinta Allah Melalui Ciptaan-Nya
Meraih Cinta Allah Melalui Ciptaan-Nya

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

7 Mei 2021 / 25 Ramadan 1442H

Meraih Cinta Allah Melalui Ciptaan-Nya

 

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meraih cinta Allah dengan bertakwa kepada Allah. Ketakwaan kepada Allah dipupuk dengan mencintai hamba-hamba Allah dan makhluk-Nya, mahupun pada binatang dan tumbuh-tumbuhan sekalipun. Bila Allah mencintai kita, Allah akan kurniakan rasa cinta setiap makhluk Allah di langit dan di bumi, terhadap diri kita.

Saudaraku,

Cuba lihat bagaimana Rasulullah (s.a.w.) mengajar kita untuk mencintai binatang, dan memerintahkan kita untuk bertakwa dalam menjaga binatang sekalipun. Dalam satu riwayat sahih daripada Imam Ahmad diceritakan, pada suatu hari sedang Rasulullah berada di satu kebun, seekor unta menangis melihat Rasulullah (s.a.w.). Rasulullah lalu turun daripada keldainya dan mengusap telinga unta tadi dan pangkal lehernya dengan penuh rasa kasih sayang. Unta tersebut lalu menjadi tenang.

Baginda bertanya, “Siapa pemilik unta ini?” Seorang pemuda menjawab, “Saya.” Baginda kemudian bertanya kepada pemuda tadi, “Tidakkah engkau bertakwa kepada Allah dalam mengurus unta ini yang telah Allah berikan kamu kuasa ke atasnya? Dia mengadu kepadaku mengenaimu. Dia menyatakan bahawa kamu membiarkan dia lapar dan lelah.”

Demikianlah seorang yang bertakwa dididik oleh Rasulullah (s.a.w.) untuk mencintai dan mengasihani makhluk Allah. Jika ini perintah untuk membuat baik kepada binatang, apatah lagi kepada manusia, kepada hamba-hamba Allah. Jika kita mencintai Allah si Pencipta, kita mencintai makhluk-Nya.

Saudaraku,

Bulan Ramadan adalah bulan di mana ganjaran kebaikan dilipat gandakan. Kita diseru untuk melakukan apa jua kebaikan dan amalan-amalan soleh, sekecil mana sekalipun. Bukan hanya dalam hubungan kita dengan Allah, tetapi hubungan kita sesama hamba-hamba dan makhluk Allah. Allah berfirman di dalam Surah al-Nahl, ayat 97:

Yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan amalan soleh, sama ada lelaki atau wanita, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”

Cuba perhatikan dengan teliti ayat ini. Allah tegaskan, barangsiapa mengerjakan “sālihan”, yakni, apa jua perkara yang baik, kepada sesiapa pun, dan sekecil mana sekalipun. Selagi mana dia melakukan kebaikan kerana beriman dan mencintai Allah, kerana ikhlas untuk Allah, ganjarannya ialah Allah bakal memberinya kehidupan yang baik dan pahala yang lebih baik daripada apa yang dia kerjakan.

Demikianlah kita meraih cinta Allah dengan kita mencintai makhluk dan hamba-hamba-Nya, yang dengannya akan memberi kehidupan yang baik dan bermakna.

Saudaraku,

Ramadan sudah hampir meninggalkan kita. Namun, belum terlewat untuk kita merebut keredaan Allah dan memanjatkan doa kita kepada-Nya, mengharapkan pertolongan dan rahmat-Nya.

Rebutlah masa-masa yang tinggal ini mencari cinta Allah dengan mengeratkan hubungan kita dengan Allah dan mengerjakan kebaikan kepada makhluk Allah. Inilah maksud kita meraih cinta Allah melalui ciptaan-Nya. Biar ini semua menjadi bekalan kita dalam kita mengharungi kehidupan selepas Ramadan dan seterusnya; kehidupan yang baik (hayātan tayyibatan) dan bermakna; serta memberi kekuatan kerohanian kepada kita.

Di samping kita memenuhi hari-hari penghujung Ramadan dengan amal ibadah dan dalam kita bersiap sedia untuk menyambut bulan Syawal, ingatlah bahawa situasi COVID-19 masih belum berakhir lagi. Kita akur bahawa kes-kes di kalangan masyarakat mula naik sekali lagi. Ia merupakan peringatan, bahawa kita masih lagi belum selamat daripada wabak ini, selagimana situasinya secara global belum kembali pulih.

Dengan itu, saya ingin mengajak kita semua untuk terus mengamalkan segala langkah keselamatan yang ditetapkan. Ruang-ruang solat di masjid walaupun dibataskan, ia sebenarnya bagi menjamin kesejahteraan ramai.

Sekiranya kita tidak berjaya mendapatkan ruang untuk melaksanakan solat Jumaat di masjid, maka tunaikan solat anda di rumah ataupun di tempat masing-masing. Kerana ia merupakan satu keringanan (rukhsah) berhadapan dengan ujian wabak ini.

Tambahan dari ini, ingin saya sekali lagi mendorong setiap di antara kita. Sekiranya kita mendapatkan peluang untuk mengambil suntikan vaksin, maka ambillah. Kerana ia memastikan agar masyarakat kita terus dipelihara daripada sebarang keburukan.

Ingatlah, segala usaha ini adalah untuk menjaga nyawa manusia. Ia juga merupakan tuntutan agama Islam. Bahkan ia adalah amalan soleh yang kita tidak seharusnya memperlekehkan. Lakukan kebaikan (sālihan) walau sedikit.

Mudah-mudahan dengan segala usaha ini yang kita kerjakan, Allah (s.w.t.) akan menjaga serta merahmati kita semua. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.